Thursday, November 15, 2007

Kelantan bertanya mengapa ECER tidak melibatkan projek petroleum dan gas?

Nov 01, 07

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Walaupun terdapat beberapa projek besar yang
dirancangkan di dalam pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad
Badawi 28 Oktober lalu, namun ia masih menimbulkan tanda tanya mengenai
pelan yang telah dibentang oleh Petronas sebagai syarikat peneraju
utamanya.

Ini adalah disebabkan sebilangan kakitangan kerajaan negeri tersebut
mempersoalkan projek-projek yang dirancang tidak melibatkan penjanaan
hasil bumi iaitu petroleum dan gas yang telah ditemui di pesisiran pantai
negeri tersebut sebelum ini.


"Apa yang menghairankan ialah kami masih tertanya-tanya kenapa kerajaan
pusat tidak mahu menjalankan projek yang telah dikenalpasti berpotensi
untuk membantu menjana pendapatan yang lebih," ujar seorang kakitangan
kerajaan yang enggan dikenali kepada Harakahdaily.


Perkara tersebut juga terkandung di dalam ucapan Menteri Besar Kelantan,
Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa majlis yang sama.


"Sungguhpun begitu, kami masih menaruh harapan agar PM dapat meneliti
semula projek-projek ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Kelantan
secara keseluruhannya."


"Jangan disebabkan perbezaan politik yang dianuti oleh kerajaan negeri
ini membuatkan kerajaan pusat terus mengamalkan diskriminasi ekonomi ke
atas rakyat Kelantan," ujarnya lagi dalam nada terkilan selepas Abdullah
mengumumkan projek-projek yang terkandung di dalam ECER.


Namun, beliau tetap menyokong sebarang rancangan kerajaan pusat dalam
usaha membangunkan rakyat dengan mengutamakan pembangunan yang seimbang
meliputi pembangunan sahsiah dan sosial.


Selain itu, penglibatan Petronas secara langsung juga dilihat sebagai
suatu perkara yang positif memandangkan selama ini rakyat menuntut
kekayaan hasil minyak diagihkan secara sama rata.


Apa yang penting baginya adalah rakyat ingin melihat hasil atau natijah
pelan yang dirangka dengan suntikan awal ECER bernilai RM 6 bilion itu.


Dalam membicarakan perkara tersebut, beliau berpendapat ECER dijangka
akan memberi manfaat kepada ekonomi Kelantan secara langsung terutama
pembangunan kawasan baru yang sememang telah dikenalpasti oleh kerajaan
negeri untuk dibangunkan.


Jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan pusat dan negeri
adalah jelas meskipun pada peringkat awal PAS mengambilalih Kerajaan
Kelantan pada tahun 1990, kerajaan negeri dinafikan hak untuk menerima
geran peruntukan mengikut jadual dan peruntukan sebagaimana dalam
Rancangan Malaysia Ke-9 sepatutnya telah lama dinikmati oleh negeri
Kelantan. Sebagai contoh, janji penubuhan universiti di Kelantan sudah
lama, tapi baru sekarang dtunaikan janji tersebut.


Tambahnya, isu ECER menjadi alasan kerajaan pusat untuk menafikan
kewibawaan dan keupayaan PAS memerintah di Kelantan tidak timbul kerana
sepanjang PAS mentadbir Kelantan banyak projek pembangunan telah
dilaksanakan melalui agensi-agensi pembangunan negeri seperti Perbadanan
Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan,
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam serta agensi-agensi yang
lain.


"Komponen pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9 juga turut dimasukkan
dalam pelan ECER bagi memperlihatkan kepada umum bahawa ia merupakan
projek berskala besar yang dilancarkan di setiap negeri pantai Timur bagi
memberi gambaran bahawa kerajaan pusat mempunyai agenda besar dalam
membangunkan ekonomi negeri-negeri di Pantai Timur semenanjung.


Terdapat 23 senarai projek dan inisiatif utama ECER di Kelantan termasuk
pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan Jeli,
projek agropolitan di Gua Musang, taman perikanan di Tok Bali, halal hab
di Pasir Mas dan lembah agro di Bachok. - mns


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: