Thursday, November 15, 2007

Himpunan 10 Nov: Apa hak anda bila berdepan dengan polis?

Nov 04, 07

Jika saudara ditangkap atau ditahan oleh polis, saudara mesti tahu
perkara-perkara berikut:

* Saudara mesti diberitahu oleh polis secara jelas bahawa saudara
ditahan.


* Saudara boleh diarahkan oleh polis agar tidak meninggalkan suatu tempat
yang ditetapkan oleh mereka pada masa itu disebabkan mereka telah
menangkap saudara.


* Saudara juga boleh dihalang secara fizikal oleh polis daripada
meninggalkan suatu tempat yang telah ditetapkan oleh polis sebagai tanda
bahawa saudara sudah ditangkap oleh mereka.


* Dalam apa keadaan sekali pun, sekiranya saudara tidak bertindak agresif
atau melawan, polis tidak berhak untuk bertindak kasar dengan memukul,
mengetuk, menyiku, menumbuk, menendang atau melakukan apa-apa sahaja
perbuatan ganas terhadap saudara!


* Saudara MESTI diberitahu oleh polis apakah sebab saudara ditangkap atau
ditahan oleh mereka.


* Saudara boleh bertanya kepada polis kenapa saudara ditangkap. Sekiranya
pihak polis gagal memberitahu apakah sebab saudara ditangkap, beritahu
kepada mereka bahawa saudara tidak anggap diri saudara ditangkap oleh
mereka. Ucapkanlah kata-kata ini dengan sopan dan secara jelas.


* Saudara mungkin digari oleh polis semasa mereka menagkap saudara.
Saudara boleh meminta agar gari saudara dibuka pada masa itu juga. Walau
bagaimanapun adalah menjadi budi bicara pegawai polis yang menangkap
saudara sama ada mahu terus menggari atau membuka gari saudara.


* Sekiranya gari yang digunakan ke atas saudara adalah jenis yang
menyakitkan kerana mencengkap tangan saudara (gari Siam!), beritahu polis
untuk menukarkan gari tersebut dengan gari jenis yang diluluskan oleh
undang-undang. Gari Siam adalah sejenis gari yang tidak sah untuk
digunakan terhadap tahanan polis. (Gari Siam hanya digunakan oleh
penyangak dan penjenayah profesional!)


* Jika semasa ditangkap saudara ada membawa ubat-ubatan keperluan saudara
ataupun barang-barang lain, saudara boleh memohon agar barang-barang
tersebut dibenarkan untuk dibawa bersama saudara.


* Jika pegawai polis yang membuat tangkapan mahu merampas ubat-ubatan,
telefon bimbit dan barang-barang saudara, beliau mesti menyediakan satu
salinan barang rampasan dan meminta saudara menandatangani senarai
tersebut.


* Polis tidak boleh merampas sebarang milik saudara tanpa menyerahkan
kepada saudara satu senarai barang rampasan.


* Jika polis merampas barang-barang tersebut daripada saudara tanpa
menyerahkan senarai barang rampasan, hendaklah saudara buat laporan polis
sebaik sahaja saudara berpeluang melakukannya. Tindakan polis merampas
barang-barang saudara tanpa menyerahkan senarai barang rampasan adalah
satu perbuatan mencuri!


* Hafal nombor polis di baju mereka. Jika mereka tidak memakai sebarang
nombor atau tanda nama, mereka sedang melakukan satu pelanggaran terhadap
undang-undang. Cam muka mereka baik-baik!


Ingat, dalam kerja-kerja polis menangkap saudara biasanya banyak berlaku
pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi manusia dilakukan oleh
mereka. Ingatkan semua perkara ini agar mudah nanti saudara mengheret
anggota polis yang terlibat dan kerajaan ke mahkamah. Jangan
takut!

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: