Saturday, November 10, 2007

Pengamal undang-undang gesa konsep pemisahan kuasa kehakiman dan eksekutif diperjelas

Pengamal undang-undang gesa konsep pemisahan kuasa kehakiman dan eksekutif
diperjelas

Nov 05, 07

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Pelbagai pihak menggesa supaya sistem
kehakiman diberikan semula kuasanya bagi memastikan ia menterjemahkan
segala tuntutan perlembagaan negara dengan maksud yang lebih telus dan
tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ini kerana selama ini konsep pengasingan kuasa ini gagal dihuraikan secara
terperinci oleh badan eksekutif justeru mengakibatkan
keputusan-keputusan yang dibuat dalam menyelesaikan sesetengah kes
kelihatan mempunyai kepentingan seterusnya diragui integritinya.


"Huraian panjang mengenai pengasingan kuasa atau separation of powers ini
harus dibuat oleh mahkamah. Mahkamah perlu diberi kebebasan untuk
membuat sebarang keputusan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana
pihak," kata pensyarah Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Sham Rahayu Abdul Aziz ketika
dihubungi Harakahdaily.


Beliau mengulas kenyataan peguam kanan, Raja Aziz Addruce dalam
Persidangan Undang-Undang Malaysia ke-14 pada 29 hingga 31 Oktober lalu
yang berpendapat bahawa perlembagaan yang ada tidak memberi apa-apa erti
kerana ia boleh diubah pada bila-bila masa sahaja.


Ia seterusnya memberikan tanggapan bahawa perlembagaan sudah tidak
memberikan apa-apa kesan kepada negara kerana ia boleh diubah dengan
sewenang-wenangnya oleh eksekutif.


"Jika perubahan yang dibuat disebabkan oleh keperluan dan tuntutan
semasa, ia adalah suatu 'nature'. Tetapi sekiranya pindaan tersebut
dibuat secara membuta tuli apatah lagi untuk kepentingan politik
sesuatu pihak, ia adalah sesuatu yang tidak adil dan telus," katanya.


Menurutnya, semangat yang terletak pada perlembagaan sebagai
undang-undang tertinggi negara tidak boleh diubah sesuka hati kecuali
jika terdapat keperluan yang mendesak. Bahkan hanya pihak yang tertentu
sahaja diberi kuasa untuk melakukannya.


Menjelaskan beberapa salah laku yang terjadi dalam sistem kehakiman kini,
Sham Rahayu menegaskan, tidak sepatutnya berlaku peguam memilih hakim
tertentu yang boleh memberikan kemenangan terhadap kes yang dibawa
mereka.


"Hal ini jelas melanggar etika kehakiman, kerana sebarang perlantikan
hakim dalam membicarakan dan mendengar sesuatu kes perlu dibuat oleh
Ketua Hakim," jelasnya.


Di samping Raja Aziz, sesi forum tersebut juga dibarisi oleh peguam kanan
persekutuan Dato' Dr Cyrus Das yang berpendapat bahawa majoriti dua
pertiga dewan rakyat juga mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa pindaan
terhadap perlembagaan.


Dalam majlis yang sama, peguam yang juga ahli politik, Dato' Zaid Ibrahim
menyatakan bahawa dalam senario pertumbuhan ekonomi masa kini, rakyat
kelihatan tidak mempedulikan isu kebebasan badan kehakiman dan
pengasingan kuasa.


Selain beliau, turut serta dalam forum bertajuk 'Apa maksud perlembagaan
bagi diri saya', ialah pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara,
Dr Shad Saleem Faruqi.


Sebelum ini Dato' Param Cumaraswamy, yang pernah dilantik sebagai pelapor
khas kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai kebebasan
kehakiman dan peguam berkata pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan
untuk menyatakan secara jelas bahawa Malaysia mempraktikkan pengasingan
kuasa antara kehakiman dan eksekutif adalah perlu berdasarkan keputusan
oleh Mahkamah Persekutuan bahawa pengasingan kuasa tidak dijelaskan
dengan terperinci di dalam perlembagaan.


Param dipetik dalam kenyataan akhbar The Star berkata, penghakiman yang
dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ke atas remaja yang membunuh anak
perempuan guru tuisyennya pada 2002, iaitu ditahan atas budi bicara
Yang Di-Pertuan Agong merupakan satu pukulan maut kepada nilai-nilai
demokratik yang dianggap oleh rakyat Malaysia terpahat dalam
Perlembagaan Persekutuan.


Mengulas penghakiman tersebut yang menyatakan bahawa Perlembagaan
Persekutuan tidak menyatakan prinsip pengasingan kuasa dengan jelas,
beliau berpendapat, mahkamah telah mengesahkan kebimbangan yang
diutarakan pada tahun 1988 apabila Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan
dipinda yang menghilangkan kuasa kehakiman ke atas keputusan yang dibuat
oleh eksekutif.


"Masanya telah tiba kepada parlimen untuk meminda Artikel 121 dan
mengembalikan semula kuasa kehakiman ke mahkamah," tambahnya.


Timbalan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata satu perkara
yang perlu diambil berat hasil daripada penghakiman tersebut ialah badan
perundangan telah mengehadkan bidang kuasanya sendiri.


Sementara itu, Pensyarah Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari juga bersetuju dengan
mahkamah tertinggi negara yang menyatakan bahawa aplikasi doktrin
pengasingan kuasa tidak jelas dan mutlak.


"Pada masa ini, pelaksana dan penggubal undang-undang adalah pihak yang
sama, sedangkan mereka adalah sepatutnya dua entiti yang berbeza.
Sepatutnya peranan ini dimainkan oleh pihak yang berbeza."


"Malangnya pelaksanaan prinsip pemisahan kuasa ini telah disalah tafsirkan
oleh pihak tertentu yang sekali gus memusnahkan definisi sebenar
pemisahan kuasa itu sendiri lantas memperlihatkan badan kehakiman
negara tidak lagi bebas," jelasnya.


Abdul Aziz menjelaskan, jika negara terus menerima penghakiman sebegini,
apakah yang akan berlaku kepada prinsip semakan penghakiman? Semakan
penghakiman merupakan satu lagi bukti bahawa berlaku pengasingan kuasa
dalam sistem demokrasi ala Westminster seperti yang diamalkan di
Malaysia.


Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan oleh
Pendakwaraya Persekutuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah
Rayuan pada 25 Julai bahawa Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak 2001, yang
menyatakan bahawa kanak-kanak lelaki yang didapati bersalah boleh
ditahan atas budi bicara Agong. Ia didapati bertentangan dengan
Perlembagaan kerana bercanggah dengan doktrin pengasingan kuasa dalam
Perlembagaan Persekutuan.


Ini kerana, keputusan tersebut memberi kuasa kehakiman kepada pihak
eksekutif untuk menentukan tempoh tahanan yang perlu dilalui oleh pesalah
juvana itu.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: