Monday, March 08, 2010

YDP Agong pecat Najib daripada jawatan PM??

YDP Agong pecat Najib daripada jawatan PM??
Mei 23, 2009

Mohamed Hanipa Maidin

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang
baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan
satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa
beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA
telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.
Alasan YDPA di dalam surat tersebut
adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan
beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana
dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu
orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau
Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga
menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah
dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Najib merengus marah manakala Rosmah
berteriak macam orang yang kena histeria . Najib yang masih marah dan
berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat
patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa
apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak
mana â€"mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan
yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana
Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti
dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada
sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.
Keluhan Najib didengar dengan tenang
oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan
hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam
3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang
Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A
Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara
memutuskan antara lain bahawa
a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat
Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat
boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA
memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN
atau Ahli-Ahli Parlimen.
b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak
atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa
kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan
majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya
( votes of no confidence ).
c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 )
iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang
memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua
Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM
hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya
tidak boleh lagi dipakai.
YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah
keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih
keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba.
Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat
dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak
diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan
kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan
hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat
apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga
keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi
Perdana Menteri Malaysia.”
Najib tersentak dan lemah segala sendi
manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar
keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika
keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah
Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa
satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan
ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan
doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan
Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang
telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ).
Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin
Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.
Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara
terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah
Rayuan pada hari ini.
Sebagai seorang anggota pasukan peguam
Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya
tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat
khususnya rakyat di Perak.
Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada
institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan
Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah
masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang
keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu
lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit
adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis.
Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang
keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah
Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu
keputusan yang adil dan telus.
Sejak dari awal rakyat sudah nampak
macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry
dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah
Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan
penghakiman.
Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry
membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.
Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada
pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan
tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya
bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.
Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A
Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan
tanpa sebarang syarat.
Nizar membuat permohonan bagi
membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry.
Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya
ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry
didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk
didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.
21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan
hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak â€"pihak secara mendalam
. Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang
hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba
kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit
siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap
kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami (pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun
Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini
seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip
Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr
.Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan
hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi
semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan
menegakkan keadilan. Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insyaAllah.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: