Saturday, November 10, 2007

Ketakutan ulama tidak bertempat - Dr Siddiq Fadhil

Ketakutan ulama tidak bertempat

Nov 03, 07

Ulama dan umarak adalah dua golongan utama yang menentukan maju mundurnya
umat ini dalam mana-mana zaman-zaman sekali pun. Demikian seperti yang
tersebut dalam sepotong hadis oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Ulama dan umarak adalah kelompok yang mengasuh kemanusiaan. Manakala
Maulana Iqbal pula bermadah melalui syairnya, "Bangsa itu lahir melalui
tangan para penyair, jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan
politikus."


Penyair, menurut Iqbal, merupakan golongan yang sejalur makna dengan
pengertian ulama-ilmuan dan melalui tangan mereka inilah nilai
ketamadunan sesuatu bangsa itu diangkat. Dan, kelahiran bangsa Arab
umpamanya ditandai dengan kehadiran syair-syair Jahiliyah yang telah
dipatahkan melalui al-Quran yang ditanzilkan dengan ungkapan gaya bahasa
syair yang indah.


Ucapan-ucapan indah itulah yang menggerakkan serta merangsang pertumbuhan
akliah anak bangsa untuk melakukan perubahan dan kemajuan. Tetapi, bangsa
itu maju dan jatuh melalui kuasa-kuasa ahli politik. Politikus yang baik
akan memajukan bangsa, demikianlah sebaliknya.


"Maka, ulama dan umarak perlu bersatu demi membangunkan umat. Mereka
harus positif dan optimis dalam mendepani perubahan demi meningkatkan
kekuatan umat masa depan."


"Tiada masalah yang tak dapat ditangani asalkan semangat jihad
disuburkan. Sikap pertama yang harus ada ialah melihat masalah sebagai
peluang dan cabaran, bukan penghalang," kata Pengerusi Persidangan
Kebangsaan Pertubuhan Islam Malaysia (Skima) Mohd Azmi Abdul Hamid ketika
menutup acara persidangan pertubuhan Islam di Kota Bharu 28 Oktober lalu.


Antara masalah pertubuhan Islam kini menurutnya, adalah tiada kemahiran
berorganisasi dan sesetengah aktivis dakwah yang enggan berjuang di dalam
wadah ulama kerana kepentingan tersendiri sehingga mengabaikan usaha
membasmi kejahilan umat.


"Ulama pun jadi berpecah, umat sengsara dan keadaan bertambah parah,"
kata beliau lagi.


Persidangan anjuran Kerajaan Kelantan dan Skima itu disertai sekitar 500
orang perwakilan daripada 78 NGO Muslim yang membentangkan kira-kira 10
kertas kerja, dan meluluskan 13 resolusi hasil perbincangan bersama yang
dikenali sebagai 'Deklarasi Serambi Makkah'.


"Usaha aktivis bukan terletak kepada laungan, menghasilkan resolusi tanpa
tindakan. Mereka harus beranjak ke arah paradigma yang menekankan strategi
secara rapi, pelaksanaan secara konsisten, berani mendepani seteru Islam
dengan membina barisan pejuang."


"Para aktivis Islam, ulama dan umarak perlu bekerjasama dalam bidang yang
boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat," ujar
Mohd Azmi.


Oleh itu, tambah beliau, para aktivis Muslim perlulah melengkapkan diri
dengan kemahiran, ilmu dan kepimpinan di samping berusaha memahami
masalah terkini umat Islam.


Sebaliknya, menurut beliau keadaan umat Islam masa kini tidak menampakkan
kesatuan yang kukuh dan kekuatan rohani yang disokong kekuatan
intelektual.


Mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama
Tetapi, melihat situasi umat yang parah ini, apakah harapan untuk
melahirkan ulama bersifat umarak dan umarak yang memiliki ciri ulama itu
dapat dicapai? Atau, dalam pengertian yang lain, apakah mudah kerja untuk
mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama?


Presiden Wadah Dr Siddiq Fadhil dalam ceramahnya bertajuk 'Ulama dan
Umarak: Penyatu Pembangunan Ummah dan Negara' berkata, seruan ini pernah
berkumandang pada satu masa dahulu dengan sedikit perbezaan.


"Dulu disebut 'mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama'.
Tetapi, sekarang ini apakah mampu kita meneruskan usa ha itu dalam
konteks kenegaraan dan dakwah hari ini?"


"Antara mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama, mana lebih susah?
Pada saya, bukan mudah usaha mengulamakan umarak. Tapi, lebih susah kerja
mengumarakkan kaum ulama ini," demikian menurut beliau ketika menjawab
soalan hadirin.


Selain itu, tambah beliau, antara sebab umat ketinggalan ini berpunca
daripada ulama yang takut dan ketakutan mereka itu tidak bertempat.


"Antara ciri ulama seperti yang disebutkan dalam al-Quran ialah
ketakutannya kepada Allah dan ciri ini hilang. Bukan bererti ulama
sekarang tidak takut. Ketakutan itu masih ada, tetapi ia bukan kepada
Allah, malah kepada pemerintah.


"Dan kita lihat pemerintah sekarang bukan lagi memakai fahaman berani
kerana benar, takut kerana salah. Malah, mereka menjadi benar kerana
berani. Dan kalau salah tak pernah takut," katanya lagi.


Tambah Dr Siddiq, umat tatkala berdepan dengan situasi sebegini, agak
sukar untuk menegur ulama dan pemerintah.


"Menegur ulamak yang bijak tidak mudah kerana mereka ini selalu ada
jawapannya," katanya ketika menceritakan kisah usaha menasihatkan ulama
yang gemar bermewah dan membazir.


"Umat mencari seorang ulama lain untuk menasihati ulama yang suka
bermewah itu. Suatu hari, dia berwuduk dengan air banyak sehingga ditegur
ulama yang suka mewah itu. Ulama yang suka kemewahan itu berkata:
"Kenapa berlebihan mengguna air? Cukup sahaja dengan membasuh anggota
wuduk tiga kali."


"Wah, saya cuma berlebihan menggunakan air. Anda berlebih-lebihan dan
bermewah-mewah menggunakan harta itu bagaimana pula?" kata ulama tadi,
ketika membalas hujah. Akhirnya, ulama tadi tersedar daripada
kesilapannya selama ini.


Ertinya, usaha menegur ulama dan umarak perlu berterusan juga demi
kelangsungan umat.


Zulkarnain contoh ulama - umarak
Apakah harapan melihat kelahiran 'ulama berjiwa umarak' dan 'umarak
berjiwa ulama' akan masih wujud? Dr Siddiq Fadhil berkata, watak ini
sebenarnya pernah disebutkan di dalam al-Quran ketika beliau merujuk
watak seperti Iskandar Zulkarnain.


Tambah beliau Zulkarnain adalah contoh ulama-umarak yang membina 'projek
mega' untuk melindungi rakyat daripada ancaman musuh mereka.


"Projek mega itu disebut dalam al-Quran, iaitu sebuah benteng yang
melindungi mereka daripada penjajahan Yakjuj Makjuj. Ia bukan projek
kemegahan Zulkarnain untuk memuji diri sendiri. Buktinya setelah selesai,
baginda isytiharkan bahawa projek itu adalah rahmat daripada Allah."


"Saya bercita-cita besar, jika saya jadi penguasa, hal yang sama saya
lakukan. Di bawah setiap papan tanda projek itu akan ditulis ayat, bahawa
projek ini adalah rahmat Allah dan bukanlah ayat seperti: Inilah dia
sebuah lagi projek di bawah ...," kata beliau, diikuti ketawa hadirin.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: