Thursday, November 15, 2007

Himpunan untuk memahat sejarah rakyat merdeka

Masanya memilih jalan yang lurus
Himpunan untuk memahat sejarah rakyat merdeka
October 29, 2007

Saya tidak fikir ada bloggers dan peminatnya yang asyik berlayar di
internet hari ini boleh tidak tahu mengenai gerakan massa ke perhimpunan
100 ribu rakyat bagi menuntut hak mereka yang tertangguh sejak 50 tahun
lepas. Hampir semua bloggers politik dan sosial telah menulis dan memberi
isyarat mengenainya. Saya juga tidak fikir rakyat di luar yang perihatin
politik dan keadilan masih alpa dan tidak sedar mengenai ajakan ke
perhimpunan tersebut.


Apa yang saya fikir hari ini ialah apakah yang bermain di kepala setiap
kita? Nak menyertai atau tidak? Perlukah perhimpunan itu atau tidak?
Berhikmahkah perhimpunan itu atau tidak? Siapa untung? Pas atau Bersih
atau siapa? Wajibkah atau sunat atau makruh atau habis masa? Ada kesankah
atau sia - sia sahaja? Di Kelantan, seperti biasa, demontrasi masih dalam
perdebatan, sesuai atau tidak? Di luar Kelantan pula, saya tidak fikir
perbezaannya daripada Kelantan.


Saya tidak mahu memanjang untuk menjawab persoalan - persoalan tersebut.
Saya hanya ingin mengambil dari masa dan hari - hari yang masih berbaki
sebelum 10 November nanti untuk turut menyeru, atau dalam bahasa lebih
gagah, mendakwah rakyat Malaysia seluruhnya menyertai perhimpunan
tersebut. Ia adalah perhimpunan yang memerlukan jumlah kehadiran yang
ramai dan penuh kesungguhan.


Biar sejarah memahat nama kita sebagai rakyat yang turut hadir dalam
perhimpunan besar bersejarah yang menuntut keadilan dan kebebasan untuk
semua rakyat di Malaysia. Rakyat pembangkang masih terjajah oleh
pemerintah yang hanya memerdekakan penyokongnya sahaja. 50 tahun kita
merdeka daripada penjajah, 50 tahun itu jugalah kita dijajah untuk kali
kedua. Daripada kegelapan menuju kegelapan juga. Apa erti kita boleh
berpada atau berseronok?


Bayangkan, jika pilihanraya benar - benar bersih, tiada rakyat yang akan
kecewa dengan kerajaan kerana itulah apa yang mereka pilih. Ahli syurga
puas hati di tingkat mana mereka mendiami dan ahli neraka puas hati di
lembah mana mereka disumbat. Itulah yang mereka pilih.


Isi demokrasi ialah hak rakyat. Kita menuntut hak itu dalam batas
demokrasi dan kita telah bersedia lama dengan batas kebebasan dalam
Islam. Umno tak payah ajar dan tak payah tunjuk. Kerana hak inilah kita
menerima demokrasi dengan sebaiknya dalam hidup kita menuju kesempurnaan
menuntut kehidupan di bawah panji hukum Ilahi.


Rakyat Terengganu adalah gambaran yang penuh emosi dengan ketidak puasan.
Hak, suara dan kemenangan mereka dirampas semudahnya oleh pilihan raya
bohong dan memalukan. Pemimpinnya hidup dalam hipokrit dan berdendam
terhadap rakyat.


Inilah namanya penjara dan gari yang mendekam rakyat dalam kesempitan dan
penindasan. Usaha rakyat untuk maju dan bebas dalam kehidupan mereka mudah
saja dinodai dan diragut oleh sistem asas demokrasi yang pincang dan
cacat.


Mari kita sama - sama untuk tidak menguzur diri daripada menyertai
perhimpunan ini. Bahkan mari kita sama - sama untuk tidak menguzur diri
daripada turut mendakwah keluarga, sahabat dan taulan untuk turut serta.
Saya mahu anak - anak saya yang masih kecil itu tahu dan berbangga untuk
mengingati kehadiran ayahandanya dalam perhimpunan yang bakal memahat
sejarah negara itu. Sejarah kemerdekaan kedua dan sebenar selepas
kemerdekaan 50 tahun lepas.

Allah memberkati usaha besar ini demi kebebasan penuh yang
dikurniakanNya.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: