Saturday, September 15, 2007

Projek paip minyak memangsakan petani Mada

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mon | May 21, 07 | 05:47:15 PM

TERAS mengambil perhatian serius rancangan kerajaan membenarkan projek
pembinaan paip minyak , industri petrokimia dan industri sokongan yang
melibatkan pengambilan 3,200 hektar tanah petani MADA di daerah Yan
seperti yang diumumkan dalam media baru-baru ini.

Projek yang dikatakan menelan kos keseluruhan sebesar RM50 bilion itu akan
mengakibatkan petani MADA di kawasan tersebut hilang tanah sawah mereka
sekaligus terpaksa berpindah keluar dari kawasan itu untuk memberi laluan
kepada projek berkenaan.


Bukan sahaja hakmilik tanah mereka akan terlepas, malah mereka akan
kehilangan kampung halaman serta pekerjaan mengusahakan bendang yang
sudah dilakukan sejak berpuluh tahun lagi.


Bagi TERAS ini adalah suatu keputusan yang samasekali tidak mengambilkira
kesan jangkapanjang kedudukan petani MADA di kawasan yang dikenali antara
tanah sawah paling subur dalam negeri Kedah.


Bukan sahaja projek ini benar-benar merupakan suatu keputusan yang dibuat
tanpa mengumpul maklumbalas dan pandangan pemilik tanah yang terlibat ,
malah ia hanya mengambilkira kehendak pemaju yang akan mengaut keuntungan
besar atas alasan masyarakat sekitar akan mendapat manfaat dari limpahan
ekonomi yang kononnya akan berlaku.


Padahal impahan ekonomi dalam bentuk tawaran pekerjaan tidak semestinya
berlaku seperti yang sering didakwa dibanyak kawasan pembangunan.


TERAS mempersoalkan rasional projek ini kerana pengambilan tanah disitu
melibatkan hampir 100% kependudukkan dan perkampungan orang Melayu.


Apatahlagi tanah tersebut adalah termasuk Tanah Rizab Melayu. Dengan
hanya jaminan pihak kerajaan Kedah yang mengatakan akan mengganti tanah
tersebut seperti yang dikehendakki dalam Perlembagaan Persekutuan , namun
persoalannya ialah hak milik individu orang Melayu terhadap Tanah Rizab
Melayu akan berkurangan .


Dengan mengeluarkan 1500 penduduk dari kawasan itu termasuk 2 buah Masjid
, sebuah Sekolah Kebangsaan dan dua buah tanah perkuburan , projek ini
akan merosakkan seluruh landskap kawasan tersebut.


Bagi TERAS ini adalah sebuah pemangsaan petani akibat dipaksa memberi
laluan kepada projek yang hanya akan menyisih mereka dari tempat kediaman
mereka yang asal.


TERAS menegaskan pembangunan seperti ini yang selalunya menjejaskan
kependudukan dan penempatan orang Melayu , tidak seharusnya dilaksanakan
kerana sudah terlalu banyak penempatan orang Melayu diambil hanya atas
nama pembangunan seperti pembinaan lebuhraya , perumahan serta zon
industri dan pusat perniagaan.


TERAS juga menegaskan bahawa tanah pertanian yang diusahakan oleh petani
Melayu selalunya menjadi mangsa setiap kali pembangunan hendak
dilaksanakan sedangkan yang benar-benar akan mengaut keuntungan dari
pengambilan tanah dan membangunkan kawasan tersebut adalah segelintir
ahli korporat dan mereka yang berkepentingan sahaja.


Di Kedah , ini dapat dilihat sangat ketara di bandar Alor Setar , Kulim ,
Sungai Petani , Langkawi dan Jitra.


Apabila kawasan orang Melayu diambil , orang Melayu akhirnya hanya
menjadi kuli dan pekerja peringkat rendah dalam projek-projek berkenaan
dan mereka terpaksa menampung kos hidup dengan menjadi penjaja dan
membuka warong kecil di kawasan yang asalnya adalah tanah pertanian
tempat mereka menyara hidup sebelum ini.


TERAS mendapati banyak kawasan penempatan tradisional perkampungan orang
Melayu di bandar-bandar utama di negeri Kedah yang telah diambil ,
akhirnya tidak menguntungkan orang Melayu baik dari segi ekonomi, sosial
mahupun politik.


Malah kebanyakan mereka yang telah kehilangan tanah dan kampung halaman
serta tanah pertanian akibat diambil oleh kerajaan atas nama pembangunan
bagi pihak pemaju , kini terpaksa melalui kehidupan yang tidak selesa
bukan sahaja dari segi alam persekitaran malah juga dari segi
sosial-ekonomi.


TERAS berpendapat projek penapis minyak dan paip minyak di Yan ini akan
memberi implikasi negatif yang besar kepada sosio-ekonomi-politik orang
Melayu dalam jangkamasa panjang.


Dari segi sosial orang Melayu akan terpaksa keluar mencari tempat lain
dari kampung asal dan hidup dalam persekitaran yang secara sosial tidak
tentu kondusif.


Dari segi ekonomi pendapatan berdasarkan usha di atas tanah milik sendiri
jauh lebih baik dari menjadi pekerja dibawah arahan orang lain. Pekerjaan
dalam sektor yang dikawal oleh orang lain belum tentu menjaminkan masa
depan diri dan generasi masa depan.


Dari segi politik , pemindahan orang Melayu dari kawasan majoriti orang
Melayu kepada kawasan yang tidak tentu kedudukannya adalah amat merugikan
kerana dalam masa jangka panjang kuasa undi orang Melayu akan
berselerakkan.


TERAS juga mempersoalkan daya maju projek ini sedangkan kajian Penilaian
Impak Alam Sekitar dan Impak Sosial maseh belum dilaksanakan. Sehingga
ini pihak masyarakat awam maseh belum mendapat maklumat terperinci
mengenai status projek ini selain hanya dari pengumuman di media oleh
pemimpin-pemimpin kerajaan semata-mata.


TERAS juga kesal pihak kerajaan tidak memberi ruang untuk masyarakat awam
memberi maklumbalas terhadap projek ini.Padahal aspek kesan sosial ,
ekonomi , kesihatan , alam sekitar dan politik dari projek ini sangat
besar.


Keghairahan pihak kerajaan untuk memastikan pelabur asing akan mendapat
layanan mengikut apa yang mereka mahu dalam projek ini adalah suatu
pendirian yang sangat lemah. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri kewangan
Datuk Dr. Awang Adek , bahawa kerajaan negeri harus hanya tunduk kepada
kehendak pelabur asing agar memastikan pelaburan asing jangan menarik
diri adalah kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab terhadap
kepentingan dan kedaulatan negara.


TERAS berpendapatan adalah menjadi hak kerajaan negeri berdasarkan
kepentingannya untuk menentukkan syaratnya sendiri terhadap apa sahaja
pelaburan yang hendak dibawa masuk. Pendirian kerajaan Kelantan supaya
paip itu ( jika projek ini diteruskan ) hendaklah berakhir di Tumpat
adalah hak negeri itu. Soalnya kenapakah pihak pemaju tidak merujuk
kepada kerajaan negeri berkenaan ketika merencana saluran paip yang
hendak dibina?


Walau apapun TERAS menegaskan bahawa kami membantah projek ini yang
mengambil tanah sawah yang sedemikian luas sehingga mengakibatkan orang
Melayu terjejas penempatannya nanti.


TERAS juga berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu menimbangkan
pengalaman yang dilalui oleh banyak negara yang mendedahkan rakyatnya
kepada bahaya yang tinggi terhadap kesihatan dan alam sekitar.


Pengalaman kebocoran kilang petrokimia di India dengan tragedi Bophyl dan
Russia dengan tragedi Chenobyl yang mengakibatkan ribuan terbunuh perlu
diambilkira.


Kini sudah banyak kritikan terhadap kesan alam sekitar dan kesihatan
penduduk dari kilang penapis minyak dan petrokimia telah direkod di
seluruh dunia.


Dalam rekod Oil Watch Network melaporkan pencemaran yang dibuktikan
secara saintifik terjadi kepada air , tanah dan udara dari kilang penapis
minyak dan petrokimia boleh memberi kesan peningkatan kes leukimia , barah
, kerosakan saraf , kesan kepada janin bagi ibu yang mengandung serta
pencemaran darah manusia adalah sangat serius.


Soalnya adakah pihak pemaju dan kerajaan akan mengambilkira kesan ini dan
sejauhmana jaminan dapat diberi kepada rakyat agar insiden tidak diingini
seperti pengalaman negara luar tidak berlaku di kawasan yang dirancang
pembangunan projek tersebut.


TERAS mengesa supaya projek ini dikaji semula , pendapat dan pandangan
balas rakyat diambil kira , dan maklumat dari pelbagai pihak NGO dan
agensi kerajaan mengenai implikasi projek ini kepada alam sekitar dan
kesihatan manusia benar-benar diteliti.Kami juga mengesa kerajaan perlu
bersikap telus terhadap seluruh projek ini dan jangan hanya memmentingkan
syarikat pemaju yang hanya mahu mengaut keuntungan .


Presiden,
TERAS Pengupayaan Melayu.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: