Tuesday, October 16, 2007

PESAN UNTUK AKTIVIS ISLAM - JANGAN LEKA DENGAN JAMUAN EID FITRI YANG BERLEBIHAN

Rencana
2 Syawal 1428H / 14 hb Oktober 2007


Berlalu sudah Ramadhan 1428H. Ia tidak berulang
melainkan Ramadhan 1429H pula.Apakah kita sudah siap
mengguna kekuatan yang telah diterap ketika bersiyam
untuk melancarkan perjuangan lebih ampuh , lebih
bertenaga dan lebih bertenaga ?.Sesungguhnya inilah
tanda aras yang memberi ukuran apakah kita telah
sukses atau kecundang dalam Ramadhan kali ini.

Kita perlu segera menegaskan syahadah dan beriltizam
dengannya seperti yang dilafazkan pada malam Syawal
sehingga solat Eid Fitri. Menutup Ramadhan dengan
penegasan ketauhidan adalah mengingatkan akan besarnya
makna dan amanah yang terbeban ke atas bahu kita untuk
menghadapi bulan selanjutnya.Sesungguhnya yang Maha
Agung dan yang Maha Besar adalah Allah S.W.T
semata-mata. Kita ulangi memuji dan menyatakan
kesucianNya pada setiap waktu. Kita menegaskan tiada
pengabdian kepada yang lain melain semata-mata kepada
Allah S.W.T dengan keikhlasan yang setulusnya dalam
berpegang kepada Dinullah.Walaupun dimusuhi dan
dibenci atau ditentang golongan kafirin , munafiqin
maupun mushrikin. Lalu dengan kesatuan dan pertolongan
Allah kita menghadapi tentera musuh Allah dengan penuh
azam dan sikap tegas tanpa kompromi.

Berbekalkan semboyan ini kita memasukki ujian yang
bakal lebih getir kerana bulan berikutnya adalah ujian
dari gabungan seluruh musuh Allah bergabung dan
bermakar tanpa henti.

Sementara kehangatan sambutan Eid akan terus terasa
dengan acara-acara jamuan dan tidak kurang juga
hiburan yang berlanjutan , kami khuatir maksud sebenar
kita melafazkan takbir Syawal ini akhirnya turut
pudar. Maka akibatnya kita akan berlumuran kelekaan
dan kealpaan sepanjang 11 bulan seterusnya. Acara
jamuan demi jamuan hari raya jangan melupakan kita
bahawa masa berjalan dengan pantas. Walaupun tradisi
rumah terbuka ingin dikekalkan akan tetapi janganlah
hendaknya keghairahan untuk hal ini melebihi yang
perlu. Kami menjangkakan jadual jamuan hariraya akan
memenuhi takwin bulan ini seolah-olah gerakerja kita
yang lebih penting terpaksa ditangguh.

Demikian kita akan menyaksikan ahli politik ,
pemimpin-pemimpin kerajaan dipelbagai peringkat
(Kementerian , Jabatan , agensi), persatuan-persatuan
, ahli artis , institusi pendidikan , tokoh-tokoh
masyarakat akan kejar-mengejar waktu untuk menganjur
dan memenuhi undangan jamuan hari raya. Soalnya apakah
kita sudah tidak ada acara lain yang lebih penting
untuk melihat persoalan umat Islam yang sangat gawat
di seluruh dunia.

Bagi pejuang Islam kami mengingatkan segera mengatur
gerakerja yang berstrategik. Barisan jamaah yang sedia
ada perlu segera diperkemaskan untuk menghadapi
pelbagai makar golongan anti Islam. Seluruh sumber
yang ada harus digembleng untuk memastikan tidak ada
yang dibazirkan.Kita harus ingat betapa musuh Islam
menunggu saat-saat strategik ketika aktivis Islam leka
dengan acara-acara santai mereka.Berpada-padalah dalam
menganjur aktiviti yang kurang produktif dari segi
menyelesaikan masalah dan memberi impak sebenar kepada
umat.

Tidak wajar kita turut tenggelam dan hanyut
dalam rutin aktiviti menganjur jamuan padahal ada prioriti
lain yang lebih memerlukan fokus. Bukankah tiga hari
sebelum 1 Syawal ( tanpa diberi perhatian oleh
sesiapapun , termasuk pemimpin OIC ) berita 250 orang
Islam awam terbunuh oleh serangan tentara boneka
Amerika dibawah kepimpinan Presiden Pakistan , Jeneral
Parvez Musharraf. Mana mungkin kita terus leka
berjamuan ke sana-sini sedangkan umat Islam dibunuh ,
ditindas , diusir keluar dari kediaman mereka.

Kita boleh hanya mengikut rentak tradisi yang tidak
produktif untuk memajukan Islam. Kita tidak boleh leka
dengan acara-acara menyaingi orang lain hanya kerana
kita mahu dilihat turut setaraf dengan orang lain.

Semangat Syawal adalah semangat berhadapan dengan bala
tentera musuh Allah. Ruh Syawal sebenarnya adalah ruh
menyusun barisan perjuangan yang lebih siapsiaga.
Lantaran itu wajar sekali pejuang Islam bingkas segera
dari sikap bertangguh dan menunda kerja. Umat Islam
mendambakan kesungguhan dari setiap pejuang Islam.
Umat Islam memerlukan ransangan yang lebih bertenaga
dari pejuang Islam.

Kami menyeru supaya Eid ini bukan rutin berjamu selera
yang tidak henti-henti. Saatnya kita keluar dari
sindrom bertradisi yang tidak cukup memberi kesan
kepada menyelesaikan masalah umat.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: