Saturday, September 15, 2007

Gesa pecat Mufti Perak - Gerakan makin biadap dan keterlaluan

Apr 02, 07 | 02:53:01 PM
KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Gesaan Parti Gerakan agar Mufti Perak,
Dato' Seri Harussani Zakaria dipecat kerana kononnya terbabit dalam
penyebaran SMS berhubung isu murtad membabitkan pelayar solo kelahiran
Perlis, Dato' Azhar Mansor beberapa bulan lalu dianggap keterlaluan dan
biadap.

Pengerusi Teras Pengupayaaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam
satu kenyataan akhbarnya membantah keras resolusi Gerakan Wilayah
Persekutuan itu dan menganggap parti komponen BN tersebut cuba bermain
dengan sentimen agama yang sangat berbahaya.


"Usul supaya Mufti Perak dipecat bukan sahaja biadap malah mencabar kuasa
Raja yang melantik Mufti," tegas beliau.


Azmi turut mempertikaikan hak parti Gerakan untuk campur tangan dalam
urusan agama Islam dan menyifatkan parti tersebut sebagai tidak
menghormati sensitiviti umat Islam dengan cuba mengungkit perkara yang
telah pun ditangani pihak berkuasa.


Resolusi berhubung gesaan agar Mufti Perak dipecat itu dicapai dalam
Konvensyen Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, 1 April lalu dan disiarkan
oleh akhbar The Star, bertarikh 2 April.


"Bagi TERAS ini bukan kali pertama Parti Gerakan membuat kenyataan
seperti ini kerana Presidennya pernah membuat kenyataan supaya pendidikan
agama Islam tidak diajar di sekolah."


"Dengan yang demikian jelas Parti Gerakan mempunyai pendirian yang
negatif terhadap kedudukan institusi Islam dan program Islam yang menjadi
salah satu tumpuan utama kerajaan," kata Azmi.


Menurutnya lagi, usul Gerakan itu juga benar-benar mencabar kedudukan
kuasa institusi agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang terletak
di bawah kuasa negeri dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu.


Sehubungan itu, TERAS ujar beliau mendesak Gerakan menarik balik usul
tersebut dan memohon maaf kepada Sultan Perak.


"Bagi TERAS isu yang ditimbulkan sudahpun diselesaikan dengan penjelasan
yang telah dibuat oleh Mufti Perak kepada Sultan dan pihak keselamatan.
Oleh itu kenapa pihak Parti Gerakan mahu membangkitkannya lagi?"


"TERAS mengingatkan Parti Gerakan bahawa dengan terus membangkitkan isu
agama Islam yang jelas kedudukannya dan telah terang peruntukan kuasa
agensi-agensinya di negara ini, akan menimbulkan ketegangan yang
merbahaya kepada keamanan dan kehormanian di kalangan masyarakat," jelas
beliau.


Azmi juga melahirkan rasa hairan kerana di saat Setiausaha Agung Gerakan,
Chia Kwang Chye mahu semua pihak saling memahami bila mengendalikan isu
agama, usul memecat Mufti Perak ditimbulkan oleh Gerakan Wilayah
Persekutuan.


Sehubungan itu, TERAS mengesa Perdana Menteri selaku Pengerusi BN
mengambil tindakan tegas terhadap anggota partinya yang menimbulkan isu
mencabar kuasa Raja -raja.


"Membiarkan usul ini diketengahkan akan memberi mesej yang merbahaya
kepada masyarakat dan menimbulkan ketegangan yang tidak perlu," tegas
Azmi.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: