Sunday, September 30, 2007

Fahamkah Dia Dengan Doktrin Pengasingan Kuasa?

Fahamkah Dia Dengan Doktrin Pengasingan Kuasa?

Kemaskini terbaru di Malaysiakini antara lain memaparkan penjelasan
terbaru Menteri Di JPM, Datuk Mohd Nazri Aziz mengenai tindakan beliau
memberikan jawapan bagi pihak Ketua Hakim Negara berkenaan isu hangat
pendedahan rakaman video oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz berkata,
beliau mengumumkan penafian bagi pihak Ketua Hakim Negara berhubung
pendedahan 'pita Lingam' kerana beliau adalah menteri yang menjaga
portfolio undang-undang.


"Saya menteri beliau. Saya menteri yang menjaga hal ehwal mengenai
perundangan," katanya sambil menambah, Ketua Hakim Negeri berbuat
demikian kerana tahu wartawan akan bertanya beliau (Nazri) mengenai
perkara itu.


Tiba-tiba minda saya kembali pada zaman mula-mula menuntut dahulu, dalam
bidang pengajian awam. Subjek pertama yang dikenali adalah Asas Sains
Politik. Satu bab penting dalam subjek berkenaan adalah mengenai Doktrin
Pengasingan Kuasa. Dipetik daripada Wikipedia:


Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil "Separation of
Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang
membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama : Pemerintah
(Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.


Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya "kezaliman" (tyranny), di mana
dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan
mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari
kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk
mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.


Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iaitu:
* Legislatif atau penggubal undang-undang
* Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang
* Kehakiman atau pelaksana undang-undang


Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung
antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua
Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif
akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala
pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.


Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang
iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta
menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang Hakim walaupun
dilantik oleh ketua Eksekutif boleh menjatuhkan hukuman undang-undang
kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai
kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman.


Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja.
Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara Amerika Syarikat. Di sana
setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah,
setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing.
Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain.
Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan
misalnya di Malaysia yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan
Dewan Negara. Dua dewan ini adalah penting untuk memastikan semak dan
seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang.


Sistem kehakiman adalah bebas daripada pengaruh eksekutif dan legislatif.
Dalam erti kata lain, dalam konteks Malaysia Ketua Hakim Negara mempunyai
autonomi untuk menjalankan tugas beliau dan tidak bertanggungjawab kepada
mana-mana pihak melainkan Yang DiPertuan Agong.


Justeru apa gerangan Menteri ini mengatakan bahawa beliau
bertanggungjawab kerana 'saya adalah menteri yang menjaga hal ehwal
mengenai perundangan?'


Tidakkah ini memberikan gambaran jelas, bahawa memang wujud campurtangan
eksekutif di dalam sistem kehakiman Malaysia? Apakah doktrin ini hanya
sekadar bunga penyeri di dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan untuk
amalan di bawah indikator demokrasi berparlimen?


Saya belum sampai tahap tergamak mengatakan bahawa menteri ini tidak
faham asas doktrin ini, tetapi saya terus tertanya-tanya, salahkah apa
yang saya belajar dahulu?


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: