Saturday, November 10, 2007

Bilangan TNC IPTA berlebihan?

Nov 06, 07

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Dato' Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat)
mempersoalkan jumlah pelantikan Timbalan Naib Canselor (TNC) di Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dilihat melebihi berbanding universiti
lain yang terkemuka di dunia.

Dengan memberi beberapa contoh universiti terkemuka seperti Universiti
Harvard, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, jelas Kamarudin
beliau yakin di universiti ini tidak mempunyai sehingga empat atau lima
orang Timbalan Naib Canselor seperti mana universiti-universiti di
Malaysia.

Beliau berkata demikian sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi
soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Terdahulu, Kamaruddin juga menganggap penjelasan Timbalan Menteri
Pengajian Tinggi, Dato' Ong Tee Kiat bagi soalan asal yang dikemukakan
Tan Sri Dr Ting Chew Peh (BN-Gopeng) mengenai pelantikan warga bukan
Melayu sebagai Timbalan Naib Canselor di IPTA hanya menjadi amalan
kerajaan apabila terdapat tuntutan daripada kaum tertentu.


Dalam jawapannya jelas Tee Kiat, Kementerian Pengajian Tinggi telah
melantik empat Timbalan Naib Canselor di empat buah IPTA, iaitu
Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan
Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.


Tambahnya lagi, pelantikan semua Timbalan Naib Canselor sama ada di
kalangan Melayu atau bukan Melayu dibuat berdasarkan kepada kriteria yang
telah ditetapkan.


Katanya lagi, pihak kementeriannya juga sedang dan akan memantapkan proses
pemilihan calon dengan berpandukan 'key performance indicator' serta
amalan-amalan terbaik dunia.


Sementara itu, Tee Kiat sewaktu menjawab soalan tambahan Kamarudin
menyatakan kenyataan Kamarudin yang menganggap pelantikan Timbalan Naib
Canselor itu dibuat atas tuntutan kaum tertentu hanyalah sekadar
pandangan peribadi.


Tuntutan pelantikan Timbalan Naib Canselor di kalangan bukan Melayu
katanya adalah tuntutan masyarakat umum dan masyarakat Malaysia. - mks.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: