Tuesday, June 28, 2005

Dakwah dan Kepedulian Sosial

Dakwah dan Kepedulian Sosial

28 Jun 2005, Putrajaya

MASYARAKAT Islam tidak mungkin dapat mengekalkan kemurnian ajaran Islam sejak zaman RasuluLlah S.A.W. hingga ke hari ini sekiranya masyarakat Islam tidak mempunyai kepedulian sosial untuk memperkasa dan memantapkan benteng ketahanannya dalam menghadapi cabaran zaman dan tuntutan lingkungannya. Perjuangan dakwah masyarakat Islam hari ini sesungguhnya terangkai di dalam sejarah panjang perjuangan para nabi dan rasul, sejak zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad S.A.W., mohor angkatan para nabi dan rasul (khatamu 'l-nabiyyin). Perjuangan dakwah bukanlah satu perjuangan terpisah dalam contoh-contoh yang terpencil (isolated cases), yang dilakukan secara takut-takut, malu-malu dan main-main.

Kepedulian sosial membayangkan satu semangat dan rasa sanubari yang sensitif terhadap apa jua permasalahan, kemelut dan pergolakan yang berlaku di dalam masyarakat, khususnya masyarakat Islam. Namun rasa kepedulian sosial tidaklah pula terbatas hanya kepada masyarakat Islam kerana ada banyak isu-isu yang berlaku adalah merupakan isu-isu yang turut meliputi masyarakat bukan Islam, termasuklah isu-isu akhlak dan seumpamanya. Rasa kepedulian sosial ini bukanlah satu keinginan untuk memaksa pemikiran kita diterima, lalu "memastikan" (dalam pengertian memaksa) masyarakat kita melakukan sesuatu yang tidak mampu dan tidak perlu. Kepedulian sosial yang sebenar ialah rasa "empathy" yang lahir setelah berinteraksi dengan kemelut masyarakat dan seterusnya menampilkan penyelesaian yang meyakinkan untuk dilaksanakan.

Rasa "emphathy" ini mampu dipunyai oleh mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang, kecenderungan politik, agama, kaum dan bangsa mahupun status sosial seseorang. Di atas kemampuan ini, mana-mana individu berhak pula untuk mengetengahkan cadangan penyelesaian. Yang menjadi persoalan di sini ialah apakah keberkesanan cadangan penyelesaian tersebut? Mungkinkah cadangan penyelesaian kepada kemelut sosial ini dapat dilaksanakan secara individu dan perseorangan? Perlukah kita kepada gemblengan tenaga secara terpadu oleh semua individu yang turut sama mempunyai sikap kepedulian sosial?

Di atas pertimbangan inilah, maka kehadiran sebuah angkatan dan gerakan dirasakan amat relevan. Berlatarbelakangkan senario kemelut sosio-politik masyarakat Islam yang begitu menyedihkan sejak Merdeka, maka kita ditubuhkan pada Ogos 1971, oleh sekumpulan anak-anak muda yang sedar tentang kemelaratan umat. Rasa kepedulian sosial yang dijana dari pemerhatian dan pengalaman di tengah-tengah umat, dengan isu-isu seperti kemiskinan dan keterpinggiran masyarakat Islam di Tanah Merdeka ini (ketika dekad 1960-an dan 1970-an), disebarluaskan kepada semua masyarakat termasuklah mereka yang memimpin, yang segelintirnya dirasakan telah "mati" rasa kepedulian sosialnya. Kita melihat bahawa dalam tahun-tahun awal Merdeka, negara bergerak bagaikan "bahtera megah yang kehilangan arah". Kerana itu kita yakin bahawa rasa kepedulian sosial ini perlu dikongsi bersama oleh seluruh rakyat, sahabat dan kerabat. Lalu kita tampil dengan agenda dakwah yang berjaya menangkap imaginasi rakyat (capture the imagination of the people).

Di sinilah tersemainya keyakinan kita bahawa penyelesaian kepada kemelut sosial adalah secara berkumpulan (berjemaah) dan berdasarkan pengalaman sejarah ini jugalah tersemainya keyakinan kita bahawa perjuangan dakwah secara "jama'iy" ini adalah untuk mengembalikan keadilan sosial (al-'adalat al-ijtima'iyyah) di dalam masyarakat Malaysia. Ketidakadilan sejarah perlu diperbetulkan! Yang benar perlu dibenarkan! Yang palsu perlu dipinggirkan demi menyelamatkan masyarakat kita dari rosak dan tercemar! Sesungguhnya inilah agenda dakwah kita!

Iltizam kita sebagai sebuah gerakan Islam tidak pernah surut untuk menjadi jurubicara umat dan memeratakan agenda dakwah kepada setiap lapisan masyarakat, sama ada golongan pimpinan mahupun yang dipimpin, golongan dewasa mahupun remaja, lelaki mahupun perempuan, di kota mahupun di desa. Perspektif dakwah kita sesungguhnya luas ~ seluas makna dan cakupan Islam itu sendiri. Sebagai sebuah gerakan, kita merasakan perjuangan dakwah harus berencana dan berhikmah, bukannya secara semberono ~ membelasahi setiap apa jua permasalahan tanpa mengira untung dan ruginya kepada umat. Perspektif dan pertimbangan kita ialah survival umat kerana "kuasa keabsahan" (legitimacy power) perjuangan dakwah kita adalah umat. Idealisme ini masih terus segar mengalir di dalam kita.

Pada masa yang sama, oleh kerana permasalahan dan kumpulan sasaran dakwah di dalam masyarakat sangatlah berbagai, kita merasakan sangat wajar sekiranya kepelbagaian wadah dan wasilah, kumpulan-pertubuhan dan pendekatan dakwah ini dimanfaatkan ~ termasuklah gandingan antara pihak berkuasa agama dan badan-badan dakwah. Soalnya di sini bukanlah sangat kita perlu berbeza atau tidak berbeza kerana selagimana manusia menggunakan akalnya, manusia akan sentiasa berbeza. Yang pentingnya, kita tidak menolak dan menghancurkan amal dakwah mereka yang berbeza melainkan ternyata ia merugikan umat dalam pengertian menyeleweng dan merosakkan umat; kerana penyelewengan dan kerosakan itu bukan lagi agenda perjuangan dakwah, tetapi "fasad" yang menghancurkan.

Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah kepedulian sosial menginginkan kita sebagai para pendakwah, turun ke bawah merasai denyut nadi umat, dan tidak terbuai dengan goda pesona duniawi dan janji-janji yang tidak pernah dipenuhi. Dakwah kita akan terus mengakar ke bawah, mengadun dan menggemblengkan potensi tenaga sekelian yang turut merasai kepedulian sosial dalam orientasi masa depan yang terarah. Bukankah kita telah diperingatkan oleh para leluhur silam: kalau sudah mendongak ke langit, jangan lupa rumput di bumi!

No comments: