Thursday, November 15, 2007

REVOLUSI KUNING DI KUALA LUMPUR 3 NOV

Kuning: Warna penyatuan perhimpunan 10 Nov
Amin Iskandar
Oct 30, 07

Bersih akan menganjurkan Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November 2007
di Dataran Merdeka bagi menuntut agar pilihanraya di Malaysia dijalankan
dengan bebas dan adil. Perhimpunan yang bertemakan "Selamatkan Malaysia"
itu dijangka dihadiri 100 000 rakyat dari seluruh negara.

Malahan perhimpunan ini dikatakan bakal mengulangi sejarah 20 September
1998 di mana 100,000 rakyat berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu
pemecatan Anwar Ibrahim. Yang lebih menarik ialah Perhimpunan 100,000
Rakyat yang dianjurkan pada kali ini, akan menyaksikan satu lambang
penyatuan. Warna kuning telah dipilih sebagai warna penyatuan pada hari
tersebut.

Warna kuning yang turut digunakan sebagai warna untuk memperjuangkan
kebebasan media, diharap akan dapat menarik sokongan aktivis media untuk
bersama-sama dalam perhimpunan ini. Penggunaan warna kuning telah
menaikkan semangat rakyat untuk bersama-sama menyertai perhimpunan
tersebut, sehinggakan ada pihak yang mengatakan bahawa Perhimpunan
100,000 Rakyat yang akan dianjurkan pada 10 November 2007, adalah
"Revolusi Kuning".

Penggunaan warna untuk memperjuangkan sesuatu isu bukanlah perkara baru.
Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet dan Umno pada tahun 1998,
warna putih telah dipilih sebagai kempen menuntut keadilan. Selain itu,
bagi aktivis yang berkempen untuk HIV/AIDS, riben bewarna merah digunakan
dan diterima di seluruh dunia.

Dalam sejarah politik dunia, pernah berlakunya satu revolusi yang
melibatkan warna. Revolusi yang dimaksudkan ialah Revolusi Oren ataupun
"Orange Revolution" yang mencapai kemenangannya pada tahun 2005 di
Ukraine.

Revolusi Oren yang berlaku di Ukraine adalah siri protes rakyat untuk
menuntut pilihanraya yang bebas dan adil. Revolusi yang berlaku secara
aman ini bermula sekitar akhir bulan November tahun 2004 dan berakhir
pada Januari tahun 2005 sebagai respons kepada pilihanraya presiden 2004
yang dicemari rasuah, pembelian undi, ancaman kepada pengundi dan
penipuan pilihanraya secara terang-terangan.

Revolusi kuning

Pertembungan antara Viktor Yanukovych yang disokong oleh bekas Presiden
Leonid Kuchma (tidak boleh bertanding kerana telah mencapai had dua
penggal menjadi presiden) melawan tokoh pembangkang Viktor Yushchenko,
telah menyaksikan Yanukovych disokong oleh jentera pemerintah dan
pelbagai helah telah digunakan untuk mengalahkan Yushchenko dalam
pusingan pertama pilihanraya presiden pada 31 Oktober 2004.

Selain itu, penyokong Yushenko dan rakyat telah diancam dan diugut agar
memberikan undi kepada Yanukovych. Ini telah menimbulkan kemarahan
penyokong Yushchenko dan pada 21 November 2004, bersamaan dengan hari
pusingan kedua pilihanraya presiden 500 000 rakyat telah berhimpun di
Dataran Maidan Nezalezhnosti untuk mengutuk penipuan, intimidasi dan
penggunaan jentera pemerintah dalam pilihanraya untuk mengalahkan
Yushenko.

Protes ini berterusan setiap hari dengan bermacam-macam cara seperti mogok
umum, demonstrasi aman dan acara bakar lilin sehinggalah mahkamah agung
dan Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan secara rasmi pada 10 Januari 2005
bahawa Yushenko adalah pemenang pilihanraya presiden 2004.

Kaitan antara Revolusi Oren dan Revolusi Kuning ialah kedua-duanya
melibatkan tuntutan agar pilihanraya dijalankan secara bebas dan adil.
Persoalannya sekarang ialah apakah Revolusi Kuning di Malaysia mampu
mengulangi sejarah kemenangan Revolusi Oren di Ukraine?

Pilihanraya umum telah diadakan sebanyak 11 kali di Malaysia. Dalam
sebelas kali pilihanraya yang dijalankan di Malaysia, kesemuanya telah
dimenangi oleh Barisan Nasional (BN)yang dahulunya dikenali sebagai
Perikatan.

Penggunaan jentera kerajaan seperti polis, pegawai kerajaan dan media
cetak dan elektronik yang dikawal oleh BN, tidak memungkinkan mana-mana
pencabar BN untuk menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen.

Mungkin ini adalah penyebab utama hampir lima juta rakyat yang layak
mengundi, tidak mendaftar untuk mengundi dalam pilihanraya umum ke-12
seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan
Sri Rashid Abdul Rahman beberapa bulan yang lalu.

Boikot p'raya kecil

Mereka ini boleh jadi terdiri daripada penyokong BN, penyokong pembangkang
dan pengundi atas pagar. Ketiga-tiga kumpulan ini mempunyai alasan yang
sama untuk tidak mendaftar mengundi. Alasannya satu, BN akan tetap menang
dalam pilihanraya, jadi mengapa mereka perlu bersusah payah untuk turun
mengundi?

Kredibiliti pilihanraya di Malaysia yang telah hilang, perlu diselamatkan
segera. Jika tidak, Malaysia terpaksa berhadapan dengan rakyat yang tidak
percaya dengan demokrasi pilihanraya.

Pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam pada tahun 2006 oleh parti-parti
pembangkang telah mengemparkan BN kerana mereka menang di Batu Talam
tanpa legitimasi. Tambahan pula calon bebas yang bertanding bukanlah
seorang yang dikenali dan kelihatan tidak serius untuk bertanding.

Bayangkan jika pilihanraya umum ke-12 diboikot oleh parti-parti
pembangkang? Apakah akan terjadi? Sudah tentu imej BN akan tercalar oleh
kerana mereka menang tanpa legitimasi.

Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah memberikan komitmen
untuk bersama-sama rakyat untuk menjayakan Perhimpunan 100,000 rakyat pada
10 November 2007 ini bersama-sama dengan 40 pemimpin NGO, kesatuan sekerja
dan persatuan pelajar. Bendera-bendera parti politik tidak akan digunakan
kali ini. Kali ini hanya ada satu bendera iaitu bendera Kuning.

Perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu akan diteruskan
dengan perarakan ke Istana Negara. Memorandum bagi menuntut pilihanraya
yang bersih, bebas dan adil, akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan
Agong.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: