Thursday, March 18, 2010

Umno harus sedar majoriti Melayu teras kekuatan Anwar Ibrahim

Umno harus sedar majoriti Melayu teras kekuatan Anwar Ibrahim *Mohd
Rashidi
Hassan*
Wed | Apr 16, 08 | 4:46:52 pm MYT

Peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan
Perdana Menteri sekali gus Menteri Kewangan pada 2 September 1998 dan
disusuli pemecatan sebagai Timbalan Presiden Umno pada 3 September,
melakar
sejarah baru dalam politik Malaysia.

Anwar bukan sahaja dipecat, malah dihadapkan dengan dakwaan 10 pertuduhan
yang membabitkan penderhakaan terhadap negara, rasuah dan salah laku seks
yang menyebabkan beliau terpaksa meringkuk enam tahun dalam penjara.

Tindakan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad itu,
mendorong penyatuan gabungan semua parti pembangkang yang terdiri daripada
PAS, Parti Keadilan Nasional yang baru ditubuhkan, DAP dan PRM.

Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor merupakan pemimpin
pembangkang yang pertama tampil ke hadapan mengkritik Dr Mahathir di atas
kezalimannya menganiaya Anwar.

Diikuti dengan Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali, turut menziarahi Anwar
di rumahnya bagi menyatakan sokongan pembangkang terhadap Anwar.

Gabungan erat empat parti pembangkang ketika itu, membentuk sebuah gagasan
politik yang dinamakan Barisan Alternatif dengan mengemukakan manifestonya
bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Adil' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum
tahun 1999.

*Bermula era reformasi*

Sebelum daripada penggabungan pembangkang, era reformasi bermula sebaik
pemecatan Anwar. Rakyat di seluruh negara bangkit menentang kezaliman Dr
Mahathir terhadap orang yang dilatih selama 16 tahun untuk menjadi
pengganti
beliau.

Masjid Negara menjadi lokasi pertama perhimpunan 100 ribu umat,
menyaksikan
kebanjiran penyokong keadilan memenuhi setiap pelusuk kota dari Masjid
Negara hingga ke Dataran Merdeka.

Pada malam itu juga kediaman Anwar di Bukit Damansara diserbu anggota UTK
yang lengkap dengan senjata automatik, menangkap dan mengheret Anwar ke
Bukit Aman.

Serentak dengan itu berpuluh-puluh pengikut Anwar ditahan di bawah ISA.
Tindakan keras pihak berkuasa itu, tidak menghalang laungan reformasi
untuk
terus bergema, demonstrasi berterusan setiap minggu di Jalan Tunku Abdul
Rahman.

Laungan reformasi terus bergema di penghujung tahun 1998, walaupun Dato'
Seri Anwar Ibrahim sedang terbelengu di sebalik pasung jeriji besi di
Penjara Sungai Buloh.

*Pasca PRU 1999 dan 2004*

Keputusan PRU 1999 membuktikan majoriti orang-orang Melayu menolak Barisan
Nasional. Sehingga ada statistik kajian melaporkan suatu ketika, 7
daripada
10 orang Melayu menyokong Anwar.

Secara puratanya, rekod PRU 1999 membuktikan 60 peratus Melayu menyokong
Anwar dan gabungan pembangkang, manakala hanya 40 peratus Melayu kekal
menyokong BN.

Walaupun wujud gabungan padu Barisan Alternatif, yang wujud di dalamnya
keanggotaan dari kaum Cina, India dan lain-lain, namun ketika itu tidak
ramai daripada kaum bukan Melayu yang menyokong Anwar.

Hanya ada segelintir pimpinan utama PRM dan Keadilan ketika itu yang
'all-out' membela nasib Anwar sehingga terpaksa meringkuk dalam lokap
polis,
dipukul dan ditendang sehingga mengalami kecederaan.

Hakikat yang ditunjukkan pada PRU 1999, peristiwa lebam mata Anwar dipukul
Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak menyelami lubuk hati kaum
bukan
Melayu.

Keadaan ini kekal sehingga PRU tahun 2004. Pindaan persempadanan semula
kawasan pilihan raya yang begitu 'bias' (berpihak) kepada BN pada tahun
2002
menjadikan kawasan-kawasan Parlimen dan Dun dirobek-robek dan dicampur
adukkan dengan lokaliti pengundi bukan Melayu.

Ketika itu Umno/BN mengetahui bahawa Melayu tidak boleh diharapkan untuk
menyokong mereka. Maka kaum bukan Melayu dipergunakan untuk terus
menyokong
BN.

Fakta PRU 2004 menunjukkan majoriti Melayu masih menolak Umno/BN dan
menyokong PAS serta KeADILan dan lain-lain pembangkang. Ketika itu DAP
tidak
bersama dalam Barisan Alternatif.

Sehingga Pilihan Raya Kecil Dun Ijok pada April 2007, kaum bukan Melayu
masih belum menunjukkan sokongan padu kepada pembangkang sehingga
menyebabkan Tan Sri Khalid Ibrahim tewas dengan K Parthiban.

'Swing vote' atau tsunami pada PRU 2008 dari kalangan kaum bukan Melayu,
sememangnya di luar jangkaan pemimpin Pakatan Rakyat, juga di luar
jangkaan
BN.

*Melayu teras kekuatan Anwar *

Semua peristiwa ini membuktikan hakikat bahawa, teras kekuatan sokongan
Melayu yang majoriti beragama Islam ialah kepada Anwar dan pembangkang,
terutamanya PAS.

Fakta yang harus diingat ialah, sejak kerjasama erat yang dihulurkan
Almarhum Ustaz Fadzil, orang-orang PAS yang majoritinya Melayu memberikan
kerjasama dan dokongan erat kepada pembangkang, khususnya Anwar dan
KeADILan.

PAS mempunyai sejuta ahli dan hampir dua juta pengundi setia sejak
beberapa
kali PRU. Kekuatannya meluas di seluruh negara. PAS kawasan dan cawangan
berada di mana-mana.

Sehingga banyak kali PRU, calon-calon pembangkang (yang bukan PAS), boleh
bergantung sepenuhnya dengan jentera pilihan raya PAS kerana orang-orang
PAS
komited dalam soal kerja dan tugas menentang BN.

Komitmen ahli dan penyokong PAS dalam menjayakan gabungan pembangkang yang
dinamakan Pakatan Rakyat begitu besar dan ianya terus terbukti dalam PRU
ke-12 8 Mac lepas.

Justeru tuduhan bahawa Anwar akan mengetepikan Melayu, Melayu diambang
perpecahan, masa depan Melayu terjejas dengan Pakatan Rakyat sememangnya
tidak betul sama sekali.

Fakta yang harus difahami ialah sejak tahun 1999 sehingga 2008, kekuatan
Umno/BN hanya didokong oleh minoriti Melayu, sekitar 40 peratus dan
ditambah
dengan sokongan majoriti bukan Melayu.

Masalah yang berlaku hari ini ialah sokongan minoriti Melayu dalam Umno,
terhadap Umno semakin berpecah. Jika Umno berpecah, Melayu dalam Umno
bergaduh, kuasa politik Melayu terhakis, bukan salah Anwar, bukan salah
PAS,
ianya adalah kesalahan pemimpin-pemimpin Umno!

Hakikatnya, teras kekuatan Anwar adalah dengan dokongan majoriti Melayu
daripada PAS, tanpa dokongan PAS belum tentu Anwar akan terus berada dalam
kedudukan sekarang.

Oleh sebab itu, dakwaan bahawa, jika Anwar berkuasa menjadi Perdana
Menteri,
kuasa Melayu akan terhakis adalah propaganda jahat Umno/BN semata-mata.

Majoriti Melayu yang berada dalam PAS, juga dalam KeADILan adalah
pendokong
sebenar kekuatan Anwar Ibrahim.

Maka, jika kuasa berpindah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan
Rakyat,
orang-orang Melayu tetap terjamin haknya dari sudut politik, pendidikan,
ekonomi dan sosial, malah mungkin lebih baik lagi!


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: