Saturday, November 10, 2007

Usaha gagalkan 10 Nov: Awas provokasi beruang hitam!

Baru sahaja selepas solat Jumaat tadi saya berkenalan dengan seorang anak
muda lulusan al Azhar. Beliau dan rakan-rakannya seramai kira-kira 100
orang menurutnya, tiba Subuh tadi dari Kota Bharu untuk menyertai
PERHIMPUNAN AMAN BERSIH, jam 3.00 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
esok. Saya difahamkan rombongan dari segenap pelusuk Negara kini
beransur-ansur tiba untuk turut serta dalam perhimpunan bersejarah itu.

Menurut yang baru tiba, terdapat sekatan jalanraya dari sempadan
Kelantan-Terengganu sehinggalah jalan memasuki Kuala Lumpur. Pihak polis
dikatakn dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap-sedia bagi menghadapi
sebarang kemungkinan. Kita faham mereka bertugas untuk menjaga
keselamatan rakyat dan negara, itu tugas mereka. Kita sebagai rakyat juga
menjalankan tugas, iaitu menuntut hak kita sebagaimana yang terjamin di
dalam Perlembagaan negara.

Kita mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, mudah-mudahan sistem
demokrasi yang BERSIH akan melahirkan sebuah kerajaan dan negara yang
BERSIH. Dan lebih penting lagi memorandum tuntutan kita itu sudi diterima
oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Raja kita, yang kita semua
telah melafazkan taat setia kepada Baginda sebagaimana termaktub dalam
Rukunegara.

Raja dan rakyat berpisah tidak, oleh itu janganlah mudah-mudahan ada
mana-mana pihak menyekat dan menghalang kita dari mengadap Raja kita yang
kita kasihi itu.

Syabas saya ucapkan kepada rakan-rakan yang telah dan akan tiba ke KL dari
segenap pelusuk bumi Semananjung ini. Disaat penuh bersejarah ini kita
renunglah beberapa kerat sajak Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang,
yang dinukilkannya semasa Peristiwa Mogok Utusan dahulu, mungkin boleh
dibuat sebagai pencucur semangat:

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani
di jalan sungai besi
se derap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

(Sajak: Mahasiswa)

Ramai yang bertanya tentang tindakan yang mungkin diambil oleh pihak
keselamatan terhadap rakyat jelata yang menyertai HIMPUNAN AMAN ini esok.
Saya katakan insyallah, ini HIMPUNAN AMAN, jika pihak keselamatan rasional
dan mahu memelihara maruah dan nama baik negara (sebagaimana kita), mereka
akan mengawalnya tetapi tidak bertindak. Kepada rakan-rakan dinasihatkan
agar tidak mencetuskan sebarang tindakan yang tidak diingini, kita
berhimpun secara AMAN dan matlamat kita adalah untuk menyembahkan
MEMORANDUM RAKYAT kepada Yang Dipertuan Agong. Tidaka ada siapa yang
datang esok mahukan keganasan atau mahu mencetus huru-hara.

Hidup ini memang sentiasa dibayangi oleh risiko, namun yakinlah apa yang
kita lakukan ini akan ditulis dalam lipatan sejarah negara dan disaksikan
oleh Allah swt. Kata Alahyarham SN Usman Awang lagi:

Di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
dimana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tidak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.

Ayuh jumpa anda semua jam 3.00 petang di Dataran Merdeka.

Hidup Malaysia, Daulat Tuanku!

*****.*.*****

Detikdaily

Usaha gagalkan 10 Nov: Awas provokasi beruang hitam!
Posted on Friday, November 09 @ 09:19:27 EST by reformis
Oleh Ruhanie Ahmad

Kini terdapat sekumpulan kadam suruhan seorang anak muda codenamed
�beruang hitam� sedang menyebarkan risalah di sekitar Kuala Lumpur
dan Lembang Klang. Kadam-kadam berkenaan diarah oleh bosnya untuk
menggagalkan gelombang kuning yang akan menggelora daripada Dataran
Merdeka menuju ke Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu, 10 November 2007,
mulai 3.00 petang.

Kadam-kadam �beruang hitam� juga menyebarkan berita bahawa bos mereka
telah mengarahkan sekumpulan �askar upahan� untuk memprovokasi
peserta gelombang kuning supaya bertindak liar di sepanjang perjalanan
mereka menuju ke Istana Negara.

Jangan terpedaya dan jangan patah semangat. Pastikan gelombang kuning akan
tetap menggelora. Sepatah kata hebahan dalam Malaysia Today, sebaik sahaja
perarakan tiba di perkarangan Istana Negara, seramai 10 orang wakil
gelombang kuning akan diperkenankan masuk mengadap dan menyampaikan
memorandum yang mengandungi hasrat dan cita-cita rakyat jelata kepada
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Lantas, buktikanlah kepada dunia bahawa gelombang kuning memang
sebenar-benarnya satu perarakan aman. Mulakanlah langkah dengan bacaan
ikrar Rukun Negara. Susulilah ikrar itu dengan nyanyian lagu Negaraku.
Laungkanlah kalimah: Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, di
sepanjang perjalanan dengan penuh semangat membelah angkasa.

Bergeraklah dengan penuh sopan santun dan budi bahasa. Junjung dan araklah
Jalur Gemilang dengan penuh tertib dan gaya perwira negara. Jangan layan
apa jua bentuk provokasi yang mungkin dicetuskan oleh kadam-kadam
�beruang hitam�. Jalan dan terus berjalan dengan langkah perkasa,
mengikut alir dan arus gelombang kuning menuju ke Istana Negara.

Dengan susun cara seperti di atas, mana-mana pihak yang berusaha
menggagalkan gelombang kuning adalah kelompok yang mahu mengkhianati
rakyat jelata daripada mengadukan nasib mereka kepada Rajanya. Dengan
susun cara seperti di atas juga, kalaulah terjadi sesuatu yang tidak
diingini, cepat-cepatlah katakan bahawa itulah angkara �beruang
hitam� dan kadam-kadamnya yang sedang mabuk kuasa!

Insaflah. �Beruang hitam� sedang bekereja keras untuk mencipta
�collateral damage� yang akan dijadikan bahan bukti kononnya
gelombang kuning adalah satu tindakan tanpa budaya.

Oleh itu, jangan izinkan gelombang kuning diperdayakan oleh mana-mana
pihak. Gelombang kuning bukan berhasrat mencari �collateral damage�.
Sebaliknya, gelombang kuning mencita-citakan �collateral advantage�
demi kesejahteraan Malaysia dan rakyat jelatanya.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!!!

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: