Saturday, October 06, 2007

Tiada siapa peduli penderitaan mereka

Oct 05, 07

Setelah dihalau daripada tanah yang telah didiami semenjak 40 tahun lalu,
mereka sekali lagi dengan semangat yang kental membina semula kehidupan
atas teduhan puing-puing yang berselerakan.

Biarpun pernah dipukul, ditendang dan dihambat dengan kayu mereka tetap di
situ.Apa musibah dan dosa mereka diperlakukan seperti warga yang merempat
dibumi sendiri sehingga menyayat hati, hidup lebih terhimpit daripada
penghuni kota ataupun desa.

Tragedi tahun lalu membuktikan titis darah dan air mata mereka sekalipun
tak mampu melunakkan hati ganas penguasa yang merempuh kediaman mereka
yang diisytihar haram di bumi sendiri oleh Kerajaan Negeri Selangor atas
nama pembangunan dan demi menjayakan kempen 'sifar setinggan' yang
dilaungkan Menteri Besarnya Dato' Seri Khir Toyo.


Ramadan dan Syawal bagi mereka, tiada yang istimewa lantaran kedaifan dan
kesulitan yang dilalui tidak memungkin mereka menjalani ibadah dan
meraikannya sama seperti orang lain.


Hati siapa tidak sayu dan pilu, bila kediaman mereka tidak serupa 'orang'
malah lebih pilu melihat keletah kanak-kanak yang tidak mengerti dan
memahami kenapa mereka dibesarkan dalam suasana begini. Biarpun dalam
keadaan comot, lusuh dan tidak selesa, namun sempat mencebis gelak ketawa
buat pengubat duka.


Mengenangkan keadaan mereka yang daif lagi menghibakan, jauh sekali
bernasib baik seperti insan lain lalu pada Hari ke -16 berpuasa,Harakah
mencebiskan sisipan sumbangan yang tidak seberapa sebagai tanda ihsan,
belas kasihan dan meringankan beban penduduk setinggan yang dilayan
seperti kaum pendatang di negara ini.


Berembang yang teguh dan kental jiwa mereka
Dipimpin oleh Ketua Pengarang Kumpulan Harakah Ahmad Lutfi Othman
bersama-sama tiga wartawan menjejaki semula mereka di Kampung Berembang,
Ampang Selangor untuk menyampai sumbangan keperluan asas seperti beras,
susu tin, bihun kering dan gula kepada kira-kira 20 buah keluarga yang
masih tinggal di situ.


Tidak dilupakan, Syawal yang bakal menjelma yang pasti dinantikan oleh
kanak-kanak, Harakah turut menyumbangkan RM10.00 setiap seorang kepada
mereka. Biarpun terik mentari memancar dan dalam keadaan sedikit
keletihan namun kanak-kanak ini kelihatan begitu riang gembira tahkala
mendapat duit raya daripada Lutfi.


Sebelum itu, Lutfi menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000
kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Berembang Noralizan Ali
untuk digunakan sewaktu aktiviti sempena Ramadan seperti menyiapkan
juadah berbuka secara bergotong-royong dan disalurkan ke Surau Berembang
yang baru sahaja dibina setelah dirobohkan penguasa 20 November tahun
lalu.


"Dengan kekuatan 123 orang penduduk dan 38 kanak-kanak kami membina semula
surau ini dalam masa sembilan hari kerana mahu menyambut dan menjalani
ibadah Ramadan sama seperti orang lain," kata Noralizan penuh
bersemangat, sambil mengucapkan terima kasih atas sumbangan Harakah dan
merasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Harakah terhadap
nasib yang menimpa mereka selama ini.

Perjalanan Harakah menyelami derita golongan susah dan daif tidak berakhir
di situ, kemudian pada sebelah senja menghampiri waktu berbuka,
menyelusuri pula keluarga malang di Kampung Batu Lapan, Hulu Kelang.


Namun sebelum itu, Harakah singgah sebentar di Kampung Baru untuk melihat
kelibat Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar dan anak-anak buahnya
sedang mengedarkan risalah 'Buletin Merdeka - Negara Dalam bahaya,
Selamatkan Malaysia' kepada orang ramai di pasar juadah Ramadan Kampung
Baru, Kuala Lumpur.


Tujuannya supaya rakyat jelas dengan kedudukan negara yang semakin pincang
dari segi pengurusan harta dan wang rakyat yang dibazirkan oleh Kerajaan
Barisan Nasional (BN) selama ini demi keuntungan peribadi sehingga rakyat
dihidup susah di negara sendiri.


Setelah melihat ragam anak muda dan warga kota bersiap sedia menunggu
waktu berbuka puasa dan berpusu-pusu membeli juadah berbuka, Harakah
meluncur laju, untuk menyaksi dan merakamkan derita penduduk setinggan
yang berbuka puasa dengan jamuan ala kadarnya di Kampung Batu Lapan, Hulu
Kelang.


Rumah mereka hancur dan tersungkur digasak jentolak penguasa yang berhati
hitam dan kini hidup bergelumang lumpur,dengan keadaan kotor dan becak,
tilam yang lusuh serta berdebu, pinggan-mangkuk tidak bersusun, pakaian
yang berselerak laksana timbunan sampah.

Tahkala malam, tidur mereka kesejukan di bawah khemah tanpa sebarang
dinding penghalang. Walaupun dinyalakan unggun api namun serangan nyamuk
dan lalat tidak mudah ditepis begitu saja.


"Makcik dah tahan tinggal di sini. Tapi apa boleh buat, tak ada siapa nak
bela nasib kami ni, dan masuk yang ini, sudah dua kali Ramadan dan
nampaknya Raya pun dalam keadaan macam ni... " kata Sariyah Agus, 61
bergenangan air mata ketika ditemui di dalam khemah.


Sampai mati pun kami di sini
"Nak pindah mana? Sudah 42 tahun makcik menetap di sini,rasanya sampai
mati pun di sini" katanya dan merasa tersentuh dengan Harakah yang sudi
'menjenguk' dan singgah berbuka puasa bersama mereka.


Di kala penghuni kota sedang berpusus-pusu ghairah membeli juadah berbuka
dengan aneka macam selera dan air berwarna, penghuni khemah ini pula
menyiapkan hidangan ala kadar sebagai alas perut menahan kelaparan.


Di samping berbuka bersama, Harakah turut menyumbangkan barangan keperluan
dapur termasuk wang tunai sejumlah RM450 kepada kaum keluarga yang tinggal
di sekitar itu termasuk menyampaikan duit raya berjumlah RM170.00 kepada
17 kanak-kanak yang masih mendiami khemah-khemah di situ.


"Terima kasihlah sudi menyumbang,bagi kami ini cukup besar maknanya," kata
anaknya pula Noraishah Jasmin 34 turut merasa sedih melihat kehidupan masa
depan anak-anaknya seramai lima orang yang makin kabur dan bertambah suram
lagi tahkala Harakah pulang lalu meninggalkan mereka, membiarkan membilang
hari-hari mendatang dengan rasa membungkam perasaan.


Keesokannya pula, Sabtu 29 September lalu Harakah meneruskan
perjalannannya menyampaikan sumbangan ihsannya kepada keluraga mangsa
Akta Kejam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Felda Serting, Negeri
Sembilan.


Melangkahkan kaki ke Felda Serting 1 (kini Felda Raja Alias) di Bandar
Baru Jempol menjejaki isteri tahanan ISA, Halimah Ishak pada 29 September
lalu merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai yang dilalui krew
Harakah.


Bukan setakat ingin meyampaikan bantuan wang ringgit dan barangan makanan
kepada Halimah tetapi juga ingin melihat penderitaan yang ditanggung
isteri kepada tahanan ISA, Khaider Kadar ini sejak suaminya ditahan pada
tahun 2004.


Menjejaki keluarga tahanan ISA adalah satu peluang yang cukup bermakna
kepada penulis dalam menghayati penderitaan mangsa dan keluarga mereka.


Hilang kasih sayang ayah kerana kejamnya ISA
Perjalanan tiga jam krew Harakah ke Serting bagi menyampaikan bantuan
sempena Ramadhan dan Syawal kepada Halimah disambut Halimah dengan
senyuman dalam kesedihan.


Halimah menginap dengan lapan anaknya di sebuah kedai kecil yang disewanya
sejak 19 tahun lalu setelah beliau dan suami, Khader Khadran pindah ke
Serting kerana suaminya bekerja di sana.


Begitu pun, tarikh 11 Januari 2004 membibitkan noktah hitam kepada Halimah
dan Khaider yang terpaksa berhadapan dengan tindakan zalim kerajaan
pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Khaider ditahan di bawah ISA
dengan tuduhan terbabit dengan pertubuhan pengganas Jemaah Islamyiah
(JI).


Bagaikan petir menyambar tubuh, kesakitan, kesengsaraan dan kepayahan
terpaksa ditempuhi kerana penahanan tanpa bicara itu. Kata Halimah, polis
hanya mengambil beberapa buah kitab dan Sahih Bukhari milik suaminya
sebagai asas penahanan Khaider yang dituduh sebagai seorang pengganas.


Sejak suami ditahan pada 11 Januari 2004, Halimah terpaksa menggalas tugas
sebagai ibu dan ayah kepada lapan anaknya yang masih muda untuk mengenal
erti kesusahan.


Keadaan rumahnya pula agak dhaif dengan bumbung syiling yang sudah mula
bocor dan dengan hanya duduk di bahagian belakang kedai yang cukup
sempit.


Di situlah juga anak sulung Halimah, Abu Hurairah dan isterinya menginap
sama kerana Abu Hurairah terpaksa menolong ibunya bagi menjaga
adik-adiknya dan membantu dalam menjual air soya di kawasan tersebut.


Tujuh lagi anaknya, Mashitah, Siti Sarah, Adam, Jamilah, Siti Hajar,
Aishah dan Ismail turut merasai penderitaan yang dialami Halimah
setiadanya suami tercinta.


Berbekalkan sebuah van buruk yang sudah uzur peninggalan suaminya, Halimah
terpaksa juga memberanikan diri untuk memandu bagi menyelesaikan segala
urusan mendapatkan bahan untuk membuat air soya dan memasarkannya di
sekitar Serting.


Satu masa lalu, semua tugas-tugas itu digalas suaminya tanpa keluh kesah
dan Halimah hanya membantu di kedai sahaja.Setakat ini Halimah hanya
bergantung kepada pendapatan melalui penjualan air soya sahaja menggalas
tugas suami bagi menampung perbelanjaan lapan anaknya.


Empat dari lapan anaknya masih bersekolah di sekolah pondok Pasir Puteh di
Kelantan dan dua lagi belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di
Negeri Sembilan.


Menurut Halimah, pendapatan melalui penjualan air soya tidak seberapa
tidak seperti dahulu dan hanya cukup-cukup makan sahaja.


Menceritakan pengalaman beliau beraya dengan beberapa kali menziarahi
suami pada hari raya pertama di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) amat
memilukan.


Menurut Halimah, beliau terpaksa mengusung anak-anaknya yang masih kecil
seawal jam 6.00 pagi untuk ke Stesen Bas Bahau yang terletak kira-kira 35
kilometer dari rumahnya.


Belanja RM300 untuk lawat sehari suami di Kamunting
Perjalanan dari Bahau ke Kemta di Kamunting (Perak) memakan masa yang
panjang dan Halimah terpaksa menahan segala kepayahan itu demi melihat
wajah suami tercinta yang terpenjara kerana kezaliman pemerintah.


Perjalanan jauh terkadang membuatkan Halimah sudah mula hilang kesabaran
memikirkan penderitaan yang dilalui.Bukan sedikit belanja yang terpaksa
dikeluarkan bagi sekali lawatan, antara RM200 ke RM300 hanya untuk sampai
ke Kemta.


Untuk pulang dari Kemta ke Negeri Sembilan pula, Halimah perlu bergegas
untuk sampai di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bas ekspress Kuala
Lumpur-Bahau pada jam 9.00 malam.


Biasanya Halimah akan sampai pada jam 11.00 malam di rumahnya setelah awal
pagi lagi keluar dari rumah semata-mata untuk ke Kemta menziarahi Khaider.


Ada kalanya Halimah dipermainkan oleh pegawai-pegawai penjara dengan
pelbagai taktik semata-mata untuk melewat-lewatkan pertemuan dan
menghalang isteri bertemu tahanan.


Apa yang dapat diusahakan hanyalah berdoa kepada Allah yang maha Esa
supaya suaminya segera dibebaskan dari Kemta.Harapan itu masih ada,
tetapi Halimah tidak redha dengan kezaliman yang dilakukan kerajaan ke
atas suami dan keluarganya.


Lalu, Harakah mengajak pembaca semoga sudi menghulurkan bantuan dan
meringankan beban golongan gelandangan ini seperti si miskin, kurang
upaya, yang uzur, para penduduk setinggan yang menjadi mangsa
penguasa,anak-anak yang hilang kasih sayang kerana ayah mereka di tahan
akta kejam ISA dan anak-anak yatim serta ibu tunggal yang hilang tempat
berpayung. Di sebalik kemeriahan suasana Ramadan dan menjelang
Aidilfitri, marilah sama-sama menginsafi dan bersimpati...


Untuk itu jika ada pihak yang mahu menyumbangkan sumbangan wang ringgit
bagi meringankan penderitaan Halimah sekeluarga, bolehlah memasukkan wang
ke akaun Bank Pertanian Malaysia, Halimah Ishak (no akaun :
2-576-002164-2).


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: