Sunday, September 30, 2007

Hijrah akidah Yusuf Estes
SHEIKH YUSUF ESTES.

ZUARIDA MOHYIN
SHEIKH Yusuf Estes ialah seorang cendekiawan terkenal yang tidak pernah
jemu mengembangkan syiar Islam ke seantero dunia serta mengedarkan
bahan-bahan ceramah dalam pelbagai medium kepada umat manusia.
Ikuti autobiografi penghijrahan akidah beliau dari seorang pengkhutbah
Kristian kepada pendakwah Muslim yang aktif dan disegani.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama
Kristian di Midwest, Amerika Syarikat. Hakikatnya, nenek moyang kami
bukan sahaja membina gereja-gereja dan sekolah-sekolah sepanjang tanah
ini tetapi keturunan kami juga merupakan orang yang paling awal datang ke
situ.
Semasa di sekolah rendah, kami sekeluarga ditempatkan semula di Houston,
Texas pada 1949. Kami selalu menghadiri gereja dan saya telah dibaptiskan
pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas.
Pada zaman remaja, saya teringin melawat ke gereja-gereja lain untuk
mempelajari Baptist, Methodist, Episcopalian, Charismatic movement,
Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God ini Christ, Full
Gospel, Agape, Chatolic, Presbyterian dan banyak lagi.
Namun, pengkajian saya tidak terhenti kepada agama Kristian. Agama
Hindu, Yahudi, Buddha, Metaphysics dan kepercayaan tradisi orang Amerika
turut saya selidiki. Sayangnya agama Islam tidak menjadi pilihan.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan perbezaan jenis muzik terutamanya
Gospel dan Klasikal. Memandangkan keluarga saya ramai yang kuat agamanya
dan muzikal, ia secara tidak langsung menjadikan dua bidang ini sebagai
pengajian permulaan. Semua ini membawa saya kepada jawatan Paderi Muzik
di beberapa gereja di mana saya menjadi ahli gabungan selama lebih
setahun. Saya mula mengajar keyboard pada 1960 dan sehingga 1963, saya
berjaya memiliki studio sendiri di Laurel, Maryland yang diberi nama
Estes Music Studios.
Sepanjang 30 tahun, saya dan bapa banyak bekerjasama mengendalikan
pelbagai program hiburan. Kami juga membuka kedai piano dan organ di
Texas, Oklahoma hingga ke Florida. Meskipun memperoleh kekayaan namun
sukar temui ketenangan fikiran.
Persoalan seperti; "Mengapa kita diciptakan Tuhan?", "Apakah yang Tuhan
mahu kita lakukan?", "Siapa Tuhan sebenarnya?" dan "Kenapa kita percaya
dengan dosa sebenar?" sering menghantui diri. Namun semua persoalan ini
dibidas keras malah menyuruh anda menerima tanpa mempersoalkannya atau
itulah 'misteri' dan anda tidak perlu mempersoalkan hal itu.
Suatu hari tahun 1991, saya terkejut apabila diberitahu bahawa orang
Islam mempercayai kitab Bible. Malah lebih memeranjatkan, mereka juga
mempercayai bahawa Nabi Isa itu utusan Allah, Rasul, dilahirkan luar
biasa tanpa berbapa, Nabi Isa akan kembali pada akhir zaman. Memang ia
sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi fikiran saya tentang Islam
agak negatif.
Ayah saya sangat aktif menyokong kerja-kerja gereja, terutamanya dalam
program sekolah sehingga beliau ditahbiskan (dipersucikan) pada 1970. Dia
dan ibu tiri saya mengenali ramai mubaligh Kristian dan pendakwah sehingga
pernah membantu pembinaan "Prayer Tower" di Tulsa, Oklahoma. Mereka berdua
juga terlibat mengedarkan kaset-kaset ceramah di rumah-rumah orang tua,
hospital dan rumah pesara.
Namun pada 1991, ayah mula berurusniaga dengan seorang lelaki dari Mesir
dan menyuruh saya menemui lelaki beragama Islam itu. Pada awalnya saya
agak keberatan apa lagi mengetahui bahawa mereka adalah pengganas,
perampas, penculik dan pengebom. Bukan itu sahaja, mereka juga bukannya
mempercayai Tuhan, yang mereka tahu hanya mencium tanah lima kali sehari
dan menyembah kotak hitam di tengah padang pasir.
Tidak! saya tidak akan berjumpa dengannya. Berkali-kali juga ayah
mendesak dengan mengatakan dia seorang yang baik. Kerana tidak tahan
dengan permintaannya, akhirnya saya bersetuju dengan syarat; pada hari
Ahad, selepas ke gereja, membawa kitab Bible, seutas salib dan memakai
kep yang tertulis 'Nabi Isa adalah Raja'. Isteri dan dua anak perempuan
saya ikut serta dalam pertemuan itu.
Saya terkejut kerana saya menantikan seorang yang bertubuh sasa dengan
jubah, serban, berjanggut paras dada dan bulu kening bercantum di dahi.
Tetapi lelaki ini jauh berbeza, tiada janggut dan kepalanya hampir botak.
Yang pasti, orangnya menyenangkan dan mesra. Semua ini jauh daripada
sangkaan awal saya. Pun begitu, matlamat saya pada masa itu hanya satu
iaitu, 'menyelamatkannya'.
Ketuhanan
Saya banyak bertanyakan soalan kepadanya, terutamanya yang berkaitan
dengan ketuhanan dan perihal nabi-nabi. Dia banyak mengiyakan. Kami
semakin rancak berbual dan semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Saya
dapat rasakan yang dia seorang yang baik, pendiam dan sedikit pemalu.
Banyak topik yang kami bualkan acap kali bertemu dan ada ketikanya saya
cuba selitkan beberapa mesej tentang agama kami.
Pada suatu hari saya dapat tahu bahawa teman Islam saya, Mohamed
terpaksa berpindah dan tinggal sementara waktu di masjid. Kami bersetuju
menumpangkan Mohamed di rumah besar kami.
Pengenalan pendek dengan seorang lelaki yang mengakui paderi Kristian
yang telah melakukan kerja-kerja mubaligh untuk gereja lebih 12 tahun di
selatan dan tengah Amerika Syarikat dan Mexico serta di New York
membawanya tinggal bersama kami dan Mohamed. Kami berbual tentang konsep
kepercayaan dalam agama Islam.
Mengejutkan saya apabila diberitahu bahawa setiap paderi Katolik, mereka
belajar agama Islam dan ada di antaranya yang memiliki doktor falsafah
dalam subjek itu. Ini satu yang baru bagi saya.
Semenjak itu kami sentiasa berbincang tentang agama masing-masing. Kami
pernah bertanyakan perubahan versi kitab masing-masing. Pernah sekali
saya bertanyakan kepada Mohamed sejak 1,400 tahun sudah ada berapa versi
al-Quran. Pendek jawapannya hanya ada satu iaitu al-Quran malah ia telah
dihafal oleh jutaan manusia. Bagi saya ini sesuatu yang mustahil.
Bagaimana kitab saya boleh berubah-ubah sedangkan al-Quran tetap
terpelihara.
Pada suatu hari teman paderi saya bertanyakan Mohamed keinginannya untuk
mengikutnya ke masjid untuk mengetahui keadaan di sana. Sekembalinya
mereka, saya bertanya kepada paderi itu apa yang dilakukan oleh orang
Islam? Dia memberitahu, tidak ada apa yang dilakukan hanya sembahyang dan
pulang. Pelik, tidak ada ceramah ataupun nyanyian.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi paderi itu mahu mengikut Mohamed ke
masjid. Kali ini mereka pergi agak lama sehingga hari sudah gelap. Bila
pulang saya dapati, Peter (paderi) sudah melakukan syahadah. Saya
terkejut dan semalaman memikirkan hal itu, lalu menceritakan kepada
isteri. Tambah mengejutkan, apabila isteri saya juga menyuarakan
hasratnya untuk bergelar Muslim kerana mengakui kebenaran Islam.
Saya terus memanggil Mohamed dan kami berbincang sepanjang malam
sehingga masuk waktu solat Subuh, Mohamad meminta izin untuk melaksanakan
kewajipannya. Pada detik itu, saya menyedari erti kebenaran dan sudah tiba
masanya untuk saya membuat pilihan yang bakal menyelamatkan saya sama ada
di dunia mahupun akhirat.
Saya ke belakang rumah, ambil sekeping papan lapis dan di situlah saya
sujud mengadap kiblat. Saya meminta, kepada-Nya petunjuk dan bimbingan.
Selepas dari itu, saya benar-benar dapat merasakan perubahan di dalam
diri. Saya terus naik ke atas dan mandi dengan harapan ia akan
membersihkan dosa-dosa. Saya kini seorang yang baru dan berazam membina
kehidupan atas dasar kebenaran.
Pukul 11 pagi hari itu, saya mengucap syahadah bersama dua saksi iaitu
sebelum ini Father Peter Jacob dan Mohamed Abel Rehman. Kemudian diikuti
isteri dan beberapa bulan selepas itu, bapa pula melafazkan syahadah.
Anak-anak saya dipindahkan dari sekolah Kristian kepada sekolah Muslim.
Sepuluh tahun kemudian mereka berjaya menghafal al-Quran. Akhir sekali,
ibu tiri saya pula mengakui kebenaran Islam."


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: