Sunday, September 30, 2007

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Sep 28, 07 | 10:15:10 am MYT

Tazkirah Ramadan | Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga
pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada
minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan
meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah
kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan,
iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat,
keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri
daripada api neraka.


Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat
Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan
sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak
bebas daripada siksaan api neraka.


Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah
malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga
sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada
waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga
amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.


Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam
yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam
satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran
sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di
dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul
Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.


Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami
telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam
itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran,
Al-Qadr 97: 1-5)


Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga
dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri
pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal
dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.


Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan
beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu
lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .


Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr
Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi
hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk
menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia
akan dapat masuk syurga.


Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT
mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi
Muhammad s.a.w antara lain.


Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang
umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di
mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan
umat sebelum mereka.


Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan
kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu
pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh
umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60
hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah
menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada
Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.


Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan
oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan
rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada
malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan
atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.


Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut
Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan
seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam
hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan
terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.


Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar
lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati
isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti
solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta
berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkan Islam.


Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering
Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah
kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta
peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."


Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh
kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan
kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana
doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan
pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat
yang mendekatkan diri kepada Allah.


Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada
Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia
tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang
dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak
Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang
daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)


Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.


Hikmah dirahsiakan kehadirannya
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku
Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar
manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu
malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap
malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh
baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.


Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada
umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam
itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk
menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala
kehancuran dan kerosakan.


Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran
pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada
dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang
bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah
corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya
malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi
Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.


Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam
al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk
baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka
masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam
al-Qadar tahun depan.


Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya.
Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir
dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29
Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.


Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya
pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.


Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang
sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan
hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi
dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar
Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."


Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan
cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.


Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah.
Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah
yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku
pada malam ke-27.


Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr
terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul
Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga
adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.


Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat
bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam
terakhir Ramadan.


Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis
daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah
sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir
Ramadan."


Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan
bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku.
Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam
ganjil akhir Ramadan.


Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya
umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa
menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan
memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.


Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah
bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang
dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga
baginda sujud di atas tanah yang berair.


Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya
para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa,
amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya,
malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha
untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.


Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas;
siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam
itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam
itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya
menangis teresak-esak.


Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan
melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan
ceruk yang gelap gelita.


Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang
lain daripada malaikat.


Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.


Ada yang berkata doa permohonannya makbul.


Fokus umat pada malam tersebut
Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling
sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang
perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:


Menghayati malam tersebut dengan ibadah


Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan
dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.


Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan
rahmat dan keredhaanNya.


Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya
Allah SWT sahaja yang tahu.


Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah
tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam
al-Qadr.


Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan
beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam
tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.


Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh
kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan
tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak
terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para
sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam
al-Qadr!


Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat
Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal
ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya
mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai
ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam
masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.


Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral,
perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah
krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil
tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing
memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai
orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat
pelaksanaan ibadat puasa.


Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail
pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam
Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'.
Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka
yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada
malam tersebut)?


Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku
Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda
:'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya)
dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah
lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad
5/318].


Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat
beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam
tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada
malamnya mendirikan qiyamullail.


Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang
bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan
barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat
disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari
hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).


Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan
tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang
diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :


"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam,
dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh
malam (sumber yang sama - 6342)."


Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr,
iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita
dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih,
Insya Allah. - mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: