Saturday, November 10, 2007

Jangan takut, jangan bimbang

JANGAN TAKUT JANGAN BIMBANG
7 / 11 / 07

HIMPUNAN AMAN RAKYAT untuk merafaq sembah menyampaikan memorandum kepada
DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong pada Hari Sabtu 10 November
2007 tepat pada masa dan ketikanya. Agong selaku ‘payung’ kepada
rakyat Malaysia seluruhnya samada Melayu, Cina, India atau Sikh, Kadazan,
Dusun, Iban dan lain-lain. Agong kepada orang PAS, orang Keadilan, orang
MIC, MCA mahupun UMNO.


Rakyat sudah sangat terdesak dan wajib bertindak. Walaupun dikatakan ada
saluran rasmi untuk bantah dan adu kepada kerajaan yang memerintah tetapi
yang rakyat hendak bantah adalah sistem pincang dan perlaksanaan tempang
kerajaan itu sendiri. Hampir mustahil sebuah kerajaan yang begitu megah
dengan pengalaman 50 tahun memerintah mahu menerima pandangan dan
kritikan tentang dasar yang disusun begitu rupa yang selama ini telah
memenangkan mereka.

Inilah permasalahannya hingga rakyat mengambil keputusan berani untuk
turun ke jalan raya berhimpun secara AMAN hujung minggu ini. Kata orang
Perak sudah ‘jenoh’ kita bersuara atas pentas ceramah, dalam media
kita, dalam sekelumit ‘slot’ yang diberi dimedia arus perdana, dalam
memo demi memorandum yangdiajukan, dalam Dewan Parlimen dan DUN melalui
wakil-wakil kita tapi kerajaan yang memerintah makin galak menindas dan
memanipulasi. Ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR yang akan bersara
tidak berapa hari lagi Tan Sri Abd Rashid iaitu sistem pilihan raya di
Malaysia dibuat sebegitu rupa untuk memastikan kemenangan UMNO/BN dalam
pertemuan semalam 5 Nov 07 antara Presiden dan beberapa orang AJK PAS
Pusat dengan Tan Sri dan anggota panel SPR di Blok C7, Parcel C, Putra
Jaya.


Ini bukan kali pertama saya mendengar Tan Sri berkata demikian, beberapa
tahun lepas dalam satu taklimat SPR kepada pimpinan PAS kenyataan yang
sama keluar dari mulut Tan Sri A.Rashid. SPR hanya boleh bergerak dan
bertindak dalam kerangka undang-undang yang ada, undang-undang ciptaan
UMNO/BN.SPR tiada kuasa untuk mendakwa atau menghalang salah laku pilihan
raya apatah lagi untuk mengubah sistem tersebut. Malah dalam begitu punya
disiplin mematuhi undang-undang dan peraturan manusia, kita semua
dikejutkan dengan pengakuan Setia Usaha SPR iaitu Datuk Kamaruzaman
bagaimana Daftar Pemilih yang tidak boleh dicabar dalam mahkamah boleh
di’permainkan’ oleh PPP atau Penolong Pegawai Pendaftaran yang
terdiri dari pekerja sementara/kontrak yang dilantik SPR.


Apakah mungkin PPP ini adalah Puteri-Puteri UMNO yang dikemukakan oleh
Ketua Puteri UMNO pada masa tersebut dan diterima sendiri oleh Pengerusi
SPR yang sama iaitu Tan Sri Rashid melalui memo tulisan tangan beliau?
Ini juga diakui sendiri oleh Tan Sri walaupun pada awalnya mengatakan
tidak tahu menahu tentang Puteri UMNO yang dilantik sebagai PPP. Ini
menambah-burukkan lagi imej SPR setelah kenyataan pada Bulan Julai yang
lepas dimana sebanyak 22,433 nama pengundi terpaksa digugurkan dari
Daftar Pemilih Induk (DPI) kerana TIADA dalam senarai nama rakyat
Malaysia dalam data JPN. Ini belum dikira lagi 180,000 nama pengundi yang
disahkan mati yang baru sahaja dibersihkan.


Apakah kebarangkaliannya hampir 200,000 nama ini yang saya kategorikan
sebagai pengundi hantu, dicampur dengan nama-nama pengundi yang
dipindah-pindahkan oleh PPP dan mungkin juga penipuan dan manipulasi yang
tidak dapat dikesan oleh SPR telah memenangkan UMNO/BN. Berapa orang
dikalangan yang menang sebagai ahli parlimen dan ADUN telah memegang
jawatan PM,TPM, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, MB, Exco
dan pelbagai jawatan penting yang menentukan dasar dan mentadbir serta
mengurus Negara??


Ini belum dikira lagi kelemahan sistem pendaftaran mati-hidup rakyat dari
peringkat Balai-balai Polis hingga ke JPN sendiri. Tan Sri juga
memaklumkan bahawa ada 5 juta orang mati yang masih belum direkodkan oleh
JPN. Berapa ramai mereka yang telah mati ini ‘dibangunkan” untuk
mengundi kerana nama mereka masih ‘hidup’ dalam rekod JPN dan dalam
daftar pemilih.Peliknya Malaysia telah mewujudkan Bandar Silikon nya
sejak lebih 10 tahun yang lalu. Malaysia menghantar ‘angkasawan’ atau
pelancung angkasa dengan kos beratus ke beribu juta RM tetapi JPN iaitu
satu jabatan paling asas dalam pengurusan Negara masih belum mampu
merekodkan 5 juta nama rakyat yang telah pun berkubur sekian lama.


Setelah mendengar segala-segala yang pelik diatas saya semakin yakin
rakyat wajib turun ke jalan raya, mengadu kepada DYMM YDP Agong
keresahan, kebimbangan dan kerisauan kita semua. Kepincangan yang tidak
mampu diperbetulkan oleh SPR tanpa ada kesedaran dan kemahuan kerajaan
yang ada untuk berubah kearah pembaikan dan ketelusan. Tapi UMNO/BN
selaku parti yang memerintah sudah lama duduk dalam zon selesa, tiada
sebab untuk mereka melakukan perubahan kecuali, ya kecuali ada rasa takut
kepada balasan Allah SWT diatas apa yang mereka lakukan selama ini.


Sebagai peringatan kepada semua yang akan berhimpun di Dataran Merdeka
pada 10 Nov nanti saya ingin memesankan beberapa perkara. Pertama jangan
takut untuk berhimpun kerana hak kita untuk berhimpun dijamin oleh
perlembagaan dan diperaku oleh SUHAKAM yang beberapa kali menyatakan
perhimpunan aman tidak perlu permit polis. Kedua pastikan kenderaan yang
dinaiki nanti dalam keadaan yang baik, pemandunya cukup rehat dan dalam
keadaan bersedia utuk memandu, patuhi peraturan jalan raya, bersabar dan
bertimbangrasa antara sesama pengguna. Jangan lupa doa yang
bersungguh-sungguh untuk keselamatan pergi dan balik.


Saya telah mengingatkan sahabat handai yang berada di Lembah Klang agar
sama-sama mendoakan keselamatan tetamu-tetamu dari seluruh Negara.
Ketiga, jaga kesihatan dan kebersihan semasa berhimpun dan selepasnya.
Buang sisa,bekas makanan dan kertas lapik duduk masing2 dalam tong sampah
atau bawa balik bersama jika tiada tong berdekatan. Lampin pakai buang
anak dan tuala wanita terpakai hendaklah dibungkus dan dibuang dalam tong
sampah dalam bilik air/tandas yang digunakan, jangan ditinggalkan atas
sink,tepi pintu atau atas lantai. Jaga kebersihan tandas atau bilik air
sebagai mana kita mahu ianya dalam keadaan bersih sebelum kita gunakan.
Jangan lupa bawa bekalan air minuman dan sedikit bekalan makanan kering
yang tidak mudah rosak supaya tidak kelaparan dan kehausan jika makanan
yang disediakan atau yang dijual tidak mencukupi.

Semasa bermusafir saya suka bawa ’Wet tissue’ atu tisu lembap yang
bagi ibu-ibu digunakan untuk mencuci bayi. Tisu ini sangat ’handy’
jika tiada air atau sekadar untuk mengelap muka atau tangan yang kotor.
Satu lagi oleh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu elok juga dibawa
baju hujan yang nipis atau baju hujan pakai buang. Sebaiknya beli yang
berwarna kuning atau yang jernih untuk memastikan warna kuning tanda
protes dalam himpunan ini tidak terlindung.


Jangan lupa pakai baju kuning, bagi muslimat baju dan tudung kuning.
Kawan-kawan yang ada baju atau tudung kuning lebih, boleh pinjamkan
kepada yang tiada. Para dermawan pada masa inilah boleh menderma dengan
menaja bas, duit tol/minyak/sewa bas. Dermawan yang berada sekitar KL
bila lagi hendak kenduri. Masak dan sediakan sarapan pagi pada 10 Nov
serta makan malam 9 Nov/10Nov. Mungkin kali ini kita ’korban’ untuk
Himpunan AMAN Rakyat ini, apatah lagi korban sempena Raya Haji bukan
wajib tapi sunat. Membantu dan menyumbang untuk menegakkan keadilan dan
membantah kezaliman serta mencegah penipuan adalah wajib. Ayoh, jadilah
tuan rumah yang baik yang memuliakan tetamu seperti sunnah Rasulullah
SAW. Jangan pula orang dekat/setempat tidak bersama-sama berhimpun. Itu
sudah memang wajib kerana wajib akur arahan Presiden jika anda ahli dan
penyokong PAS. Wajib juga bagi semua yang mahukan keadilan dan benci
kemungkaran, benci penipuan benci rasuah; tidak
kira ahli Parti atau tidak .


Salam perjuangan, JANGAN TAKUT JANGAN BIMBANG. Kita jumpa 10 Nov nanti.

Dr Lo’lo’ bt Hj Mohamad Ghazali
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat
Marvellous Young Millionaire Group
”KAMI PRIHATIN”
”WE CARE”
12113010026150
BIMB Melawati


*****.*.*****

aHmadHazieq <pemudawilayah@yahoo.com> wrote:
Himpunan 10 Nov-2000 Unit Amal Berkawal, Peguam Bersedia


Written by Herman Samsudeen Wednesday, 07 November 2007

Himpunan Aman pada Sabtu 10 November di Dataran Merdeka anjuran
BERSIH akan tetap diteruskan. Walaupun pihak penganjur menerima begitu
banyak ancaman, namun tuntutan massa rakyat memberikan laluan untuk
perhimpunan ini terus berjalan. Beberapa orang ahli jawatankuasa BERSIH
telah dipanggil ke Bukit Aman pada 12 November ini.

Khairi Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula telah
mengarahkan pihak Polis membuat tangkapan terhadap pimpinan dan peserta
Himpunan. Arahan ini adalah suatu yang biadap dan tidak rasional kerana
himpunan ini adalah hak dan kebebasan rakyat. Rakyat berhak berada di
mana sahaja mereka berada dan pemuda UMNO tidak berhak untuk menghalang
perhimpunan ini.

Ketakutkan semakin terserlah di wajah pimpinan UMNO kerana himpunan ini.
Khairi yang pada mulanya mencadangkan untuk pemuda UMNO turun berdepan
dengan Himpunan BERSIH ini akhirnya mengaku kalah dalam ucapan yang sama
dan mengakui bahawa pemuda UMNO tidak mampu berhadapan dengan 100 ribu
rakyat.

Oleh itu, beliau tiada pilihan dan kemungkinan besar Polis akan
dijadikan kuda tunggangan mereka bagi menghadapi peserta himpunan aman
ini.

Kepada pihak Polis, kami mengingatkan agar mereka tidak membiarkan diri
mereka diperkudakan lagi. Ini adalah himpunan rakyat, dan pihak Polis
juga dialu-alukan bagi menyertai rakyat dalam himpunan ini atas jiwa
mereka sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan negara ini.


Diperingkat PAS pula, seramai 2000 orang petugas Unit Amal Malaysia yang
beruniform dan tidak beruniform akan berkawal bagi memastikan tiadanya
provokasi dan kekecohan yang boleh memburukkan imej perhimpunan ini. Kita
datang dengan ama dan Unit Amal akan membantu kita.

Jika ada kalangan peserta yang cuba melakukan provokasi seperti membawa
bendera parti politik, melaungkan kata-kata yang kesat, membaling atau
menggunakan apa-apa objek yang boleh membahayakan orang lain, mereka akan
dikeluarkan dari perhimpunan ini serta merta atau diserahkan kepada pihak
Polis jika perlu.

Kita yakin, bahawa terdapatnya konspirasi terancang bagi mensabotaj
himpunan ini dan kita juga telah bersiap sedia bagi menghadapi
perhimpunan ini.

Kepada peserta perhimpunan yang masih ragu lagi, pihak penganjur juga
telah menyediakan barisan peguam yang cekap untuk menjamin dan membela
anda sekiranya ditangkap. Para peguam ini akan membantu dan membela hak
anda sesuai dengan peruntukan Perlembagaan. Oleh itu tiada sebab untuk
kita tidak hadir dan tunduk pada ancaman yang kini semakin tersebar luas.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: