Monday, March 08, 2010

'Nizar dan Sultan ada tafsiran sendiri, biar rakyat tentukan' - Haron Din

'Nizar dan Sultan ada tafsiran sendiri, biar rakyat tentukan' - Haron Din

Thu | Feb 19, 09 | 12:08:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Bagi tokoh agama yang terkenal, Dato' Dr
Haron Din menasihatkan agar kemelut yang berlaku di Perak ini
diselesaikan dengan cara paling baik iaitu mengembalikan kuasa kepada
rakyat untuk membuat keputusan melalui pilihan raya seluruh negeri.
Iklan

Timbalan Mursyidul Am PAS itu juga berpendapat, perselisihan tafsiran
undang-undang di antara Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan Menteri Besar
Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin merupakan proses biasa dalam amalam
demokrasi, dan bukan kali pertama berlaku di Malaysia dan mana-mana
negara di dunia.

"Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat, dia
hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak
nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya. Jadi jika ada perselisihan
tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan
sebagai derhaka.

"Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan
kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan. Atau kita berlapang dada dan
bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pelantikan
menteri besar kedua," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan
Harakah baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan Raja-raja Malaysia perlu dikekalkan
pada takhta yang sedia ada dan rakyat diseru supaya bersatu dan
mengekalkan kedudukan mereka.

Beliau antara ulama yang dekat dan rapat hubungannya dengan istana
menjelaskan istilah 'sembah derhaka' yang dimanipulasi oleh plebagai
pihak khusunya media sedangkan ianya bukan satu bentuk tindakan derhaka
yang sebenarnya.

"Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau
Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat.
Sama ada kecil atau yang besar. Seorang rakyat akan menuturkan bahawa
'patik sembah derhaka'. Bukan yang kita fahami itu derhaka adalah
melawan atau menyakiti Raja," katanya yang cuba membandingkan pelbagai
perbuatan menderhaka yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.

Katanya, yang tidak mahu mendedahkan secara terperinci, memang berlaku
perbuatan menderhaka yang tidak diketahui umum.

"Ada pemimpin disuruh Raja untuk 'briefing' pada hari tertentu tentang
perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang Raja suruh buat
projek untuk rakyat, tetapi pemimpin tak buat. Ada Sultan yang suruh
hentikan projek tertentu kerana membazir, mereka terus buat.

"Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan bantu projek tertentu
tetapi beri pada kroni mereka pula malah ada Raja beritahu saya, ada
pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati.

"Ini semua saya dapat tahu dan ada antara Raja-raja yang beritahu
sendiri kepada saya. Inilah perangai mereka... ini jauh lebih derhaka
lagi," katanya.- azm/mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: