Monday, March 08, 2010

Aminuddin Baki: Tokoh pendidik dan pemikir PAS

Aminuddin Baki: Tokoh pendidik dan pemikir PAS
Mohd Fadli Ghani
Mon | Feb 16, 09 | 11:24:40 am MYT

SALAH satu nama yang diisytiharkan sebagai ahli PAS oleh Dato' Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang di kalangan tokoh-tokoh pemikir bangsa Melayu
selain Prof Tan Sri Ahmad Ibahim dan Prof Dr Ungku Omar Ahmad ialah
Aminuddin Baki yang digelar sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia".
Iklan

Walaupun beliau lebih terkenal kerana sumbangan besarnya dalam bidang
pendidikan di negara ini, Aminuddin Baki ialah seorang ahli PAS pada
akhir 1956 iaitu setelah pemimpin pujaannya, Dr Burhanuddin al-Helmy
memimpin PAS. Dalam PAS, nama beliau tidak pernah menonjol kerana lebih
selesa dengan strategi Dr Burhanuddin untuk meletakkan figur-figur PAS
memegang jawatan utama kerajaan.

Aminuddin Baki selepas menyertai PAS, terlibat dalam penggubalan dasar
pelajaran seperti Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
Beliau telah memainkan peranan besar dalam memberikan kedudukan kepada
sekolah agama rakyat (SAR) dan juga peranan bahasa Melayu dalam
pendidikan.

Kepada PAS sumbangan beliau disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen seperti
Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli Mohamed, Hassan Adli dan lain-lain.
Berdasarkan maklumat-maklumat beliau, wakil rakyat PAS dapat terlibat
aktif dalam memperkatakan isu-isu pendidikan orang Melayu di Dewan
Rakyat.

[Image] Aminuddin Baki juga sentiasa menyalurkan pemikiran-pemikiran
beliau kepada PAS tentang politik negara sehingga wakil rakyat PAS
dilihat berkualiti dalam memperkata isu semasa.

Aminuddin bin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di Chemor, Perak. Pada
1932, beliau memasuki Sekolah Melayu Chemor selama lima tahun sebelum
menyambung pengajian di Sekolah Anderson, Ipoh antara 1936 hingga 1941.

Apabila perang meletus pada 1942, pelajaran beliau terganggu. Sepanjang
pemerintahan Jepun, Aminuddin Baki telah berkhidmat sebagai jurubahasa
di Mahkamah Ipoh kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Selepas perang
berakhir, pada 1947 beliau telah melanjutkan pengajian di Raffles
College, Singapura sehingga mendapat Diploma Sastera.

Pada 1949, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya, Singapura untuk
mengikuti kursus Sarjana Muda Sastera (BA) dalam bidang sejarah. Beliau
berjaya mendapat ijazah kepujian pada 1951. Pada 1952, Aminuddin
memenangi Queen Scholarship untuk membolehkannya menyambung pengajian
peringkat sarjana di University of London dalam bidang Pedagogi
Pendidikan dan lulus pada Julai 1953.

Latar belakang kehidupan beliau sebagai intelek muda Melayu pada zaman
transisi ini telah membuka kecenderungan Aminuddin untuk membangunkan
pendidikan bangsanya. Penglibatan beliau yang pertama di bidang
pendidikan ialah sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu di
Singapura antara 1949 hingga 1951.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan
Yusof, Batu Gajah sebelum bertugas di alma maternya, Sekolah Anderson
pada 1952 tetapi hanya beberapa bulan sahaja kerana berhijrah ke London
pada Julai 1952.

Setelah mendapat ijazah MA pada pertengahan 1953, beliau terus dilantik
sebagai pensyarah di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung
Malim. Ketika di Tanjung Malim ini beliau telah memperkenalkan subjek
Sejarah Islam kepada para pelajar walaupun subjek ini tiada dalam
sukatan.

Pada 1955, Aminuddin Baki telah dipilih menganggotai Jawatankuasa Razak
dalam mengkaji dasar pendidikan yang menghasilkan Laporan Razak. Laporan
ini telah mencadangkan supaya SAR diberikan bantuan oleh kerajaan selain
mewajibkan bahasa Melayu diajar di semua sekolah untuk tujuan integrasi
nasional.

Ketika Jawatankuasa Rahman Talib dibentuk pada 1960, Aminuddin Baki
dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat. Kerana kecemerlangan beliau,
pada 1962, Aminuddin Baki telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran
Selangor dan pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Ketua
Penasihat Pelajaran Malaysia iaitu satu jawatan yang setaraf dengan
Ketua Pengarah Pelajaran hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut berkhidmat sebagai anggota Senat
Universiti Malaya dan memberi sumbangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP).

Antara usaha penting Aminuddin Baki sebagai Ketua Penasihat Pelajaran
adalah mengasaskan peperiksaan awam Malaysia bagi menggantikan
peperiksaan Cambridge yang beraliran penjajah. Selain menubuhkan Lembaga
Peperiksaan Malaysia pada 1963 untuk mengendalikan peperiksaan awam,
beliau juga telah memperkenalkan Sijil Rendah Pelajaran (LCE), Sijil
Pelajaran Malaysia (MCE) dan Sijil Tinggi Pelajaran (HSC) bagi
menggantikan Junior Cambridge dan Senior Cambridge.

Selain itu juga, Aminuddin Baki turut terlibat aktif dalam aktiviti
budaya dan bahasa Melayu termasuk pernah dipilih mewakili Tanah Melayu
atas nama Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada
1956 ke Persidangan Persuratan Melayu di Medan. Tetapi kerana halangan
tertentu beliau digantikan oleh timbalannya, Ustaz Baharuddin Abdul
Latif.

Dalam bidang kemasyarakatan, Aminuddin Baki juga sangat terkenal kerana
aktif dalam gerakan pelajar. Kerana tertarik dengan penubuhan Persatuan
Pelajar-pelajar Melayu di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur pada
1945, beliau telah menyertainya.

Pada 1946, ia bertukar menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut
Melayu yang bersifat nasional dengan Aminuddin Baki sebagai
setiausahanya.

Pada April 1946, Aminuddin Baki memubuhkan pula Persatuan
Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) yang berpusat di Perak. Apabila
berhijrah ke Singapura pada 1947, beliau menyertai Persatuan Pelajar
Islam Raffles College dan Medical College. Penubuhan Umno yang
menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah memberi idea kepada
beliau untuk mewujudkan gabungan 11 buah badan pelajar Melayu dan
menubuhkan GPMS pada Ogos 1948. Aminuddin Baki merupakan Yang
Dipertua-Pengasas GPMS. Beliau juga terlibat dalam Persatuan ar-Rahman
dan Persatuan Sejarah Tanah Melayu.

Walaupun perjuangan Umno begitu popular ketika itu, sebagai pemimpin
terpelajar, Aminuddin Baki lebih cenderung kepada perjuangan politik
antipenjajah Dr Burhanuddin yang membawanya menjadi penyokong PKMM dan
menganggotai API bersama Ustaz Baharuddin Latif, Ustaz Othman Hamzah dan
lain-lain.

Apabila Dr Burhanuddin menyertai PAS, Aminuddin Baki memilih untuk
menjadi ahli PAS tetapi tidak aktif di barisan hadapan, sebaliknya
menjadi pemikir PAS di belakang tabir.

Walau bagaimanapun, usia perjuangan Aminuddin Baki tidak panjang kepada
pada 25 Disember 1965, beliau mengalami serangan jantung yang membawanya
menemui Ilahi selepas solat ketika baru berusia 39 tahun.

Kerana jasanya yang besar, banyak institusi pendidikan di negara ini
mengabadikan namanya termasuk Institut Aminuddin Baki, Kolej Aminuddin
Baki di UKM dan UPSI, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Yayasan Aminuddin
Baki, Aminuddin Baki Center for Global Studies UPSI dan lain-lain.-
tajdid _


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: