Saturday, September 15, 2007

Pecat Mufti Perak: PAS beri amaran pada Gerakan

Apr 02, 07 | 05:24:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - 'Jangan bermain api!', itulah kenyataan
keras yang disampaikan oleh beberapa tokoh apabila ditanya mengenai
kenyataan biadap parti Gerakan.

Gesaan Gerakan untuk memecat Mufti Perak, Dato' Seri Harussaini Zakaria
dilihat sebagai isu yang amat sensitif dan mencabar kewibawaan umat
Islam.


"Gerakan diingatkan agar lebih cermat dalam membuat sesuatu usul demi
menjaga perpaduan nasional kerana umat Islam tidak boleh menerima apabila
Islam dicabar," ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin
kepada Harakahdaily pagi tadi.


Beliau yang merupakan bekas Imam Besar Masjid Negara berkata persoalan
Mufti bukanlah perkara yang bersifat peribadi tetapi ia merupakan suatu
jawatan yang menyentuh kewibawaan Islam itu sendiri.


Perdana Menteri perlu sensitif
Pada masa yang sama, Taib berkata jawatan Mufti ditauliahkan oleh Sultan
di negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong; jika sekiranya timbul masalah
atau tidak puas hati terhadap mereka maka ia hendaklah ia disalurkan
melalui saluran yang betul dengan kaedah yang tertentu.


"Memandangkan Gerakan adalah satu parti komponen Barisan Nasional, maka
ia hendaklah melalui Pengerusi BN iaitu Perdana Menteri," ujarnya lagi.


Beliau juga mengingatkan kepada Umno agar lebih prihatin dalam
perkara-perkara seperti ini, kerana apabila mereka sendiri yang longgar
dalam urusan agama ini, ia sekaligus menjadi peluang untuk mencemarkan
perkara yang berkaitan dengan agama di masa akan datang.


Tambah beliau, bahkan ada menteri-menteri Umno yang memperlekeh dan
merendahkan kenyataan Mufti Perak berhubung isu yang berkaitan dengan
kedudukan Islam sebelum ini.


"Isu mengenai kedudukan dan hal ehwal agama ini perlu ditangani oleh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan agama Islam,"
katanya.


Beliau berharap agar Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno
mengkaji semula hal ini dan prihatin serta sensitif untuk mengambil
tindakan supaya ia tidak dibangkitkan kerana ia bersabit dengan
sensitiviti umat Islam.


Ini kerana menurut beliau, mufti bercakap bukan di atas kapasiti parti
yang disokong tetapi ia berkaitan dengan polisi yang telah ditetapkan
oleh kerajaan.


Amaran tercetusnya peristiwa 13 Mei
Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan
Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor ketika dihubungi berkata,
"Pemuda juga memberi amaran tegas kepada pemimpin Gerakan supaya tidak
campurtangan dalam urusan agama Islam kerana ia cukup sensitif."


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Menangani Isu Murtad (FORKAD) juga
mengharapkan Gerakan menghormati perkara 3, Perlembagaan Persekutuan dan
kedudukan orang Melayu sebagai penduduk pribumi Malaysia.


Menurutnya, pada tahun 1950 orang Melayu telah berkompromi dengan kaum
lain dan memperakukan mereka sebagai penduduk imigran dan mereka menerima
hak istimewa orang Melayu dan Islam sebagai elemen yang didominasi oleh
orang Melayu.


Tegas beliau, Forkad memberi amaran tegas kepada mana-mana pemimpin negara
dan NGO supaya tidak bermain api kerana bimbang akan berulang kembali
peristiwa 13 Mei 1969.


Ridhuan berkata, menurut satu kajian yang telah dijalankan sebelum ini,
dari tahun 1511 hingga 1945, seramai 178 orang dilaporkan murtad.


"Ini merupakan suatu implikasi positif yang menunjukkan orang Melayu
sangat sayang akan akidah Islam yang dianuti ketika itu," jelasnya


Menurut beliau sepanjang sejarah Tanah Melayu dijajah oleh
Portugis,Belanda, Inggeris dan Jepun, mereka tidak pernah campurtangan
dalam urusan berkaitan dengan Islam dan adat resam orang Melayu, seperti
contoh Perjanjian Pangkor 1874 antara pihak Inggeris dengan pembesar
Melayu ketika itu.


Ridhuan turut mengesyorkan agar Gerakan sepatutnya lebih fokus kepada isu
rasuah dan kroni-kapitalisme yang semakin berleluasa dalam negara dan
bukannya dalam urusan agama yang akan menyentuh sensitiviti umat Islam.


Tindakan Gerakan akan menaikkan kemarahan umat Islam
Dalam masa yang sama, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ketua
Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud ketika
dihubungi meminta agar pihak berkuasa dapat "handle with care" dalam
menangani isu ini dengan teliti dan berhati-hati.


Menurut beliau jika sekiranya Dato' Seri Harussaini bersalah, maka yang
berhak dan berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap beliau adalah
Sultan Perak.


Dr Mariah berkata menurut perlembagaan Malaysia, hal berkenaan bidang
kuasa ini sangat jelas termaktub dan beliau yakin pihak berkuasa
mempunyai maklumat tentang perkara ini.


Beliau menegaskan bahawa ini adalah isu yang menyentuh sensitiviti umat
Islam secara kolektif dan tidak harus dipolitikkan.


"Jika ada pihak-pihak tertentu yang mencampuri perkara ini maka ia akan
menaikkan kemarahan umat Islam, termasuklah usaha untuk menggubal
perlembagaan, " katanya dalam nada yang bimbang.


Gerakan jahil perlembagaan dan undang-undang
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam kenyataannya kepada Harakahdaily
berkata, "dalam masa yang sama isu ini telah menyentuh sensitiviti umat
Islam dalam situasi Gerakan tidak faham apa yang berlaku dalam kes Azhar
Mansor itu sebenarnya mereka perlu selidik dan jangan bergantung kepada
akhbar perdana sahaja."


Katanya , mufti adalah hak Sultan dan tiada siapa pun berhak untuk
membuat kenyataan seperti itu hatta Perdana Menteri dan Umno sendiri
tidak pernah membuat kenyataan terbuka seperti yang dilakukan oleh
Gerakan.


"Gerakan jelas jahil kedudukan perlembagaan dan undang-undang (malah ini
boleh dianggap sebagai hasutan di bawah Akta Hasutan 1948) dan sebagai
parti komponen Barisan Nasional kejahilan ini amat memalukan dan Kheng
Yeik kena ambil perhatian yang serius dalam hal ini," katanya tegas.


Jelas beliau lagi, mereka tidak berpuas hati dengan kedudukan Mahkamah
Syariah di bawah Perkara 121(1A), tetapi itu diputuskan mengikut
undang-undang yang ada sedangkan tuntutan Gerakan Segambut itu adalah
sesuatu yang melanggar undang-undang.


Kuasa pelantikan itu adalah prerogatif (hak istimewa) mutlak Sultan sejak
sebelum merdeka yang dikekalkan oleh perlembagaan bahkan Menteri Besar dan
Perdana Menteri pun secara rasminya tiada kuasa apa-apa dalam hal ini,
tambahnya dengan panjang lebar.


"Gerakan has already crossed the line; AG should consider taking action so
that this will be a lesson to others.(Gerakan telah melampaui batas yang
sepatutnya; pihak peguam negara seharusnya mengambil tindakan supaya ia
akan memberi pengajaran kepada yang lain pada masa yang akan datang),"
saran Profesor Aziz.


Resolusi berhubung gesaan agar Mufti Perak dipecat itu dicapai dalam
Konvensyen Parti Gerakan Wilayah Persekutuan semalam dan disiarkan oleh
akhbar The Star hari ini.


Dalam konvensyen semalam, Gerakan telah mengusulkan Mahkamah
Perlembagaan Khas untuk menangani isu yang berkaitan dengan agama.


Antara usul konvensyen semalam ialah memecat Mufti Perak, Dato' Seri
Harussaini berikutan dakwaan terhadap kes penyebaran SMS yang mengaitkan
Dato' Azhar Mansor yang memurtadkan sebilangan orang Islam di Perak
sebelum ini.


Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dato' Dr Tan Kee Kwong merangkap
ketua Biro Agama Pusat berkata kebanyakan rakyat 'nonmuslim' berasa tidak
senang dengan keadaan ini bahawa hak mereka telah dicabuli dengan sesuatu
perlu dilakukan bagi membetulkan keadaan ini. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: