Saturday, September 15, 2007

Gerakan sudah melampau dan biadap

Apr 02, 07 | 05:17:24 PM

IPOH, 2 April (Hrkh) – Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Haji Asmuni
Awi menyifatkan kenyataan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dato' Dr
Tan Kee Kwong, yang meminta Mufti Perak, Dato' Seri Haji Harussaini
Zakaria, dipecat sebagai perbuatan yang melampau dan biadap.

"Apa haknya untuk meminta Mufti Perak itu dipecat, ia tidak ada kena
mengena dengan Gerakan atau orang bukan Islam."


"Kedudukan Mufti adalah jawatan yang tertinggi dalam Islam, mereka
merupakan orang yang paling dihormati kerana keilmuannya dan orang yang
paling berkelayakan untuk membuat fatwa," tegasnya.


Menurutnya, Gerakan tidak sewajarnya cuba menyentuh dan `menghina' dan
`merendah-rendahkan kedudukannya, kerana itu Gerakan tidak sepatutnya
meminta Mufti Perak dipecat.


"Kuasa melantik atau `memberhentikan' mufti terletak di bawah kuasa Sultan
Perak, kerana itu Gerakan Wilayah Persekutuan tidak wajar mencampuri hak
dan kuasa Sultan selaku Ketua Agama Negeri."


"Kenyataan itu boleh ditafsir sebagai `menghina' Sultan dan mencampuri hal
ehwal agama Islam, Gerakan jangan cuba `bermain api' , isu ini teramat
sensitif," tegasnya lagi.


Sehubungan itu beliau mahu Gerakan menarik balik usul berkenaan yang telah
diluluskan pada Konvensyen Parti Gerakan Wilayah Persekutuan dan memberi
amaran kepada Gerakan jangan sesekali cuba menyentuh istitusi agama
Islam.


Lagipun, katanya, Mufti Perak tidak bersalah dalam hal ini, bukan beliau
yang menghantar SMS berhubung isu Dato' Azhar Mansor yang dikatakan
`telah keluar dari Islam' dan akan bertindak mengkristiankan beberapa
orang pelajar Melayu di negeri ini.


"Isu itu telah selesai bila Mufti Perak memperjelaskannya kepada pihak
keselamatan dan Sultan Perak, kenapa pula ianya diungkitkan lagi,"
katanya.


Beliau mengingat Gerakan Wilayah Persekutuan itu, agar lebih berhati-hati
dalam mengeluarkan kenyataan supaya ia tidak menyentuh isu agama.


Menurut beliau lagi, apa yang ditimbulkan oleh Gerakan itu, mengenai
perlunya sebuah Mahkamah Khas ditubuhkan bagi membicara orang bukan
Islam, ianya tidak perlu kerana Mahkamah Syariah sudah ada.


"Orang bukan Islam jangan salah anggap, Mahkamah Syariah tidak perlu
bertindak `berat sebelah' Mahkamah Syariah adil pada semua, kerana itu
apa perlunya Mahkamah Khas?" tanya beliau.


Beliau meminta bukan Islam jangan `prejudis' terhadap Mahkamah Syariah,
mana-mana orang Islam yang reda dan bersetuju untuk dibicara melalui
Mahkamah Syariah tidak ada masalah, mereka akan dibicarakan dengan adil
tanpa prejudis. - mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: