Saturday, September 15, 2007

Kes Subashini: Satu ketidakadilan pada orang Islam, kenapa didiamkan?

Mohamed Hanipa Maidin
Apr 18, 07 | 05:44:23 PM

Kes Subashini v Saravanan membuka sekali lagi lembaran baru pertembungan
bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini
Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan
Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua
berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah
memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak
mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah
Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan
isterinya yang masih beragama Hindu.


Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira
terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya
enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.


Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu
mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan
perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 )
Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984
memperuntukkan bahawa:


" Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau
memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang
demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan
perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah."


Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke
Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya
dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian)
1976 (selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut) , Akta tersebut sendiri
menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di
Mahkamah Tinggi (Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut
diperuntukkan:


" Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka
pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk
penceraian."


Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie
dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen
penceraian di Mahkamah Sivil.


Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira
satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam
dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.


Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang (1990) 2 MLJ 307
Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa " satu perkahwinan bukan Islam
tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi
alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk
memfailkan petisyen penceraian (di Mahkamah sivil).


Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di
dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam,
Hakim Wan Adnan menyatakan; " pernyataan Kadi Besar itu tidak akan
menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya
dan undang-undang sivil negara."


Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara
Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini
tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini
mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.


Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah
pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun
ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini
kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika
sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan


( a ) dengan kematian salah satu pihak ;
( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang
layak ; atau
( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah


"Mahkamah" di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi
atau Hakim Mahkamah Tinggi.


Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen
penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan
perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian
tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan
perintah injunksi bagi :-


a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;
b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding
berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah
Syariah .


Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun
pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah
membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-


a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah
Syariah di bawah seksyen 54 (b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah
Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi ;
b."Subject matter" bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk
dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara
121 (1A) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar
permohonan tersebut.


Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah
Rayuan dua orang Hakim Hakim Dato' Suriyadi dan Dato" Hassan Lah) telah
memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram
memberikan keputusan yang menentang (dissenting judgment).


Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato' Hassan Lah
telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga
sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan
satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse )
untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati
dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran
Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53
terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk
menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan
Muhammad Shafie .


Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;
" I think the wordings in that section (section 53) is wide enough to
enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its
supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of
the husband's application and the interim order obtained by the husband
on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter
as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could
have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah
Court's decisions".


Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah
tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato
Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang
memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang
Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara
–perkara berikut :-
a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini
mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya
beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan
Mahkamah Tinggi Syariah.
Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada
Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak
kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan
Muhammad Shafi
b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui
Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang menghalang sama
sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan
perintah-perintah yang berkaitan (ancillary orders) di Mahkamah Sivil
yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas
orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan
Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang (equality
before the law).
c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada
bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden
di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah
seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian)
1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 (3) Akta tersebut secara jelas
memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam
tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah
bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah .
d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam
penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam
kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization (WA
), Woman's Centre for Change (WCC), Bar Council dan yang lain yang
meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak
membuat persiapan yang mencukupi (ill prepared) di dalam mengemukakan
hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, " Well-intentionned third parties,
championing certain views did not contribute much to the proceeding
before us due to their ill preparedness."

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak
tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati
di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan
perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan
diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. - mks.


Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: