Thursday, November 15, 2007

Mesej jelas rakyat mohon YDP Agong pastikan pilihan raya bersih dan adil

Nov 10, 07

Perhimpunan dan perarakan aman lebih 100 ribu rakyat menuju ke Istana
Negara berjaya diadakan walaupun banyak sekatan jalan raya di seluruh
negara dilakukan oleh pihak polis.

Sekatan di daerah Gombak bermula di jalan Setapak hingga Titiwangsa
bermula malam Sabtu. Manakala pagi tadi, jalan dari Kampung Padang
Balang, Gombak dan Sentul sesak untuk menuju ke bandaraya.


Unit Amal Malaysia diiringi Seri Kandi telah bergerak ke beberapa lokasi
seperti di Masjid Jamek, Sogo dan Masjid Negara jam 11.30 pagi.


Selepas itu beberapa orang pimpinan AJK PAS Pusat antaranya, Ustaz
Mujahid Yusof Rawa; Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah, Wan
Hasrina Wan Hassan, Dr Lo'Lo', Dr Mariah Mahmood, Mohamad Sabu mula
bergerak ke Masjid Negara.


Lebih 5000 orang peserta perhimpunan aman berkumpul dan menunggu team
dari Masjid Jamek, Kampung Baru dan Sogo untuk bersama berarak ke Istana
Negara.


Walaupun hujan lebat namun peserta perhimpunan aman tidak berganjak
daripada perkarangan masjid Negara. Unit Amal Malaysia gagah berdiri
mengawal suasana manakala Seri Kandi tetap bersemangat walaupun dalam
suasana hujan lebat.


Belum sempat Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyampaikan pesanan,
peserta himpunan di Masjid Negara melaungkan takbir, Allahu Akhbar!
apabila melihat perarakan gelombang kuning berada di hadapan Masjid
Negara.


Kesungguhan Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar, Ustaz Idris
Ahmad mendahului perarakan, walaupun dalam suasana hujan yang lebat.
Laungan Allah Hu Akhbar!, Bersih, Bersih, Bersih dan ingatan jaga
disiplin serta keselamatan daripada Unit Amal Malaysia terus bergema.


Perarakan terhenti lebih kurang 100 meter daripada Istana Negara apabila
enam trak FRU dan satu `water canon', polis telah menghalang di kedua-dua
belah jalan raya.


Laungan takbir dan laungan Daulat Tuanku terus bergema. 30 minit peserta
perhimpunan menanti dengan penuh kesabaran, Setiausaha KeADILan Selangor,
Tan Sri Khalid Ibrahim, Lim Guang Eng, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Presiden
PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Dato' Kamarudin Jaffar telah
mengadakan perbincangan dengan pegawai polis, Sulaiman. v Dalam
perbincangan itu, Khalid Ibrahim meminta pihak polis bersabar dan tidak
melakukan serangan kepada peserta memandangkan temu janji untuk
menyerahkan memorandum jam 5 petang.


Perbincangan dipersetujui tujuh orang pimpinan boleh masuk ke Istana
untuk menyerahkan memorandum.


Sementara menanti kehadiran Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim;
Lim Kit Siang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim, FRU telah bersiap
sedia menghalakan muncung `Water Canon'.


Seorang pegawai polis memberi amaran kepada pimpinan parti, FRU akan
membuat serangan disebabkan peserta perhimpunan bising melaungkan
beberapa slogan.


Lebih kurang jam 4 petang, Anwar, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah,
Salahuddin Ayub, Azmin Ali tiba di perkarangan Istana Negara.


Bagaimanapun, serahan memorandum itu hanya disampaikan kepada Pegawai
Istana di hadapan pagar Istana Negara.


Perhimpunan di hadapan Istana Negara tidak mencetuskan sebarang
pertelingkahan dan tangkapan. - mr-->

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: