Monday, October 01, 2007

12 persoalan besar di Batu Buruk belum terjawab

Episod kekecohan yang menyaksikan keganasan pihak polis di Batu Burok,
Kuala
Terengganu, 8 September telah berlalu hampir seminggu. Sebahagian besar
daripada 23 orang awam ditahan polis telah dibebaskan dan kembali
menjalani kehidupan seperti biasa.

Dua
mangsa tembakan �peluru hidup� polis yang masing-masing dirawat di
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan juga
dilaporkan beransur sembuh.


Namun insiden yang dianggap paling buruk di Terengganu sejak
dua dekad ini nampaknya tidak terhenti setakat penahanan, pendakwaan
mahu pun rawatan kepada yang mengalami kecederaan sahaja.

Ia turut menimbulkan persoalan dan perbahasan mengenai keselamatan,
integriti pasukan polis dan patriotisme rakyat. Isu ini menjadi isu
nasional.

Ia berkumandang lewat perbahasan dan usul di Dewan Rakyat. Ia juga
mengundang memorandum oleh Badan Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih
dan Adil (Bersih) kepada Ketua Polis Negara.

Di Kuala Terengganu sendiri, insiden itu masih menjadi buah
tutur masyarakat. Di kedai kopi, stesen minyak, pejabat, surau dan
masjid, mahu pun di dalam kenderaan awam, rakyat Terengganu masih
membicarakannya. Yang tahu serba sedikit menceritakan, yang tidak tahu
sangat berkeinginan mengetahui lebih lanjut.

Maklumat-maklumat yang dipaparkan menerusi laporan media massa,
terutama akhbar-akhbar arus perdana dan tv nampaknya tidak meyakinkan
masyarakat awam. Sebagai anggota masyarakat setempat, cakap-cakap dan
penyampaian oleh eyewitnesses (mereka yang menyaksikan sendiri)
nampaknya lebih diterima umum. Bagai diduga, kebanyakan cerita oleh
saksi kejadian tidak memihak kepada pihak berkuasa.

Apa yang nyata, semakin banyak maklumat didedahkan media
mengenai kejadian tersebut, dan semakin rancak serta meluas
perbincangan mengenainya berlaku di dalam masyarakat, maka semakin
banyak pula persoalan dan tandatanya timbul berkaitan fakta-fakta
sebenar kejadian malam itu.

Ia turut mengundang teori konspirasi serta implikasi politik hasil insiden
tersebut.


Banyak isu tinggal misteri


Untuk renungan dan bahan fikir bersama, berikut diperturunkan beberapa
persoalan dan tandatanya tersebut:


1. Kerosakan harta awam dianggarkan RM500 ribu oleh pihak Majlis
Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Exco Datuk Rosol Wahid pula dalam
kenyataan berasingan mendakwa nilai kerosakan itu mencecah RM1 juta
(biasa lah tu, pemimpin BN memang selalu melebih-lebih dalam hal
seumpama ini). Kerosakan itu didakwa dibuat �perusuh� yang dikaitkan
dengan para penyokong PAS yang hadir malam itu.

Anehnya, segala kerosakan yang berlaku seperti papantanda jalan, lampu
isyarat, pasu bunga dan lain-lain itu sebenarnya terletak di dalam zon
yang dikawal polis. Sepanjang kekecohan memuncak, tidak ada orang awam
dibenarkan memasuki kawasan jalan sepanjang 200 meter dari persimpangan
lampu isyarat merentasi depan Kediaman Seri Iman hingga ke stesen
minyak Esso di situ. Maka menjadi tanda tanya, siapa bertanggungjawab
memecah dan merosakkan harta awam itu?

2. Puluhan buah motosikal dan kereta dilaporkan mengalami kerosakan
teruk kesan pukulan benda tumpul (kayu atau batu). Gambar-gambar
sebahagian kenderaan yang rosak itu turut disiarkan akhbar. Antara
gambar itu menunjukkan lokasi motosikal yang rosak itu hanya beberapa
depa dari sepasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang
berkawal.

Apakah munasabah orang awam melakukannya dan dilihat sahaja oleh
anggota FRU? Lagi pun, kenderaan yang rosak itu adalah milik orang
awam, bukan milik anggota FRU atau polis. Sedangkan pertembungan malam
itu antara polis dan orang awam. Apakah munasabah orang awam merosakkan
kenderaan mereka sendiri? (Bunyinya macam tuduhan Datuk Seri Anwar
Ibrahim tumbuk muka dia sendiri dululah!)

3. Ada orang awam menceritakan telah melihat sekumpulan anggota polis
mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang (pasar utama di tengah bandar
Kuala Terengganu) beberapa hari sebelum kejadian. Mereka itu dikatakan
telah memborong kesemua �bidas� (lastik, orang Kedah sebut
�terbir�,
orang Putih kata �catapult�). Untuk apa lastik-lastik itu diborong
polis?

4. Insiden bakar bendera negara turut dipertikaikan. Gambar disiarkan
akhbar Berita Harian, 10 September menunjukkan seorang pemuda lengkap
bertopi keledar sedang membakarnya di tengah jalanraya yang agak
lengang. Berdasarkan gambar itu, dipercayai jurugambar yang merakamkan
insiden itu berada tidak jauh dari si pembakar itu.

Mungkin jurugambar tersebut adalah orang paling wajar disoalsiasat,
siapa sebenarnya pemuda itu? Apakah gambar tersiar itu satu-satunya
gambar dirakamnya ketika itu, atau ada lagi gambar-gambar lain yang
merakamkan imej lebih jelas mengenai pembakar bendera itu?

5. Lebih dipersoalkan banyak pihak, apakah pemuda itu sebahagian dari
kumpulan pemuda yang datang untuk mendengar ceramah PAS atau dari
kumpulan lain? Bajunya tidak menampakkan sebarang tanda basah atau
berpeluh, menunjukkan dia belum begitu lama di situ, tidak sebagaimana
yang lain.

6. Ada juga eyewitness mendakwa melihat seseorang dari dalam sebuah
kereta menghulurkan bendera negara yang menjadi bahan bakar itu kepada
pemuda tersebut dan menyuruhnya membakar. Jika benar begitu, bermakna
bendera itu bukan disentap di situ ketika kekecohan berlaku, tetapi
sengaja dibawa dari tempat lain oleh orang misteri yang berkereta itu.

7. Ada juga eyewitness menyaksikan kedatangan sekumpulan mat rempit
sejurus selepas keadaan agak reda. Mereka ini memang menjadikan laluan
yang terlibat dengan kekecohan itu sebagai track perlumbaan mereka
saban malam. Tidak payah diberitahu, mereka ini memang menyimpan dendam
dengan pasukan polis kerana sering mengganggu akvititi malam mereka.

Mereka ini dikatakan tumpang sekaki �mengamuk� dan melakukan kekacauan
sebagai melepas geram terhadap pasukan polis. Apakah mustahil mereka
ini turut terlibat membakar bendera, kon polis dan melakukan
kerosakan-kerosakan lain itu?

8. Keengganan pihak Polis Daerah Kuala Terengganu mengeluarkan permit
untuk perhimpunan malam itu turut dipertikaikan. Pertama, telah
beberapa kali lokasi sama dijadikan pentas ceramah melibatkan nama-nama
besar dalam pembangkang seperti Mohamad Sabu, Anwar dan Tuan Guru Abdul
Hadi Awang sendiri. Majlis-majlis tersebut berjalan lancar dan aman,
tiada kekacauan atau gangguan keselamatan, selagimana tiada kacau
ganggu pihak polis.

9. Pihak polis memberikan alasan tidak mengeluarkan permit ceramah
kononnya kawasan perumahan itu didiami golongan elit, pegawai kerajaan
dan orang ternama. Justeru sebarang majlis ceramah akan menghasilkan
gangguan bunyi kepada penghuni taman itu.

Juga dibangkitkan soal gangguan kepada para pelancong yang menginap di
chalet dan resort berdekatan. Sedangkan lokasi sama terletak hanya
beberapa ratus meter dari pentas utama Pantai Batu Buruk. Di situ saban
bulan (kekadang tu saban minggu), berbagai bentuk bunyi bising
dikumandangkan, tidak kira siang mahu pun malam. Mengapa tidak
ditimbulkan soal gangguan bunyi dari pesta hiburan itu?

10. Soal bantahan yang didakwa dari penduduk setempat juga tidak sukar
difahami. Mana ada orang Umno yang suka ceramah PAS diadakan berdekatan
rumah mereka? Jadi, jika diraikan setiap bantahan orang Umno, nescaya
tidak akan ada peluang bagi PAS untuk menganjurkan majlisnya di
kawasan-kawasan awam. Apakah polis tidak pernah mengeluarkan permit
untuk majlis Umno/BN jika dibantah penduduk setempat dari kalangan PAS?


11. Tindakan FRU melepaskan gas pemedih mata tanpa mengira tempat juga
amat dikesalkan. Ia dihalakan bukan sahaja ke arah orang ramai yang
cuba disuraikan, tetapi turut disasarkan ke arah kedai makan yang
sedang dipenuhi pelanggan. Kanak-kanak yang berada di dalam kedai itu,
termasuk anak-anak pemilik kedai, turut menerima kesan gas tersebut.

Apakah aspek keselamatan orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan
kekecohan itu tidak diambil kira terlebih dahulu oleh polis? Apakah
semata-mata atas alasan menyuraikan perhimpunan haram, polis dihalalkan
bertindak apa cara sahaja?

12, Tindakan seorang anggota polis melepaskan �peluru hidup� sehingga
mencederaparahkan dua orang awam sangat dipertikaikan. Anggota polis
itu mendakwa kononnya beliau diserang, lalu memaksanya melepaskan
tembakan demi mempertahankan diri.

Apa pun alasan dan dakwaan yang cuba dikemukakan, rakyat tidak dapat
menerima ia sebagai tindakbalas yang wajar. Lain lah kalau orang yang
didakwanya menyerangnya itu juga bersenjata. Apatah lagi diambilkira
sebab kenapa beliau �diserang� itu, ialah kerana orang ramai melihat
beliau cuba melakukan provokasi di tengah-tengah hadirin.


Setakat ini, persoalan dan tandatanya disebutkan tadi masih
menguasai perbualan umum dan sembang kedai kopi di Terengganu. Segala
persoalan itu pada hakikatnya lebih banyak memberikan kesan negatif
kepada parti pemerintah.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: