Monday, March 08, 2010

Kenaikan Harga Minyak Membebankan Rakyat

Kenaikan Harga Minyak Membebankan Rakyat: ABIM Tuntut 7 langkah segera
diambil

Malaysiakini: Abim: Kaji semula kenaikan harga minyak

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa keputusan kerajaan
untuk menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel
RM 1.00 sehingga menjadikan harga seliter minyak meningkat. Sememangnya
pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat. Ini memandangkan
kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas
serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia . Kenaikan harga
minyak ini akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup
dan harga barang-barang keperluan, yang pastinya membebankan terutama
sekali di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang tinggal
di bandar-bandar merupakan entiti masyarakat yang akan terjejas teruk
disebabkan kos sara hidup tinggi di bandar yang segalanya bergantung
kepada kuasa beli bagi mendapatkan sesuatu barang berbanding di kampung
setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan
faktor kenaikan minyak global namun demikian ABIM beranggapan bahawa
tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik,
mendadak dan terlalu tinggi jumlah kenaikannya, memandangkan kenaikan ini
secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
Kenaikan ini juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan
sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan
tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Bahkan ABIM juga berpendapat kenaikan ini tidak menepati status negara
sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada
hasil pendapatan negara. Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh
dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain
seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung
kegunaan domestiknya.

Menyedari implikasi yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ke atas
rakyat dalam pelbagai bentuk, ABIM menyarankan kerajaan melaksanakan
inisiatif-inisiatif berikut:

1. Memohon agar kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut yang
disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan
parioriti. ABIM berpandangan pembangunan bukan nilainya pada tumbuhnya
bangunan pencakar langit yang hanya bersifat "material" tetapi
pembangunan sebenar ialah pembangunan "insani" yang bersifat membangunkan
kebajikan rakyat. Insentif yang dikemukakan amat baik tetapi tidak dapat
banyak membantu rakyat kerana kesan kenaikan tersebut mempunyai impak
besar terhadap keseluruhan ekonomi negara terutama kenaikan caj
perkhidmatan dan harga.

2. Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan
berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan
miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Cara
kita mengurus ekonomi juga harus dikaji semua dan hendaklah lebih
mengutamakan kebajikan rakyat sepertimana yang telah digariskan dalam
Islam berhubung dengan konsep kenegaraan.

3. Seruan mengamalkan budaya belanja berhemah perlu dimulakan
diperingkat kepimpinan negara bermula dengan mengurus kos operasi
pentadbiran secara berhemah kerana kadang-kala wujud situasi perbelanjaan
secara berlebihan seperti pembelian kereta kerajaan dengan kereta import
luar negara. Selain itu majlis-majlis dan program-program besar-besaran
yang bersifat "ceremonial" semata-mata menelan belanja berjuta-juta
ringgit perlu dielakkan. ABIM menyeru agar pemimpin-pemimpin,
jabatan-jabatan, serta agensi-agensi kerajaan mengamalkan budaya
berbelanja secara berhemah, agar dapat dicontohi serta diteladani oleh
rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi
semua pihak termasuk kerajaan negeri.

4. Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara
berhemah serta teliti untuk mengelakkan sebarang pembaziran yang tidak
perlu, dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk
dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Unsur-unsur rasuah dan
ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak wajar
diperangi habis-habisan.

5. Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi,
komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat
meringankan beban kenaikan harga minyak.

6. Memantau harga barang-barang keperluan yang masih menerima subsidi
daripada kerajaan, agar tidak ada golongan peniaga yang tidak
bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan
berlipat ganda ekoran daripada kenaikan harga minyak.

7. Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan
berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan
teratur.

Khairul Arifin Mohd Munir
Setiausaha Agung ABIM / Secretary General

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: