Sunday, September 30, 2007

UCAPAN DATO' WAN MOHAMAD BIN DATO' SHEIKH ABDUL AZIZ
KETUA PENGARAH JAKIM SEMASA MAJLIS PERTEMUAN KETUA PENGARAH BERSAMA
PEGAWAI-PEGAWAI KANAN JAKIM PADA 18 JULAI 2007, JAM 9.00 HINGGA 11.00
PAGI DI DEWAN SYURA, ARAS 9, BLOK D7, JAKIM

Terima kasih saudara pengacara majlis, Ustaz Zakaria bin Othman.

Y.Bhg Tuan Haji Sumali bin Amat
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM,

Pengarah-pengarah Bahagian,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.

Assalammualaikum wbt

Sebelum kita mulakan majlis ini, marilah sama-sama kita
membaca Ummul Kitab bagi menambahkan lagi keberkatan majlis, dan yang
kedua khususnya bagi kita mengenang dan memperingati 3 orang bekas Ketua
Pengarah JAKIM atau di peringkat awal dahulu dipanggil Setiausaha,
Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang telah meninggal
dunia dan tidak lagi bersama kita iaitu yang pertamanya Allahyarham Dato'
Ismail Panjang Aris, Setiausaha MKI yang pertama. Kedua, Tuan Haji Nawawi
Mahmud juga Setiausaha dan kalau tidak salah ingatan saya pada zamannya
juga telah dikenali dengan gelaran Ketua Pengarah dan yang terbaru ialah
Allahyarham Dato' Haji Mohamad Shahir bin Abdullah. Kita juga
memperingati sahabat-sahabat kita warga JAKIM keseluruhannya yang tiada
lagi bersama kita. Al-Fatihah…..

Begitu juga saya mengambil peluang ini untuk memperkenalkan
Penasihat Undang-Undang JAKIM yang baru melapor diri menggantikan Tuan
Haji Sekeri Mamat yang bertukar menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri
Terengganu Darul Iman. Jadi yang menggantikan beliau ialah En. Meor
Hashimi, sila bangun memperkenalkan diri. Kita mengalu-alukan LA (Legal
Advisor) kita yang baru menjadi warga JAKIM dan kita juga mengharapkan
rakan-rakan kita di JAWI dapat mengeratkan hubungan dengan LA kita
khususnya dalam perkara-perkara yang memerlukan khidmat beliau.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
terima kasih kepada Y.Bhg. Dato', tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana
dapat hadir tanpa uzur dan bijak memilih keutamaan. Saya bersangka baik
bahawa ada beberapa orang yang mungkin tidak dapat hadir pada hari ini
kerana ada urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan kerana sudah terikat
dan terpaksa menyempurnakannya demi kepentingan Jabatan dan saya juga
berharap tidak ada di kalangan pegawai yang tidak hadir tanpa uzur dan
tanpa ada urusan rasmi. Yang tak hadir sepatutnya beri penjelasan.

SEMANGAT KERJASAMA
Saya rasa tidak sabar nak ucap tahniah dan terima kasih kepada semua,
khususnya Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa di mana kita
semua baru-baru ini menjayakan Konferen Akademi Fiqh Antarabangsa yang
merupakan program besar bagi JAKIM. Bukan senang nak mengurus program
peringkat Antarabangsa dan lebih sukar lagi untuk mengurus tetamu dari
luar negara lebih-lebih lagi dari Timur Tengah dan Afrika. Tetapi
Alhamdulillah yang datang ini ialah para ulama'. Ramai di kalangan
mereka ialah ulama' besar yang memang kita kenali. Jadi kita rasa syukur
dan kita harap kerjasama seumpama ini dapat kita buktikan melalui
aktiviti yang lain. Bila ada aktiviti besar atas nama JAKIM lebih-lebih
lagi atas nama negara kita sisihkan segala sentimen bahagian, kita beri
kerjasama sepenuhnya kerana ini adalah aktiviti Jabatan, ini adalah
aktiviti negara.

Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar
ucapan tahniah terutama melalui SMS di atas perlantikan saya sebagai
Ketua Pengarah JAKIM. Saya terpaksa sebut di sini sebab ada yang yang
tidak sempat saya jawab. Jadi, saya minta maaf banyak-banyak. Kalau
melalui e-mail tu mungkin suatu hari nanti saya boleh jawab. Tapi, tak
apalah, dah masuk hari ke-3, macam kita melayan tetamu juga, kira sudah
selesai tahniah di sini cukup. Tadi Tuan Haji Sumali, TKP(P) sudah
mewakili tuan-tuan dan puan-puan menyampaikan ucapan tahniah kepada saya.
Saya ucapkan terima kasih dan lebih terharu apabila ada yang memberi
harapan dan lebih terharu lagi sebab ada yang berani memberi ingatan,
memberi nasihat yang baik. Ini suatu ingatan. Jadi saya ucap terima kasih
sebab saya tahu ini satu tugas yang besar.

Ketua Pengarah JAKIM bukanlah suatu jawatan yang besar sangat dalam
perkhidmatan awam, tetapi beban dan amanah yang kita galas ini sebenarnya
sangat besar. Ini kerana kita adalah agensi di peringkat Persekutuan yang
diamanahkan oleh Kerajaan dan kita jangan lupa kita diamanahkan oleh
Majlis Raja-raja Melayu untuk mewakili Islam dan umat Islam. Fokus kita
ialah bagaimana nak memajukan umat Islam. Sebab nama kita pun Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia. Saya juga sentiasa ingat kepada semangat hadith
Nabi S.A.W. bahawa kalaulah kita mendapat satu nikmat dan seumpamanya
kita tidak boleh tunjuk kegembiraan yang keterlaluan, sebab ia sebenarnya
bukanlah milik kita, dia hanya bersifat sementara. Jadi kita bersyukur dan
sememangnya patut bersyukur dan dalam masa yang sama mengikut semangat
hadith juga kita tidaklah boleh menunjuk sikap yang pasif seperti tidak
menghargai nikmat dan kepercayaan yang diberikan kepada kita. Tempat ini
(Ketua Pengarah) sebenarnya layak diisi oleh
sesiapa sahaja. Kalau kita ikut semangat ucapan Saidina Abu Bakar,
"walaupun saya ini dilantik mengetuai kamu, tetapi tidak semestinya saya
adalah yang terbaik di kalangan kamu". Maksudnya kita ada kekurangan.
Jadi kekurangan inilah yang perlu ditokok tambah oleh para sahabat, perlu
disokong, kerana misi kita adalah misi besar.

JAKIM LAKSANA KERJA DAKWAH
Kita buat kerja bukan sebarang kerja, kerana kerja yang kita buat ini
hasilnya bukan dalam tempoh kita berada dalam perkhidmatan awam
semata-mata tetapi ini adalah suatu kerja dakwah yang akan menjadi
bekalan kita sepanjang hayat, baik di sini (dunia) ataupun di sana
(akhirat). Ini adalah suatu amanah dan kita semua bernasib baik kerana
ditakdirkan oleh Allha Taala ditempatkan di JAKIM. Saya rasa ini satu
rahmat, suatu nikmat untuk kita berkhidmat kepada agama secara langsung.
Kita berkhidmat kepada agama dalam pelbagai forum, selepas pencen esok
pun kita boleh berkhidmat, tetapi ini peluang yang sangat terbuka luas
yang mesti kita rebut dan hargai pada setiap detik. Saya juga telah
berazam untuk memikul amanah ini dan menggalas tanggungjawab ini. Saya
berjanji pada diri sendiri, saya telah berjanji kepada Y.B Menteri kita,
Dato' Dr. Abdullah Md. Zin dan saya telah dipanggil oleh Y.Bhg. Tan Sri
Ketua Setiausaha Negara beberapa bulan yang lalu. Selain daripada
menerima
amanat, ada juga teguran-teguran yang dia berikan. Saya juga berjanji
kepada beliau untuk melaksanakan harapan beliau itu dengan kerjasama
rakan-rakan di JAKIM. Saya secara terus terang juga telah sebut kepada
KSN, bahawa JAKIM sebenarnya mempunyai keluarga besar. Kita ada rangkaian
besar di negeri-negeri yang kadang-kadang orang lupa bahawa agensi agama
negeri juga adalah keluarga kita. Jadi saya merayu kepada KSN supaya
turut memperkasakan agensi agama negeri kerana mereka adalah rangkaian
kita. Kalau lain-lain Kementerian mempunyai kelebihan kerana mereka
mempunyai banyak agensi baik di peringkat pusat atau kebanyakan Jabatan
atau agensi berkenaan ada pejabatnya di negeri. Jadi oleh kerana kita
menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan, suatu pendekatan yang
boleh kita ambil ialah kita hormati kuasa negeri, dalam masa yang sama
kita hendaklah anggap bahawa agensi agama negeri adalah keluarga terdekat
kita yang mesti kita dekati. Walaupun dalam banyak segi kita boleh
kata kita mempunyai kelebihan, maklumlah kita Jabatan di bawah JPM,
tetapi kita mesti menghormati orang lain. Walau apa sekalipun, kita mesti
pandai belajar untuk menghormati orang lain. Dalam konteks ini kita mesti
menghormati pihak berkuasa agama negeri.

Y.Bhg. Dato', tuan-tuan dan puan-puan, mengenai harapan banyak
pihak kepada JAKIM, sama ada daripada stake holder ataupun khususnya
daripada Y.B Menteri, saya kira sudah sampai masanya untuk saya berkongsi
maklumat ini dengan tuan-tuan dan puan-puan. Sebenarnya pada akhir tahun
lalu saya dipanggil oleh Y.B Menteri untuk berbincang dengannya. Saya
anggap sesi itu bagaikan satu interview kepada saya. Hampir satu jam
setengah kami berbincang bersama. Sebenarnya dia banyak memberi panduan
dan beberapa isyarat penting kepada saya. Di hujung perbincangan itu
keputusan 'temuduga' itu terus keluar. Dia beri tahu bahawa saya akan
diberi amanah untuk menggantikan Y.Bhg. Dato' Mustafa yang akan tamat
tempoh kontraknya pada Julai 2007. Jadi saya faham maksud Y.B supaya saya
buat persediaan dan bersedia dari segi mental, jiwa dan seumpamanya. Oleh
kerana saya terikat dengan suasana profesionalisme, tentulah saya
menggigit rapat rahsia itu sehinggalah pada bulan Mac tahun ini
saya menerima surat perlantikan daripada SPA untuk memulakan tugas mulai
15 Julai 2007. Jadi Y.B Menteri mempunyai harapan yang tinggi kepada
JAKIM dan saya kira sebahagian yang beliau ingatkan saya telah pun beliau
sebut dalam Majlis Penyerahan Tugas baru-baru ini (Jumaat 13 Julai 2007).

PENERAJU KEMAJUAN DAN PEMBELA UMAT
Tuan-tuan dan puan-puan, hasrat Y.B Menteri ingin melihat
JAKIM menerajui banyak perkara. Oleh itu, kita mestilah menonjolkan imej
bahawa kita adalah agensi agama peringkat Persekutuan yang mencetuskan
pembaharuan dan kemajuan kepada umat Islam dan sekaligus menjadi pembela
kepada Islam dan umat Islam di Malaysia. Dengan pendekatan wasatiyyah
yakni kalau kita dengar dalam banyak ucapan beliau (Y.B Menteri) bahawa
kita (JAKIM) sebagai sebuah Jabatan Kerajaan, bukannya NGO. Tentulah
pendekatan kita tidak boleh sama dengan NGO dan ini kita perlu didik
pegawai-pegawai kita supaya mereka tahu macam mana hendak bersikap
sebagai penjawat awam. Kita perlu ada budaya kerja kita sendiri. Kita ada
saluran dan banyak forum sebenarnya kerana kalau kita manfaatkan kemudahan
kita dalam sektor kerajaan, saya kira seperti kita tidak cukup umur untuk
melakukan kerja-kerja yang bermanfaat. Tuhan beri peluang kepada kita
untuk buat kerja agama. Kita mempunyai banyak kebebasan, kita
boleh fikir, boleh rancang. Kadang-kadang polisi itu bukan datang dari
'atas' ke 'bawah'. Saya perhatikan dalam pengurusan hal ehwal Islam kita
banyak bergantung kepada inovasi dan kreativiti kita. Kita boleh
tonjolkan idea kita ke atas (pihak pengurusan tertinggi) dan inilah ruang
yang saya nak buka lebih luas di JAKIM.

Tuan-tuan dan puan-puan, seperti sebelum ini juga saya suka membuka
ruang yang lebih luas untuk tuan-tuan mencadangkan apa saja aktiviti,
kalau boleh kita nak sebut sebagai produk baru JAKIM atau apa sahaja
untuk memajukan atau menonjolkan JAKIM sebagai agensi yang memajukan
Islam dan Umat Islam di Malaysia. Tetapi oleh kerana kerja ini besar,
kita mesti majukan organisasi JAKIM terlebih dahulu. Kita mesti
perkasakan diri kita dahulu. Tak mungkin kita dapat menyempurnakan tugas
besar tanpa kita mempunyai kekuatan dalaman.

BERINTEGRITI DAN MENJADI ROLE MODEL
Selaian daripada itu tuan-tuan dan puan-puan, saya juga nak berkongsi
harapan Y.Bhg Tan Sri KSN kepada JAKIM. Saya sebenarnya telahpun
melaporkan apa yang telah Tan Sri KSN beri pandangan dan teguran kepada
JAKIM kepada Dato' Ketua Pengarah kita yang dulu, kepada Y.B Menteri dan
saya pun sempat berbincang dengan Tuan Haji Sumali TKP(P), sempat
berbincang dengan Pengarah JAWI, Dato' Che Mat Che Ali, kerana ada juga
isu-isu yang diberi pandangan oleh Tan Sri KSN berkenaan dengan JAWI dan
MAIWP terutamanya. Tetapi perkara besar yang boleh saya rumuskan daripada
harapan Tan Sri KSN ialah oleh kerana kita ini sebuah agensi agama, maka
kita perlu memberikan penekanan lebih kepada integriti. Kelihatan bahawa
KSN tidak rela melihat isu ini dipandang remeh atau diambil mudah kerana
sedikit kesilapan kita, kekurangan kita, boleh mencalarkan imej Kerajaan
yang mendokong Islam Hadhari. Kita sebagai urusetia Islam Hadhari mesti
menjadi role model dan inilah juga istilah yang beliau
(KSN) sebut. Kita juga mesti bijak menentukan keutamaan sehingga tidak
menampakkan imej agensi agama terlalu ghairah untuk melaksanakan
kerja-kerja yang menyebabkan kita dipandang serong.

Walaupun contoh yang dibawa oleh Y.Bhg. Tan Sri sebenarnya contoh yang
terpaksa kita sangkut dengan sebuah Jabatan Agama Negeri dalam Unit
Penguatkuasaan. Kita sebenarnya mempunyai maklumat yang lengkap dan kita
yakin maklumat itu maklumat yang benar dan dalam banyak keadaan kita
mempertahankan agensi agama negeri. Kadang-kadang YB. Menteri kita dalam
kabinet pun keseorangan apabila dia mempertahankan agensi agama negeri
dan kadang-kadang agak sukar nak mempertahanan diri kalau kesilapan yang
berlaku begitu ketara. Ini Y.Bhg. Tan Sri KSN sebut, kita perlu jaga,
sama ada yang menyentuh aspek operasi atau pun pengurusan institusi
agama. Dia juga mengharapkan kita ke depan dan menjadi contoh.

Tuan-tuan dan puan-puan, JAKIM sebenarnya sebuah Jabatan yang lama.
Tahun hadapan genaplah usia JAKIM 40 tahun serentak dengan penubuhan
urusetia MKI. Kalau dipanjangkan umur, saya amat bersyukur kerana 40
tahun daripada usia JAKIM, 30 tahun daripadanya saya menghabiskan usia
saya dengan JAKIM. Tentulah saya seperti tuan-tuan dan puan-puan tak nak
mensia-siakan usia kita dengan membuat kerja yang Allah Taala tak beri
apa-apa ganjaran. Sebab itu kita berazam dan saya rasa memang tepat
sekali apa yang diperkatakan oleh KSN iaitu perubahan kepada aspek
integriti untuk agensi seperti JAKIM adalah suatu yang sangat penting.

HARAPAN KP BARU
Sekarang tuan-tuan dan puan-puan, izinkan saya menyampaikan harapan saya
pula. Saya teringat pesan Nabi, kalau nak memberi pesan, jangan beri
banyak sekali gus. Jadi hari ini saya bagi sedikit dahulu, kerana kita
ada forum yang lain lagi seperti dalam Mesyuarat Pengurusan, Mesyuarat
Pagi dan lain-lain. Nanti Pengarah-pengarah Bahagian boleh bawa apa yang
saya sampaikan pada hari ini ke dalam mesyuarat Bahagian masing-masing
untuk dimaklumkan kepada anak-anak buah masing-masing. Pada hari ini ada
beberapa perkara yang saya terfikir pada malam tadi mungkin lebih aula
untuk saya sebut pada hari ini.

(i) Sempurnakan amanah dengan sempurna
Yang pertama tuan-tuan dan puan-puan , saya harap kita semua dan kita
didik juga anak-anak buah kita supaya berazam untuk menyempurnakan tugas
dan amanah di JAKIM dengan sempurna. Tunaikanlah amanah dengan sempurna
sebab kita akan dinilai. Kalau dalam perkhidmatan awam, JAKIM akan
dinilai oleh Perdana Menteri, KSN dan Agensi lain juga tahu menilai kita.
Tetapi bagi kita yang faham agama ini, kita sentiasa ingat bahawa kita
akan dinilai dan akan jawab di sana (akhirat). Saya rasa itu faktor
pendorong yang lebih kuat. Kalau begitu tuan-tuan dan puan-puan, oleh
kerana kerja ini (di JAKIM) kerja yang berat dan sememangnya kita memang
banyak kerja, kita boleh memilih untuk tidak bekerja atau pun berkerja.
Ini kerana ketua kita tidak semestinya tahu apa yang kita lakukan.
Manusia ini ada keterbatasan. Kita boleh kerja, kita boleh tak kerja.
Kalau kita memilih untuk tidak bekerja dengan sempurna, bererti kita
memilih supaya darah daging kita, anak isteri, keluarga kita membesar
dengan sumber yang haram. Jadi kita pilihlah untuk melaksanakannya dengan
sempurna sebaik yang mungkin, InsyaAllah.

Oleh kerana kerja yang kita buat ini kerja berat dan banyak, sudah pasti
sukar untuk kita melaksanakannya tanpa bantuan orang lain. Kalau seseorang
itu boleh melaksanakan sesuatu kerja dengan sempurna tanpa bantuan orang
lain, sudah pasti kita tidak perlu kepada organisasi, dan kita tidak
perlu kepada JAKIM. Jadi sememangnya kita perlu kepada orang lain. Kita
perlu kepada anak buah. Kita perlu kepada bimbingan dan nasihat ketua
kita. Jangan tidak pandang atas, dan jangan tidak menjeling ke bawah.
Kita perlu berbincang, melapor, mendapat idea, berkongsi pengalaman dan
sebagainya. Kadang-kadang ada orang lain lebih banyak mempunyai
pendedahan dan pengalaman dan tentulah ada harga dan nilainya yang boleh
kita manfaatkan. Saya kira kalau kita tidak menghargai kebolehan dan
pengalaman orang lain, ini juga satu pembaziran. Oleh kerana kita
perlukan pertolongan orang lain, jadi kita perlu bekerja dalam satu
semangat berpasukan, hormat-menghormati dan setiap orang daripada kita
ada ketua dan perlu patuh kepada arahan ketua. Jangan mengambil
pendekatan mengelak dari kerja.

Kita juga perlu sedar bahawa ada ketikanya kita terpaksa berhadapan
dengan cabaran dan dugaan dalam tugasan kita. Jadi, waktu-waktu kita
berdepan dengan cabaran dan dugaan, maka kita kena bersama-sama. Jangan
kita menambahkan lagi masalah yang sedang dihadapi seperti kita buka
mulut di sana-sini mengutuk JAKIM, perlekeh kawan-kawan sendiri
contohnya, sebab kita semua orang JAKIM, tidak kira dari mana kita
datang. Kita adalah orang JAKIM. Kita sama-sama perkuatkan, kita perbaiki
dari dalam dan kalau ada cabaran kita hadapi bersama dengan semangat
ukhuwah Islamiah.

(ii) Sedia hadapi cabaran dan dugaan
Yang kedua, kita perlu hadapi cabaran-cabaran tersebut dengan tenang,
waras, berani dan bijak. Kadang-kadang dalam keadaan ramai kita akan
mendapat kewarasan dan ketenangan. Bila keseorangan, kita akan jadi
gelabah. Tapi bila ada sahabat memberi pandangan, kita dapat timbang,
hati kita jadi tenang, fikiran kita dirawat, kita disuntik dengan
kekuatan yang baru dan ini suatu yang mesti dihadapi oleh JAKIM dan
agensi agama negeri. Kalau kita pencen esok, kita nak terlibat dalam NGO
agama misalnya, itulah yang akan kita hadapi. Orang buat kerja agama
mesti berdepan dengan dugaan dan cabaran. Perkara yang menjadi budaya
untuk orang yang bekerja untuk agama ialah kita akan dipinggirkan,
disisih, direndahkan. Ini sesuatu yang boleh kita jangkakan. Sesiapa yang
tidak sanggup dipinggir dan diremehkan, dia tidak boleh buat kerja agama.
Sebab dia perlu ada kekuatan sanggup berdiri tegak di saat-saat ia
dipinggirkan, tak dipandang, tak diberi penghormatan.

Di Malaysia sebenarnya kita tidak lagi berada dalam situasi
itu sepertimana yang pernah kita alami 10 bahkan 30 tahun yang lalu.
Dunia semakin berubah. Jadi kita perlu ambil peluang ini kerana banyak
pihak sebenarnya mereka nak bersama kita. Kita ambil peluang ini sebab
ramai lagi orang lain yang nak buat kerja untuk agama juga. Tetapi yang
penting ialah kita menghulurkan jambatan dan mereka akan meniti untuk
pergi bersama kita. Kalau kita tidak ada rangkaian yang baik dengan
lain-lain agensi, kita akan lemah. Sekarang ini pun kita mendapat
kekuatan kerana kita bersahabat baik dengan banyak Kementerian yang
fungsinya ada yang bertindih dengan JAKIM dan saling memerlukan. Sebab
itu kita dapat berpakat. Dalam pengurusan halal umpamanya, banyak
Kementerian yang sokong kita. Dalam isu-isu aqidah, kita berjaya dan kita
boleh kata Alhamdulillah kita menang sekarang ini dalam pusingan pertama
dalam usaha membanteras ajaran salah. Bukan kerana usaha kita
semata-mata,
tapi kerana banyak pihak yang membantu. Tapi kebanyakkannya dalam hal ini
orang tak nampak. Ini kerana banyak kerja-kerja yang dibuat di belakang
tabir.

Jadi maknanya kita jangan berdiri seorang. Jangan kita rasa kitalah yang
terbaik dan tak perlu orang lain. Sikap ini akan merugikan JAKIM. Jadi
pendekatan kita, kalau dalam konteks dakwah selalu saya sebut dengan
rakan-rakan di Bahagian Dakwah, bahawa NGO, mereka lebih aktif dalam
kerja-kerja dakwah ini. Saya daripada awal lagi berpegang dengan yakin
bahawa orang yang terlibat dengan kerja-kerja NGO ini adalah orang yang
sangat ikhlas berkhidmat untuk agama. Kita juga tidak nafikan mungkin ada
satu dua 'pisang busuk' dalam setandan yang terlibat dalam NGO atas dasar
kepentingan-kepentingan peribadi dan seumpamanya. Jadi kita mesti
menunjukkan bahawa walaupun kita rasa kita berada di kedudukan yang baik,
kita juga memerlukan kepada NGO untuk memperkasakan aktiviti dakwah
contohnya. Begitu juga dalam sektor-sektor lain, kita perlu sokongan
lain-lain agensi.

Oleh kerana kita berdepan dengan banyak cabaran, kita perlu tenang
supaya kita dapat berfikir dengan bijak. Ini kerana orang yang gelabah,
kalau bijak sekalipun fikirannya, maka dia tidak menjadi bijak. Jadi kita
perlukan ketenangan. Saya rasa masing-masing perlu kepada kaedah dan
teknik tersendiri untuk mengambil pendekatan rohaniah, tarbiah ruhiyah.
Dengan cara itu, kita lebih terbuka. Allah akan ilhamkan kita untuk
membuat keputusan yang terbaik dan bila kita yakin keputusan yang kita
pilih itu adalah datangnya daripada Allah, kita ambil dan pertahan dengan
berani. Sebab kita yakin itu bukannya keputusan yang datang dari kita. Itu
adalah keputusan yang Dia ilhamkan untuk kita. Bila kita berani, orang
lain akan takut. Maaf saya terpaksa bawa satu contoh lama, bahawa orang
yang takutkan anjing, dia tengok anjing dia jadi gelabah, akibatnya
anjing yang akan kejar dia walaupun anjing itu anjing kurap. Tapi, kalau
jenis manusia yang takut anjing, apabila anjing nak kejar
dan gigit dia, tetapi dia tenang sambil dia tunduk ambil batu, walau dia
tak pukul atau baling batu pada anjing itu, anjing itu yang takut
kepadanya dan akan lari. Dia tidak perlu lari, dia hanya perlu sedikit
keberanian untuk ambil batu, kalau perlu baru baling. Maaf saya sebut
pasal anjing. Saya orang yang sukakan anjing. Sebab dia berkhidmat untuk
tuannya, jaga keselamatan. Tapi ada juga anjing yang Allah jadikan jenis
liar, jenis nak gigit orang sahaja. Dia tidak ada kerja selain daripada
menyalak orang, mencari kesalahan orang, kalau jenis macam ini kita
jangan takut dengan dia. Dia cari saja kesilapan agensi agama, sebab dia
tak ada kerja lain. Kerja dia memang menyalak. Jadi kita jangan hirau
sangat salakkan dia bahkan kita teruskan dengan kerja kita. Tapi batu
tetap digenggaman, kalau rapat kamu kena. Jika dia tidak kacau kita, dia
hal dia, kita hal kita. Kadang-kadang anjing garang pun kalau kita lintas
depan dia, kita kena bagi sedikit hormat pada dia, dia pun
tak berani gigit. Ada ketika kita perlu pandai juga menghormati anjing,
dia tak akan gigit kita. Mungkin anjing liar akan menjadi anjing jinak
yang baik, menjaga tuan dia, di bawa ke balai polis, bantu polis, bantu
kastam dan anjing itu bertukar jadi anjing baik. Tapi hakikatnya dia
tetap anjing. Sebab Allah takdirkannya menjadi anjing dan dia juga
makhluk Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan, oleh kerana kita yakin kita terpaksa
berhadapan dengan situasi yang mencabar seumpama ini, saya ingat pada
suatu ayat ai-Quran yang bermaksud "sekiranya kamu menolong Allah,
nescaya Allah menolong kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu." Ini landasan
kita berpijak. Dan kita jangan lupa, kalau kita buat analisis kita juga
ada kekuatan, tapi kadang-kadang kita tak hargai. Kita adalah urusetia
MKI. Siapa pengerusi MKI? Bukan sebarang orang yang mempengerusikan MKI,
Y.A.B Perdana Menteri. MKI adalah satu majlis di peringkat kebangsaan
yang bukan ditubuhkan oleh mesyuarat-mesyuarat di jalanan, tetapi MKI
ditubuhkan oleh Persidangan Majlis Raja-raja Melayu. Ini kekuatan kita
dan kita menjadi urusetia MKI. Maknanya banyak ruang yang kita boleh bawa
ke forum yang tertinggi. Kalau di peringkat dalaman, kita serius memikir,
memikir dan merancang, bahkan kalau kita ada masalah sekalipun, saya rasa
MKI lah bapa dan datuk kita yang boleh kita mengadu.

Kita lihat akhir-akhir ini pendekatan yang diambil oleh Y.A.B Perdana
Menteri selaku pengerusi MKI, beliau memberi ruang banyak forum selain
daripada MKI. Contohnya petemuan dengan Ashabus Samahah Mufti-mufti
secara tertutup dan banyak perkara yang cukup baik yang dibincangkan dari
hati ke hati oleh mufti-mufti kita dengan Perdana Menteri. Tahun sudah
juga saya masih ingat lagi PM arah kita buat perjumpaan dengan para
ulama' yang terpilih. Kita rasa terharu melihat ada di kalangan
ulama'-ulama' kita yang berani memberi pandangan-pandangan dan
menyampaikannya dengan cara bijak kepada PM. Sebenarnya mereka boleh
memilih untuk mengungkit perkara-perkara tersebut di luar. Tetapi mereka
menyampaikannya dengan baik dari hati ke hati kepada PM. Jadi hubungan
ulama' dengan umarak wujud dalam satu forum yang begitu harmoni. Kita
boleh manfaatkan ini dan lebih-lebih lagi apabila PM arahkan supaya
program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan. Kita rancang elok-elok
supaya yang
mana isu yang tidak padan untuk kita nak bercakap dengan PM, para ulama'
ini sampaikan pula kepada PM. Saya jangka mereka akan dapat sampaikannya
dengan cara yang amat bijak kerana mereka tidak ada kepentingan peribadi.

(iii) Melukis dan mewarnai emej baru
Perkara yang ketiga, selain daripada apa yang saya sebutkan
tadi supaya kita berazam melaksanakan amanah dengan sempurna, kita
berjanji taat setia untuk sama-sama hadapi cabaran, dan perkara yang
ketiga yang saya ingin sampaikan ialah saya nak jemput kita semua
khususnya pegawai-pegawai kanan Jabatan untuk sama-sama kita 'melukis'
dan 'mewarnai' JAKIM dengan imej yang baru. Maksud saya kalau perlu kita
rebrand organisasi kita agar ia kekal relevan dengan tuntutan semasa.
Organisasi kita ini kalau dalam konteks sektor kerajaan, ia sudah dilihat
agak lapuk kalau dalam masa 10 tahun masih tidak berubah dan berkembang.
Sesuatu organisasi kalau ia berdepan dengan tugas baru, bebanan yang
semakin bertambah, tetapi tak nak berubah, jadi ia dilihat sebagai sudah
lapuk.

Kalau kita lihat kecenderungan sekarang ini, PM selalu bercakap tentang
hub halal, dan Malaysia sebagai hub kewangan Islam, TPM pula bercakap
tentang hub pendidikan. Kita yang bertanggungjawab dengan pendidikan
islam ini takkanlah kita nak ketinggalan pula. Kalau dalam bidang
pengajian tinggi, Malaysia boleh dikatakan berjaya, tapi itu bukan urusan
JAKIM, itu urusan orang lain (Kementerian Pengajian Tinggi). Melalui dasar
liberalisasi pendidikan khususnya di peringkat pengajian tinggi, kita
lihat kemasukan dan kebanjiran pelajar-pelajar asing begitu banyak.
Tetapi dalam bidang pengajian Islam, walaupun sudah mula tetapi ia masih
dalam peringkat pengajian tinggi sahaja. Di peringkat menengah belum
lagi. Tetapi dalam sektor lain sudah ramai terutamanya orang Cina dari
Tanah Besar China, daripada Indonesia, mereka menghantar anak-anak
mereka belajar di peringkat sekolah menengah, kolej-kolej swasta di
Malaysia. Namun dalam bidang pendidikan Islam kita masih jauh
ketinggalan. Sebab itu kita sudah mengorak langkah membuka pintu
institusi di bawah kita kepada negara jiran. Seperti di Darul Quran, kita
buka seluas-luasnya kepada negara Brunei dan lain-lain. Dulu kita tak
berapa buka sebab kita kata kita nak bantu saudara-saudara kita di
Selatan Thai, Philipines, Singapore sahaja. Sebab di sana pusat pengajian
tahfiznya agak ketinggalan. Brunei misalnya, ia sudah ada pusat tahfiznya
sendiri. Kenapa perlu dia datang sini ? Tetapi suasana sudah berubah,
walaupun mereka (Brunei) ada pusat tahfiz, tetapi mereka hendak datang ke
Malaysia juga. Kita benarkan. Untuk jangka panjang, ini sesuatu yang baik
untuk kita. Kalau tuan-tuan dan puan-puan yang banyak terlibat dengan
forum MABIMS, kita lihat betapa eratnya, mesranya pimpinan kita dengan
pegawai-pegawai tinggi negara anggota MABIMS. Rahsianya ialah mereka dulu
(pimpinan MABIMS) peringkat menengahnya mereka belajar di sini, satu
kelas, musim durian ikut kawan balik kampung, pergi negeri
Perak makan tempoyak, pergi Melaka makan cencaluk, ikut pergi Kelantan
makan budu, negeri Terengganu tentulah makan keropok lekor. Jadi ramai
juga di antara mereka yang bertemu jodoh dengan orang kita di sini. Jadi
bila kita bincang benda-benda yang sensitif (dalam MABIMS) sangat mudah
untuk kita selesaikan secara adik beradik. Ini kerana sudah ada hubungan
kejiwaan. Jadi semasa conference Fiqh Akademi baru-baru ini, bila saya
berbincang dengan Menteri Keadilan Maldives dan ketika saya bersama
Ambassador Saudi menyambut ketibaan pengerusi International Islamic Fiqh
Academy, Dr. Soleh, mereka menceritakan di Maldives, pegawai-pegawai
tingginya kebanyakannya lepasan dari UIA. Jadi anak-anak mereka semua
dihantar belajar di Malaysia. Di sana (Maldives) penduduknya sedikit. Tak
padan nak tubuh satu universiti. Jadi jiwa mereka jiwa Malaysia. Kalau
mereka belajar Thanawi di Malaysia, ambil STAM di Malaysia, masuk kolej
tinggi pun di Malaysia, balik jadi pegawai tinggi di Negara
masing-masing, maka rangkaian kita luas. Itu kita bercakap tentang 12
bidang kerjasama MABIMS. Tapi kalau bercakap bab halal pula, tentulah
mereka akan berkiblat kepada Negara Malaysia. Sepertimana orang yang
belajar di UK, bila dia mampu dan upaya dia hantar anak dia juga belajar
di UK, yang mana belajar di USA kalau dia mampu dia hantar anak dia
belajar di USA. Sebab sentimen itu memang fitrah.

MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI
Tuan-tuan dan puan-puan, kerja di JAKIM ini ada kerja-kerja yang ada
nilai-nilai intelektual. Misalnya di peringkat pegawai kanan, mestilah
orang yang banyak membaca, banyak maklumat. Kalau buka e-mail pun paling
kurang dua kali sehari, mesti tahu dan kenal web-web yang penting yang
berkaitan dengan tugas kita. Kita nak buktikan kepada orang lain yang
kita juga mampu. Bukan kita nak menunjuk-nunjuk. Sebab kita nak ambil
semangat ayat "berkerjalah nescaya Allah, rasul dan orang-orang beriman
melihat amalan kamu". Allah pasti melihat, ar-Rasul pasti tahu tetapi
dalam ayat ini juga disebut al-mukminun, sebab orang lain nak jadikan
kita sebagai contoh. Kita kena ingat kalau kita nak tunjuk contoh yang
baik, kita kena tunjukkan kejayaan kita. Mudah-mudahan dapat dijadikan
contoh oleh orang lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan, kita tidak ada pilihan selain terpaksa mulakan
dengan diri sendiri lebih-lebih lagi peringkat pegawai kanan. Kita perlu
menunjukkan sifat bertanggungjawab dan mesti kelihatan bersemangat sebab
kita ada anak buah dan kita pegawai kanan. Kecuali kalau kita lepas
kedudukan kita sebagai pegawai kanan. Tetapi apabila kita diamanahkan
sebagai pegawai kanan maknanya kita jadi ketua, jadi KPP, ada yang yang
jadi TKP. Jadi ini satu amanah dan kita mesti tunjukkan semangat itu
supaya ia dapat menyuntik semangat orang lain. Kita juga kena cuba
tunjukkan sifat kasih kepada organisasi, hormat kepada ketua, sayang
kepada anak buah kita. Sayang anak buah ini maknanya ketua mesti beri
bimbingan dan berani memberi teguran. Salah satu kelemahan kita ialah
apabila kita mungkin boleh buat kerja yang baik dan cemerlang tetapi kita
tidak ada keberanian menegur yang salah. Jadi kita terpaksa terlebih
dahulu menunjukkan yang kita adalah seorang yang patuh dan ia akan
diperhatikan oleh anak buah. Kalau dia tengok KPP dia jenis yang pijak
kepala, buat kerja tak bincang, buat kerja tak rujuk, tak lapor, pergi
sana sini tak beritahu, tak hadir mesyuarat tak bagi tahu, tak sudi
hantar sms, tak sudi buat panggilan, maka ini juga akan jadi ikutan
kepadaa anak-anak buahnya. Ini satu gejala dan budaya yang buruk yang tak
boleh nak dijadikan contoh.

ARAHAN BAGAIKAN HUTANG
Selain daripada itu, sebagai ketua juga, setiap tugasan dan
tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita, kita perlu tanamkan dalam
ingatan kita. Ini supaya setiap kali KP atau TKP tanya, maka tidaklah
kita terpinga-pinga. Jadi itu satu indicator yang tidak sihat (tidak
menguasai tugas). Maknanya kita tidak beri perhatian kepada arahan-arahan
yang diberikan. Sehingga ketua terpaksa tanya. Kadang-kadang bila ditanya
pun kita tak tahu yang mana satu tugasan kita. Ini tak sihat. Di
peringkat kita, tak boleh berlaku dan di JAKIM tak boleh berlaku. Apa
yang diarahkan kena beri perhatian yang berat. Anggaplah arahan itu
sebagai satu hutang dan hutang itu pasti ditunggu dan perlu dicatit. Kita
catitlah sebab dia satu hutang yang perlu kita jelaskan.

Di peringkat pegawai kanan ini saya harap kita dapat melaksanakan apa
yang dirancang dan apa yang diarahkan. Kita dah buat SKU (Sasaran Kerja
Umum). Kita dah beri banyak masa, dan jabatan dah banyak buang duit. Kita
keluar (mesyuarat) fikir sampai tengah-tengah malam. Bila kita balik, kita
laksanalah apa yang kita rancang, dan jangan lupa kita kena laksanakan apa
yang diarah. Sebab ada benda yang memang kita tak rancang, tetapi kita
diarah, jadi kita terpaksa buat. Ada benda-benda baru, keperluan baru,
kita tak boleh kata kita nak buat benda yang kita fikir saja. Kita nak
buat benda yang datang daripada idea kita sendiri. Kalau idea orang lain,
kita tak nak buat, bahkan kalau kita pergi satu bahagian, kalau kita ingat
ini idea orang lama, kita tak nak buat, kita nak buat idea kita saja. Itu
bukan satu budaya berorganisasi. Saya juga telah menanam azam, bahawa
setiap hari Isnin saya tak nak buat apa yang saya fikir saja. Banyak
benda-benda yang difikir oleh KP-KP kita
dulu, yang mesti kita semua teruskan. Tapi dalam kita meneruskan
perjalanan ini kita ada hak untuk mencipta idea kita sendiri tanpa kita
abaikan perkara-perkara lama yang baik untuk kita teruskan. Jadi budaya
ini saya harap kita teruskan di peringkat Bahagian. Kenapa saya sebut
mesti kita teruskan di peringkat bahagian ? Ini kerana kita tak akan
duduk satu bahagian sampai bila-bila. Mungkin saya nak bagi isyarat,
dalam masa terdekat ini tidaklah ada rombakan besar-besaran. Tetapi siapa
kata saya tak boleh rombak bila-bila masa. Mesti kita kena rombak dan saya
akan pilih masa yang paling sesuai misalnya bulan November. Jadi untuk
tahun ini kita sempurnakan tugas sebaik mungkin. Saya akan bincang dengan
pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai lama untuk memantapkan
organisasi kita dan YB Menteri juga prihatin dan dia beri saya kebebasan.
Cuma saya sentiasa ambil maklum dan saya hargai kebebasan yang dia beri.
Ini bukan bermakna saya buat sesuka hati, tapi saya akan maklum
kepada beliau juga. Dan mungkin ada perkara yang perlu saya dapatkan
keputusan dia.

LAKSANAKAN APA DIRANCANG DAN DIARAH
Jadi tuan-tuan dan puan-puan, selain daripada kita melaksanakan apa
yang dirancang,apa yang diarahkan, di peringkat pegawai kanan boleh juga
merancang apa yang kita nak buat. Di peringkat cawangan, tuan-tuan boleh
rancang banyak benda dan bincang dengan Pengarah. Sekiranya ia sesuatu
yang terlalu baru lebih-lebih lagi melibatkan implikasi kewangan, jangan
pandai-pandai, bincang dulu dengan Timbalan Ketua Pengarah mengikut
sektor masing-masing. Kalau perlu, buat paper bawa dalam Mesyuarat Pagi
atau Mesyuarat Pengurusan. Dapat info-info tambahan daripada
sahabat-sahabat kita. Kalau bukan perkara besar, kena ada keberanian di
peringkat bahagian buat pembaharuan dan tentulah saya akan hargai
Pengarah dan KPP yang berani buat keputusan. Tetapi kita kena imbangkan
juga siapa yang patut buat keputusan tentang sesuatu perkara. Jangan KPP
berani buat keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Pengarah. Jangan
Pengarah berani buat keputusan yang sepatutnyat diputuskan oleh TKP.
Masing-masing kena tahu sempadan. Saya dulu pun sentiasa ingatkan diri
saya, sama ada perkara ini saya putuskan, ataupun saya kena rujuk kepada
KP. Saya rasa Pengarah-pengarah di bawah sektor operasi pun ada
pengalaman. Ada perkara yang saya putus, dan ada perkara yang saya tak
akan putus kecuali lepas itu saya maklumkan kepada KP. Dan ada perkara
yang saya fikir ini bukan peringkat saya, bukan di peringkat timbalan,
maka KP yang putuskan. Jadi kita kena tahu garis pengurusan kita,
sempadan kita, dan itu pun satu petunjuk kita ni jenis hormat orang atau
tidak.

Saya teringat apa yang Tan Sri KSN sebut. Ini mungkin satu ingatan
kepada sesiapa saja yang jadi KP JAKIM. Dia bawa contoh, dalam
perkhidmatan awam ini kadang-kadang berlaku di mana Ketua Jabatan sangat
mahir dan sangat berpengalaman dan sangat lama di sesuatu agensi. Memang
satu dunia iktiraf dia lebih baik daripada menteri dari segi mempunyai
maklumat dan pengalaman dalam bidang tertentu. Tapi bukan bermakna dia
boleh membuat keputusan yang sepatutnya diputuskan oleh menteri. Bukan
semestinya dia umum sesuatu perkara yang sepatutnya diumum oleh menteri.
Kalau berlaku konflik antara Ketua Jabatan dengan menteri misalnya, kata
Tan Sri KSN dia akan lebih memihak kepada pihak yang ada autoriti. Itu
prinsip dia. Kalau KSU bertelagah dengan menteri, dia memihak kepada
menteri. Kecuali kalau terbukti menteri itu buat keputusan yang salah,
ketika itu dia akan memihak kepada KSU. Tetapi dalam keadaan biasa dia
akan lebih memihak kepada siapa yang lebih berautoriti. Saya ambil
itu sebagai satu nasihat dan juga satu ingatan. Saya tak akan pandang
kecil perkara ini dan saya rasa prinsip itu patut kita amalkan bila-bila
masa.

SIAPA PATUT BUAT KEPUTUSAN
Jadi kita kena nasihatkan pegawai-pegawai kita. Ada peringkat yang PP
patut buat keputusan dan kita kena percaya kepada PP. Biar dia buat
keputusan. Tapi kita kena ingat ada perkara yang KPP kena putuskan, ada
Pengarah yang kena putuskan kalau di peringkat Bahagian. Kalau melibatkan
hal besar yang lain, kena merujuk timbalan. Saya baru-baru ini ada bincang
dengan Tuan Haji Murat (Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Kewangan). Saya
bagi satu contoh saja. Contoh lain yang lebih banyak saya akan sebut
dalam Mesyuarat Pengurusan. Misalnya, apa saja urusan yang melibatkan
luar negeri, saya fikir orang yang patut buat keputusan ialah KP, bukan
timbalan, bukan pengarah, jauh sekali KPP. Kecil atau besar, kecuali
kalau ada perkara yang diperturunkan kuasa, kita amalkan empowerment
dalam sektor tertentu. Saya bagi contoh lain, misalnya orang luar negeri
datang ke tempat kita nak buat kajian tentang JAKIM. Bukan KPP, bukan
Pengarah, bukan Timbalan yang boleh buat keputusan. Kalau
dulupun saya panjangkan kepada KP sebab research tentang JAKIM bermakna
maklumat tentang Malaysia. Ini perkara besar. Kadang-kadang kita kena
dapatkan nasihat daripada Wisma Putra atau daripada EPU. Itu contoh, tapi
ada perkara yang melibatkan luar negara tetapi kita boleh perturunkan
kuasa, macam orang dari luar negeri nak datang melawat ke JAKIM. Itupun
dalam kes-kes yang terpilih. Kita tengok dari mana dia datang.
Sekurang-kurangnya kita maklum kepada KP. Kalau ok kita proceed. Itu
kalau orang luar datang sini. Begitu juga yang melibatkan kita dengan
orang luar. Kita nak hantar pegawai ke luar negeri samada untuk ikut
kursus , lawatan kerja, untuk mengikuti delegasi kementerian lain, mana
boleh pergi begitu saja tanpa Pengarah tahu, kalau Pengarah pergi TKP tak
tahu, atau timbalan pergi KP tak tahu. Ini tak boleh kita benarkan
berlaku. Begitu juga bila kita nak pilih pegawai melanjutkan pengajian,
berkursus di luar negara, kita ada sistem. Lebih-lebih lagi pengalaman ke
luar negara merupakan satu pendedahan yang baik yang patut kita kongsi
kepada ramai pegawai-pegawai kanan yang lain. Semua ini perlu keputusan
daripada pihak atasan. Pihak atasan dia melihat keseluruhan. Kalau
peringkat Bahagian yang buat keputusan, ada peluang dia bagi pegawai
Bahagian dia saja yang pergi. Orang lain tak merasa. Kalau merasa pun
tempat-tempat yang orang lain tak nak pergi dah. Bukan saya buat contoh
yang tidak ada kena mengena, tetapi contoh yang boleh dikiaskan. Budaya
ini saya tak mahu.

KEMAJMUKAN JAKIM
Tuan-tuan dan puan, satu keunikan JAKIM ialah kemajmukan pegawai kita.
Di JAKIM ada ustaz, ustazah dan ada non ustaz atau ustazah. Satu lagi
ciri-ciri unik kita ialah kita ada pelbagai skim perkhidmatan. Ada
Pegawai Hal Ehwal Islam, ada PTD dan senarai perkhidmatan yang lain semua
ada di sini. Hampir semua ada perkhidmatan-perkhidmatan yang membantu.
Jadi kita ada core business dan ada support business. Jadi kita mesti
bijak mengadun kekuatan sebab masing-masing ada kekuatan dan kita kena
kurangkan sentimen yang menganggap orang lain lebih lemah, orang lain
lebih berilmu, dan sebagainya. Sentimen-sentimen ini tidak baik. Satu
perkara yang baik juga apabila pengiktirafan diberikan kepada non ustaz
ustazah apabila orang luar memanggilnya ustaz ustazah. Namun sebaliknya
ada juga ustaz ustazah yang tidak menunjukkan kredibilitinya sebagai
ustaz ustazah kerana adakalanya mereka sombong, susah nak berkongsi
pandangan dengan orang lain dan sebagainya.

Selain daripada itu, ciri-ciri kenegerian juga adalah satu sentimen yang
kurang sihat. Zaman saya dan rakan-rakan dulu kebanyakkannya dari
Kelantan, Kedah, Pahang, Terengganu dan negeri-negeri lain. Tetapi dunia
dah berubah. Sudah tidak penting lagi sentimen kenegerian. Kita harap
perkara ini tidak wujud di JAKIM. Di JAKIM kita ada dua sektor . Sektor
Operasi dan Sektor Pengurusan. Dan saya nampak JAKIM perlu wujudkan satu
lagi sektor iaitu Sektor Dasar. Tapi perkara ini elok sama-sama kita
fikirkan kemudian. Buat masa ini jalinan kerjasama antara kedua-dua
sektor yang sedia ada ini amat penting. Kerjasama antara bahagian di
JAKIM juga Alhamdulillah sangat memuaskan.

Selain daripada itu kita kena kukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan
kita dengan pihak luar. Kita kena mulakan dengan memperkukuhkan
organisasi dalaman dulu kemudian kita lihat hubungan luar kita. Ini
kerana kita tak mampu laksanakan semua perkara dalam satu masa, jadi kita
perlu kerjasama daripada orang lain untuk melakukan kerja bagi pihak kita.
Tapi mestilah kita pandai merendah diri, insyaAllah orang dengan rela hati
akan membantu kita. Biarlah kita yang menghasilkan produk, tetapi
kilangnya di luar. Program yang dirancang oleh JAKIM tetapi hasilnya
dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Contohnya ialah seperti program KAFA dan
takmir. Program itu dari kita, tetapi kilangnya di negeri. Kita juga boleh
fikirkan produk-produk baru untuk kerjasama dengan negeri-negeri. Banyak
perkara yang boleh kita trokai.

PERLUAS JARINGAN
Selain daripada itu, hubungan kita dengan NGO perlu ditingkatkan
khususnya dalam kerjasama dakwah. Tugas besar kita dalam dakwah ialah
dakwah kepada Orang Asli dan saudara kita. Kita harap, dengan strategi
ini kita dapat mengurangkan gejala murtad. Kita tidak boleh menangani
gejala murtad ini melalui jalan mahkamah semata-mata, sebaliknya kita
perlu tanganinya melalui jalan dakwah. Kita ada kekuatan seperti Bahagian
Baitulmal di Wilayah. Kita nak ucap tahniah kepada Baitulmal kerana
baru-baru ini telah menjuarai aktiviti dakwah saudara baru di wilayah dan
dari itu kita perlu cipta lebih banyak modul-modul dakwah saudara baru dan
kita jual kepada negeri-negeri tanpa bayaran untuk mereka laksanakan.

Selain itu, untuk kita mengeratkan hubungan kita dengan lain-lain
agensi, saya ingin peringatkan kepada Bahagian-bahagian tertentu untuk
mengatur kunjungan hormat saya kepada pihak-pihak yang berkenaan dalam
masa yang terdekat. Sebagai contoh tolong aturkan perjumpaan saya dengan
Pengerusi LEPAI, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di mana saya
adalah sebagai Setiausahanya.

Selain daripada itu tuan-tuan dan puan-puan, kita juga kena ambil
peluang untuk memperluaskan jawatan kader post JAKIM di lain-lain agensi.
Semalam, saya ada terima satu surat daripada satu kementerian memohon
supaya JAKIM menghantar pegawai kita ke sana. Ini ada kaitan dengan
Mesyuarat Penyelarasan Islam Hadhari yang dipengerusikan oleh Y.B
Menteri. Saya jangka masih banyak kementerian dan jabatan lain akan
meminta pegawai JAKIM untuk ditempatkan di Kementerian mereka. Buat masa
ini kita mempunyai jawatan kader post sebanyak 352 jawatan yang diisi.
Ini belum diambil kira jawatan yang belum diisi. Begitu juga dengan
pengisian di PDRM sebanyak 963 jawatan yang mesti diisi oleh JAKIM.

Selain daripada itu, JAKIM juga perlu ada satu kumpulan yang menjalankan
kerja-kerja think thank group (kumpulan pemikir) sebab saya percaya
walaupun kita mempunyai banyak pengalaman, pendedahan dan kita tahu apa
yang patut kita buat, tetapi kita juga perlu menghargai pandangan
daripada pihak luar yang hendak membantu memajukan Islam dan umat Islam.

MENGADU IKUT SALURAN
Akhir sekali, saya ingin maklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, dan
saya harap tuan-tuan dan puan-puan juga tolong sampaikan perkara ini
kepada anak-anak buah masing-masing bahawa saya boleh dihubungi melalui
e-mail untuk memberi pandangan, cadangan, syor dan kalau hendak mengadu
juga boleh melalui email saya wan@islam.gov.my. Tuan-tuan juga boleh
berjumpa dengan saya selepas jam 5.00 petang di pejabat saya, kerana
biasanya saya balik lewat ke rumah, kerana saya diberi rahmat oleh Allah
Taala menduduki kuarters kerajaan di Putrajaya. Tuan-tuan juga boleh
menghantar mesej malalui handphone saya (012 2399864). Cuma saya ingin
berpesan kalau hendak mengadu boleh, tetapi jangan mengadu domba. Kalau
mengadu biarlah ada fakta, jangan kita terjebak dengan fitnah. Saya juga
ingin ingatkan kepada pegawai-pegawai kanan supaya lebih terbuka untuk
mendengar masalah anak-anak buah. Jangan sampai mereka takut untuk
mengadu masalah kepada kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, saya menerima arahan daripada Pejabat Tan Sri
KSN supaya berjumpa dengannya bersama-sama dengan pegawai JAKIM, JAWI dan
MAWIP pada hari Jumaat ini kerana ada beberapa isu yang hendak
dibangkitkan oleh beliau termasuklah aduan-aduan yang diterima oleh
beliau mengenai kita. Kita juga boleh mengambil peluang ini untuk mengadu
mengenai masalah-masalah yang dihadapi dan saya percaya Tan Sri KSN
prihatin dengan setiap masalah.

SIAPA TKP (OPERASI) ?
Tuan-tuan dan puan-puan, saya juga ingin maklumkan bahawa tempat
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) buat masa ini belum diisi. Ia akan
diputuskan secara muktamat oleh SPA. Jadi saya tidak suka bercakap
perkara yang SPA belum putuskan. Cuma saya ingin nasihatkan, siapa sahaja
yang dilantik sebagai TKP(O) JAKIM, maka kita akan menerimanya dan saya
berharap beliau akan banyak membantu saya dalam memajukan JAKIM. Untuk
sementara ini saya telah meminta Ustaz Che Hassan Pahmi menjalankan tugas
TKP(O) secara tanggungan kerja.

AMANAT DARI HATI BUKAN LIDAH
Satu perkara yang ingin saya kongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan,
iaitu sewaktu saya dilantik sebagai TKP(O) JAKIM. Saya bersedia dari segi
mental bahawa saya dilantik sebagai timbalan dan saya mesti bersedia untuk
menjadi timbalan sampai pencen. Itu yang saya didik kepada jiwa saya.
Dengan cara ini, saya tidak akan langkah dan pijak kepala ketua saya.
Siapa saja yang datang sebagai KP, maka dia adalah KP saya. Saya juga
akui secara jujur bahawa apabila saya dilantik sebagai TKP(O), selain
daripada saya berazam untuk menjadi timbalan sampai pencen, saya juga
dapat 'membaca' bahawa saya juga mesti bersedia jika diberi kepercayaan
untuk menjadi KP. Itu mendorong saya untuk belajar, perhati dan lihat
kerana banyak benda yang kita tidak tahu. Kalau ditakdirkan sampai
masanya saya jadi KP, sekurang-kurangnya saya bersedia dari segi
psikologi. Saya harap siapa saja di antara tuan-tuan di dalam dewan hari
ini boleh dilantik sebagai TKP(O) JAKIM. Jadi dia kena anggap dirinya
sebagai timbalan dan bukannya Ketua Pengarah. Timbalan ertinya orang yang
sanggup membantu ketua. Seorang timbalan tidak boleh merasa tidak selesa
bekerja dengan ketua. Jadi tuan-tuan dan puan-puan, itulah amanat saya
dan saya mohon maaf sekiranya ada salah dan silap. Saya harap ia dapat
disampaikan kepada anak-anak buah masing-masing yang mana patut
disampaikan. Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan faham bahawa apa
yang saya sampaikan pada hari ini sebenarnya datang daripada hati saya
yang ikhlas dan bukannya dari lidah semata-mata.

Sekian terima kasih.
Assalamualaikum w.b.h.
14 Ogos 2007
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: