Monday, March 08, 2010

'Kita sendiri punahkan bahasa Melayu'

'Kita sendiri punahkan bahasa Melayu'
Ahmad Lutfi, Anis Nazri & Irwan Muhd
Sun | Feb 15, 09 | 10:35:31 am MYT

ENAM tahun sudah berlalu sejak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 'dipaksakan' di sekolah.
Iklan

Suara bantahan terus bergema, malah makin lantang dan bertenaga,
terutama melalui Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Sokongan rakyat dan
masyarakat intelektual terhadap GMP begitu memberangsangkan sekali.

Ikuti wawancara wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, ANIS NAZRI dan
IRWAN MUHAMMAD ZAIN, bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN MD SALLEHdengan
Pengerusi GMP, Dato' Dr Hassan Ahmad, yang juga bekas Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka, di pejabatnya, Yayasan Karyawan di Pusat
Bandar Damansara, baru-baru ini.

HARAKAH: Isu mengenai PPSMI sudah berlanjutan sejak enam tahun lalu.
Jika dahulu para pejuang bahasa tidak nampak begitu menonjol seperti
sekarang, dengan melancarkan kempen membantah dasar ini di khalayak
ramai di Kompleks Membeli-belah Sogo, 1 Feb lalu. Mengapa agaknya baru
sekarang bertindak sedemikian?

HASSAN AHMAD: Saya fikir begini, kita perlu takrifkan apa itu pejuang
bahasa. Ada orang berfikir pejuang bahasa ialah aktivis bahasa, melaung
sana melaung sini. Pejuangan bahasa ini adalah perjuangan ilmu,
mempertahankan konsep dan prinsip yang benar. Bahasa Melayu dan
pendidikan dalam bahasa Melayu tidak pernah menjadi masalah sepanjang
sejarah bahasa Melayu, tiba-tiba ada pihak yang menyekat dan
dijadikannya masalah.

Pejuang bahasa hari ini ini terdiri daripada sarjana bahasa, ahli sains
dan matematik yang telah terdidik dalam bahasa Melayu. Para ilmuan ini
bergerak ke tempat umum kerana saluran lain sudah tertutup. Media-media
perdana tidak menyiarkan suara-suara kebenaran ini. Jadi rakyat tidak
dapat mendengar hujah yang benar mengenai dasar ini. Yang banyak
disiarkan ialah hujah pihak yang membuat dasar.

Namun, dengan adanya media alternatif, seperti blog, masyarakat semakin
terdedah untuk membaca berita yang lebih bebas dan benar. Beberapa
banyak orang memberitahu saya, takkanlah pelajar di sekolah kebangsaan
luar bandar yang tidak mengetahui atau lemah bahasa Inggerisnya,
tiba-tiba tidak pandai matematik yang diajarkan dalam bahasa yang mereka
tidak faham itu; ada di antara mereka mendapat tiba-tiba boleh dapat
markah 'A'.

Statistik itu diragui oleh banyak orang. Rakyat tak tahu cerita sebenar.

Sudah beribu pelajar, ahli sains, profesor dan pensyarah pelbagai bidang
sains dan matematik yang terdidik dalam bahasa Melayu sejak 30 tahun
dahulu. Apakah mereka ini tidak maju dalam bidang-bidang itu kerana
diajarkan dalam bahasa Melayu?

Apakah sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu di
Malaysia lebih rendah daripada sains dan matamatik yang diajarkan dalam
bahasa Inggeris di universiti luar negeri, seperti di Universiti
Harvard, dan lain-lain?

Adakah Matematik di Harvard atau Oxford misalnya dua campur dua sama
dengan lima (2 + 2 = 5)? Ilmunya sama. Konsepnya sama, tidak kira dalam
bahasa apa pun ilmu itu diajarkan.

Sebanyak lima rundingan meja bulat diadakan bersama ahli pejuang bahasa
dan pendidikan. Namun, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai Dato'
akhirnya ke jalan raya. Menteri Pelajaran menyifatkan tindakan GMP ini
akan membuatkan kerajaan tidak dapat membuat keputusan secara waras. Apa
reaksi Dato' dengan kenyataan tersebut?

Sebenarnya, GMP bukan gerakan jalanan. Ini gerakan mempertahankan
tamadun bangsa, bahasa Melayu, pendidikan Melayu. Kita cuba berfikir
secara waras.

Kita bukan kumpulan 'gila bahasa Melayu'. Kita bukan gerakan
antikemajuan, antibahasa Inggeris, antikerajaan. Tapi cuba fikir, dasar
yang salah ini telah dilaksanakan selama enam tahun.

Apakah kita perlu tunggu enam tahun untuk mengkaji baik buruknya,
sedangkan keburukannya sudah diketahui umum. Yang tidak waras atau
istilah lain yang lebih tertib, yang tidak rasional, ialah orang yang
membuat keputusan ini dalam tahun 2003, konon hendak tunjukkan bahasa
Inggerislah yang boleh memajukan bangsa Melayu dan negara ini, bahasa
Melayu tak boleh.

Masalahnya mereka tidak mahu mendengar pandangan dan hujah orang lain
yang lebih rasional. Apa guna ada rundingan jika pihak berkuasa tidak
mempedulikan fakta yang sebenar. Perlu kena tunggu enam tahunkah? Dalam
tempoh itu masalah makin lama makin menjadi kompleks dan bertambah
parah.

Baru-baru ini pejuang bahasa nampak ke hadapan. Selain sebab yang
dikatakan tertutupnya saluran rundingan, ada yang berkata pejuang bahasa
ini agak lambat bertindak secara lantang seperti sekarang. Kenapa agak
lambat bertindak?

Hakikatnya, ketika kerajaan mula-mula membuat keputusan yang salah itu,
banyak pihak telah menentangnya. Bukan Melayu sahaja, kaum lain pun
tentang dasar ini. Orang Cina yang saya sendiri jumpa menentang PPSMI.

Surat khabar Cina menceritakan keburukan dasar ini, berdasarkan hujah
ilmu dan kajian yang ilmiah. Surat khabar Melayu seolah-olah takut
hendak menyiarakan pandangan dan hujah yang menentang keputusan itu,
seolah-olah mereka tidak membela bahasa mereka sendiri, tetapi menyokong
bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu bagi bangsa Melayu.

Yang diceritakan, menteri kata itu, kata ini. Banyak pelajar dapat 'A'.
Pelajar dari sekolah mana? Pelajar dari sekolah kebangsaan di kampung
dan di ceruk rantau negeri ini ke?

Cuba pegawai-pegawai kerajaan Kementerian pergi duduk dalam bilik darjah
di sekolah luar bandar yang daif itu, dan lihat apakah benar pelajar itu
faham apa yang diajarkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris, bahasa
yang mereka tidak tahu.

Kita sedang mengalami proses membodohkan diri kita sendiri, proses
jahiliah. Islam sudah tinggalkan zaman jahiliah, kita masih hidup dalam
zaman jahiliah, zaman orang tidak menghormati ilmu dan kebenaran.

Segala masalah yang timbul itu adalah disebabkan kerajaan membuat
keputusan yang salah. Sepatutnya masalah tidak timbul lagi setelah 50
tahun kita merdeka.

Banyak orang berharap dasar itu akan diubah selepas pilihan raya 2004.
Rupanya kita hanya sibuk dengan isu jambatan bengkok. Dasar yang lebih
bengkok, iaitu PPSMI itu, tidak diselesaikan.

Yang kasihannya pelajar yang berada di luar bandar. Yang tiada mempunyai
akses kepada kemudahan-kemudahan pembelajaran ini seperti yang terdapat
di bandar. Wujud suasana tidak adil bagi pelajar-pelajar itu dalam hal
dasar ini.

Bagaimana Dato' terdorong untuk mengetuai gerakan ini?

Saya sebenarnya didatangi oleh sekumpulan orang muda meminta saya
mengetuai gerakan ini, kerana, menurut mereka, sudah tiada orang yang
mahu berjuang lagi untuk mempertahankan bahasa mereka.

Saya terima dengan syarat gerakan ini bergerak bukan untuk berperang
melawan sesiapa tetapi semata-mata untuk meminta supaya pihak yang
berkuasa memansuhkan PPSMI demi kebaikan dan kepentingan bangsa,
pendidikan dan kemajuan negara berdasarkan model kita di Malaysia, bukan
di Britain atau di Amerika Syarikat.

Kita tak usahlah berdolak-dalik lagi. Kita mempunyai banyak hujah, fakta
dan hasil kajian untuk meyakinkan rakyat dan khususnya orang-orang dan
pihak yang tidak faham tentang keburukan PPSMI itu.

Tugas saya dalam gerakan ini lebih banyak bersifat memberi nasihat dan
sebagai tenaga pengimbang, memimpin gerakan yang kebanyakannya
ditenagakan oleh orang muda yang sangat prihatin terhadap masalah
bangsa, mengimbangi antara perasaan dengan realiti. Ketika ada yang
datang bertanya kepada saya, saya fikir kenapa tidak? Jadi saya pun
terima.

Dato' mengatakan tadi, bahawa media Melayu tidak begitu terbuka
berbanding media Cina, isunya sekarang sejauh mana usaha-usaha ini boleh
menekan kerajaan. Di mana kita lihat apabila kerajaan rasa survival
politik mereka tergugat, barulah mereka akan bertindak. Jika sekadar
tanda tangan dan hantar ke kerajaan, ia tidak begitu menekan. Sejauh
mana usaha itu boleh memberi tekanan kepada kerajaan?

Tekanan bagaimana yang kita mahu buat? Rampasan kuasa? Tentera? Itu
bukan caranya. Kita mahu menyedarkan pihak yang berkuasa dengan
sebaik-baiknya bahawa PPMSI itu salah dan hendaklah segera dimansuhkan
sebelum imej kerajaan sendiri akhirnya tergugat dan rosak dan mungkin
akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Saya yakin kerajaan akan berfikir waras, dan kini mulai mendengar
desakan. Jika tidak, saya percaya pilihan raya umum nanti mereka boleh
telungkup. Orang Umno sendiri banyak yang bantah PPSMI. Cuma mereka
takut. Ini kelemahan Melayu, takut menentang kesalahan, padahal mereka
sepatutnya berani kerana kebenaran.

Jadi, perancangan awal GMP untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat
bagi membantah dasar PPSMI ini akan diteruskan Mac ini?

Ya, setakat ini perhimpunan tersebut akan diteruskan Mac ini. Tapi ini
bukan perhimpunan demonstrasi, perhimpunan jalanan, tetapi ialah
kumpulan yang mewakili ratusan ribu, mungkin berjuta rakyat yang
menentang dasar itu. GMP hanya mewakili mereka.

Bagi pandangan Dato', mengapa dasar ini perlu dibantah dan memberi kesan
yang tidak baik kepada pelajar-pelajar?

Hal ini sudah kita jelaskan sedikit tadi. Kajian ilmiah, berdasarkan
ilmu pendidikan dan ilmu budaya bahasa atau ilmu bahasa kognitif (yakni,
bahasa sebagai alat pemikiran manusia). Kanak-kanak lebih mudah memahami
konsep sesuatu ilmu, termasuk sains dan matematik, dalam bahasa asalnya,
misalnya kanak-kanak Melayu dalam BM.

Jika ilmu itu diajarkan dalam bahasa yang dia sendiri tidak tahu, ada
dua masalah yang akan timbul. Pertama, dia kena belajar bahasa yang dia
tidak tahu iaitu BI.

Keduanya, dia kena belajar pelajaran yang dia tidak tahu dalam bahasa
yang dia tidak tahu.

Inikan masalah serius? Kanak-kanak itu mendapat pendedahan ilmu dan
pengetahuan awal di persekitaran mereka dalam bahasa ibunda mereka.

Ini fakta berdasarkan kajian ilmu, tapi kita membuat keputusan tidak
berdasarkan ilmu itu. Itu asasnya. Jika soal pendidikan sudah tidak ada
asasnya, kacau dibuatnya.

Ada orang - termasuk orang yang 'berilmu' - yang berkata, apalah orang
Melayu nak bising sangat. Hanya dua mata pelajaran sahaja yang terlibat,
iaitu sains dan matematik. Itu kata mereka.

Orang 'berilmu' tidak semestinya dia tidak jahil. Yang terlibat bukan
dua mata pelajaran sahaja tetapi ialah 89 subjek yang dianggap
berteraskan sains.

Jikalau orang Melayu tidak lagi dibenarkan mempelajari sains dan
matematik dalam BM, akhirnya tidak ada orang Melayu yang boleh menjadi
doktor perubatan, jurutera, ahli kimia, ahli biologi, botani dan
lain-lain lagi dalam bahasa Melayu, kerana mereka tidak belajar sains
dalam bahasa ini.

Tidak ada orang Melayu yang mampu bercakap dan berbincang tentang
pelbagai bidang sains itu dalam bahasa Melayu. Ini sedih. Ini tragedi
bagi bahasa Melayu, budaya Melayu, dan bagi bangsa Melayu.

Masalah yang patut diselesaikan oleh kerajaan dan pakar-pakar pendidikan
di Kementerian Pelajaran (kalau masih ada pakar pendidikan di situ)
ialah, memperbaiki pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di
sekolah.

Tidak munasabah, pelajar yang belajar bahasa Inggeris selama sembilan
tahun (dari darjah 1 hingga ke peringkat SPM) akhirnya kebanyakannya
tidak menguasa bahasa ini dengan baik.

Ini dahsyat! Kalau kaedahnya betul, orang boleh menguasai apa-apa bahasa
pun dalam masa yang singkat, tidak sampai 9 tahun!

Kesimpulannya, kanak-kanak ini perlu diajar melalui bahasa ibundanya,
tetapi bahasa kedua hendaklah diajar dengan cekap supaya kanak-kanak ini
apabila sampai ke peringkat menengah dia juga sudah boleh memahami
istilah-istilah sains matematik dalam BI itu, di samping istilah dalam
BM.

Maknanya, jika ada pilihan bahawa dasar ini diajar di peringkat
menengah, Dato' dan pejuang bahasa ini boleh bersetuju?

Saya tidak setuju. Satu soalan saya hendak tanya kepada pihak yang
membuat keputusan ini.

Apakah mereka membuat keputusan itu kerana pengajaran sains matematik
yang diajar dalam BM sebelum 2003 itu gagal, menyebabkan ratusan ribu
kanak-kanak tidak menguasai matematik sains kerana diajar dalam bahasa
ibunda mereka?

Pergilah ke mana-mana negara seperti Korea, Jepun, China, dan semua
negeri di Eropah; dan di Finland, misalnya. Sains dan matematik semuanya
diajarkan dalam bahasa mereka, tidak dalam bahasa Inggeris.

Finland ialah negara kecil; bahasanya tidak sebesar bahasa Melayu,
tetapi negara itu boleh maju dalam bidang sains dan teknologi.
Kanak-kanak Finland belajar dalam bahasa mereka.

GMP bukan anti-BI, tapi hendak mempertahankan apa yang benar, tolak yang
tidak benar.

Kita mahu kerajaan selesaikan masalah kelemahan bahasa Inggeris dalam
sistem pelajaran kita. Banyak sarjana kita lulusan dalam bahasa Melayu.

Suruh mereka mengajar sains dan matematik di Universiti Oxford, mereka
tetap boleh mengajar dalam bahasa Inggeris - sebab bahasa Inggeris
mereka cukup baik, dan bahasa Melayu mereka juga cukup baik.

Apakah orang yang membuat keputusan ini fikir hanya mereka yang benar?
Dasar itu sahaja yang benar? GMP bukan musuh. Adakah kami yang
mempersoalkan dasar ini bodoh, tak betul, tak benar? Kita bangsa Melayu
mesti membuat sesuatu berdasarkan kebenaran. Benda yang tiada masalah
dijadikan masalah, meleret hingga enam tahun.

Selain dari masalah pimpinan politik, jika Dato' sedar, di peringkat
sarjana di universiti juga menghadapi masalah sama. Bukan sahaja
matematik dan sains, tapi subjek lain seperti sains sosial, malah
khabarnya sastera Melayu yang tidak ada kena mengena pun, pihak
pentadbir meminta pensyarah mengajar dalam bahasa Inggeris?

Itulah akibatnya, sudah melarat-larat. Sepatutnya pensyarah ini ditegur
kerana melanggar dasar negara. Ada universiti yang mengajar
kesusasteraan Melayu dalam bahasa Inggeris. Kan bodoh ni.

Saya menggunakan istilah bodoh ini sebab tidak tahu nak guna istilah apa
lagi. Sebab kita sendiri yang punahkan bahasa kita. Bukan negara atau
bangsa lain yang suruh kita ajarkan ilmu dalam BI, tapi pemimpin kita
sendiri.

Di dunia terdapat puluhan negara yang maju yang menggunakan bahasa
sendiri. Jepun, China, Korea yang maju. Mereka guna bahasa ibunda
mereka, bukan bererti mereka tidak tahu BI.

Dari segi perkembangan ilmu, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
dalam terjemahkan buku suatu ketika dahulu begitu aktif. Kini
seolah-olah tiada buku baharu?

Kita terjemahkan buku, bukan terjemahkan buku yang ilmunya kita boleh
tulis sendiri. Ini yang patut digalakkan, iaitu menulis karya ilmu dalam
bahasa kita sendiri. Kita patut menterjemahkan buku dalam bahasa lain
yang bercorak klasik sahaja. Buku klasik isinya tidak berubah.

Karya pemikir Islam yang agung, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina,
dan banyak lagi, ilmuwan Barat sendiri 'tabik' terhadap kehebatan
pemikir Islam itu. Karya seperti itulah yang perlu ada terjemahannya
dalam bahasa Melayu, bukan asing yang sifatnya popular, yang isinya
sering berubah-ubah.

Buku matematik dan sains ini tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa
Melayu; sarjana kita sendiri boleh menulisnya dalam bahasa Melayu,
kecuali jurnal-jurnal ilmu dan hasil kajian ilmu dan saintifik yang
benar-benar 'original', bahan seperti itu mungkin perlu diterjemahkan
dalam bahasa Melayu.

Teori baru itu pun tidak banyak orang mengetahuinya. Masa Universiti
Kebangsaaan Malaysia (UKM) ditubuhkan kita menggunakan buku dari
Indonesia, malah pensyarah pun dari sana. Yang menggunakan bahasa Melayu
dalam bidang sains dan matematik, tidak ada masalah pun untuk memahami
buku dalam bahasa Melayu-Indonesia.

Dengan pelbagai tekanan kini, apa harapan Dato' agar kerajaan menimbang
semula dasar ini?

Saya berharap kementerian yang berkenaan pergi melawat sekolah di luar
bandar, sekolah yang tercorot. Tengok sendiri keadaan kanak-kanak di
situ.

Jangan pergi ke sekolah bandar sahaja, sekolah 'elite'. Itu tidak adil.
Buat sekarang, jangan duduk sahaja dalam bilik, buat kajian berdasarkan
data dan statistik yang pilih-pilihan (selektif).

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam
tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa
Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil.

Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini.
Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak
dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia.

PPSMI ini perlu dilihat dari segi konteks yang besar, bukan dari dua
tiga orang pembuat dasar. Apa yang akan terjadi pada bangsa Melayu
datang jika mereka tidak belajar sains dalam bahasa Melayu?

Adakah mereka boleh mencipta ilmu baru, sains baru, teknologi baru
dalam bahasa kita?

Kita kena melihat masalah PPSMI ini dari sudut yang luas itu. - mks. _


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: