Sunday, September 30, 2007

MPP IPT dibubar, siswa ditampar!

MPP IPT dibubar, siswa ditampar!
Sep 24, 07 | 12:41:30 pm MYT

Semboyan Pillihan Raya Kampus (PRK) telah berbunyi pada hari ini
menandakan 'peperangan' akan meletus.

Hari ini secara rasminya semua kabinet Majlis Perwakilan Pelajar
Institusi Pengajian Tinggi Awam telah dibubarkan sebagaimana yang telah
diumumkan oleh Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor dan Sekretariat Timbalan
Naib Canselor, Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia yang memutuskan
bahawa tarikh pembubaran MPP sesi lepas, 2006/2007 mula berkuatkuasa
pada 24 September, hari ini.


Namun, permulaan kepada PRK 2007 ini dipenuhi dengan pelbagai insiden
yang mencemari keharmonian menara gading, tempat menuntut ilmu dan
menimba pengalaman berharga.


Insiden terbaru yang memalukan Universiti Malaya(UM) apabila Pengetua
Kolej Kediaman Ketiga UM telah bertindak menampar seorang pelajar tahun
ketiga Akademi Pengajian Islam UM, Wan Mohd Afifi Wan Zainuddin.


Kejadian berlaku pada 21 September lalu di Kolej Kediaman Ketiga apabila
seorang ahli Pro-Mahasiswa mengambil gambar Pengetua berkenaan ketika
beliau sedang menyoal siasat beberapa siswi lain yang dituduh menceroboh
kolej berkenaan.


Kesemua siswi tersebut didakwa mengedar risalah haram, walaupun ia
dinafikan mereka. Bengang apabila gambarnya dirakam, pengetua tersebut
bingkas bangun untuk merampas kamera tersebut. Namun, Wan Afifi bertindak
pantas menghalang hasrat pengetua tersebut.


"Situasi terus menjadi tegang apabila kemarahan Pengetua yang juga
merupakan tenaga pengajar UM ini memuncak hanya kerana gambarnya
dirakamkan, kemudian bertindak mencekik kolar baju seterusnya menampar
muka saya" jelas Afifi kepada sumber


"Saya tidak menyangka sama sekali seorang yang berpendidikan tinggi
sanggup bertindak sedemikian terhadap saya, yang hanya seorang penuntut,"
ujarnya lagi.


Sebelum ini, berlaku pelbagai insiden di UM, termasuk beberapa siswa
diugut, dibuang kolej, dikasari serta dirampas barang-barang peribadi,
komputer riba dan kamera.


Menurut sumber, kejadian memalukan ini menunjukkan bahawa pengetua kolej
kediaman terlibat dalam taktik kotor pilihan raya dan mereka juga takut
berhadapan dengan mahasiswa yang berani menuntut keadilan bagi
mengembalikan PRK yang bersih dan adil. - mns

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: