Thursday, October 11, 2007

Insiden Batu Buruk: Suhakam kutuk polis guna peluru hidup!

Insiden Batu Buruk: Suhakam kutuk polis guna peluru hidup!
Oct 10, 07

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Hrkh) - Hasil siasatan awal Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati berlakunya keganasan polis
terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu
8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.

Demikian antara kenyataan media yang dibacakan Suruhanjaya Suhakam, Dato'
N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam petang
semalam.


Kenyataan itu dibuat hasil daripada perbincangan mesyuarat Suruhanjaya
Suhakam yang diadakan Isnin 8 Oktober lepas berhubung insiden
'berdarah' selepas polis cuba menyuraikan orang ramai yang menghadiri
ceramah yang sudah pun dibatalkan anjuran badan pemantau pilihan raya,
Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang,
kata Siva.


"Bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh
masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam
hingga 2 pagi.


"Ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan
(FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif
ketika mengendalikan orang ramai," katanya.

Sewajarnya polis menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan
senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.


"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis
menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman,"
katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan
awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.


"Kita percaya seorang insan itu perlu dihormati dan mempunyai hak untuk
hadir dalam perhimpunan aman," katanya menjelaskan tentang prinsip hak
asasi manusia yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak.


Sepatutnya polis mengelak berlakunya kekerasan,kecederaan dan penggunaan
asakan fizikal tetapi sebaiknya menggunakan budi bicara serta
perbincangan dalam menghadapi perhimpunan aman, katanya.


Suhakam tidak boleh membuat Siasatan Awam
Dalam pada itu siasatan awal Suhakam tidak menemui sebarang bukti bahawa
pihak penganjur mahupun pihak polis telah merancang untuk melakukan
rusuhan pada malam tersebut.


Ketika ditanya wartawan, Siva berkata, siasatan awal itu gagal menentukan
punca sebenar berlakunya rusuhan tersebut tetapi menjelaskan secara
umum bahawa sesuatu yang dibenarkan tetapi dilarang menyebabkan perkara
tersebut terjadi.


"Pada pandangan saya bahawa jika dibenarkan perhimpunan aman perkara
seperti ini tidak akan berlaku," katanya yang memandang serius kejadian
Batu Buruk itu.


Siva bagaimanapun menjelaskan lagi bahawa Suhakam memutuskan tidak akan
mengadakan siasatan awam atas alasan perundangan walaupun maklumat
awal yang dikumpulkan dalam siasatan awal Suhakam mendapati terdapat
bukti keganasan polis dan pelanggaran hak asasi manusia sewaktu kejadian
tersebut.


Katanya Suhakam "tidak mempunyai kuasa" untuk menyiasat rusuhan tersebut
kerana ada kes mengenainya di mahkamah yang melibatkan seorang individu
yang hadir di perhimpunan itu, Khair Muzakkir Ali, 22, atas tuduhan
merosakkan harta benda awam dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri
kepada polis sewaktu kejadian rusuhan tersebut.


Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 melarang suruhanjaya
itu daripada menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia apabila kes
berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah, katanya.


"Jika undang-undang membenarkan, kita pasti menimbang (untuk mengadakan
siasatan awam)," katanya ketika ditanya jika suruhanjaya tersebut akan
mengadakan siasatan awam jika tiada lagi kes mengenainya didengar di
mahkamah.


Tembakan ke udara?
Walaupun begitu, Suhakam tetap akan mengadakan perbincangan dengan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai cadangan suruhanjaya itu
berhubung langkah-langkah kawalan orang ramai dan pindaan kepada Akta
Polis 1997 mengenai pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam.


Suhakam akan mengesyorkan supaya Sesyen 27 Akta Polis 1997 dipinda untuk
memboleh perhimpunan secara aman diadakan tanpa perlu mendapatkan
permit dalam pertemuannya dengan Musa nanti.


Siasatan awal Suhakam yang diketuai oleh Siva sendiri telah menemubual
sejumlah 43 individu yang terdiri daripada 13 "mangsa", 22 anggota
polis dan lapan pemimpin parti pembangkang termasuk menyaksikan rakaman
video antara 19 dan 20 September lalu.


Ditanya wartawan berhubung video insiden itu, Siva menjawab rakaman
tersebut telah dibekal oleh pihak Polis dan FRU memandang penganjur
mendakwa semua kamera dan video di pihaknya telah dirampas oleh polis
sebelum ini.


"Kita juga telah menyoal Konstabel yang menembak. Katanya dia melepaskan
tembakan ke udara."


"Dan kita juga menemubual mangsa tembakan peluru hidup itu dan menyatakan
bahawa dia ditembak daripada belakang," kata Siva yang menjawab soalan
wartawan sambil menunjukkan gambar mangsa dan FRU yang tercedera kepada
media namun tidak dapat menjelaskan secara terperinci dan membuat
sebarang kesimpulan memandangkan Suhakam tidak dapat melakukan siasatan
awam seperti yang dinyatakan sebelum ini.


Siva juga menegaskan bahawa Suhakam tidak menyokong sebarang perhimpunan
awam yang tidak diadakan secara aman, dan suruhanjaya itu
mengklasifikasikan kejadian di Batu Buruk itu sebagai satu rusuhan,
berdasarkan kepada bukti-bukti yang diperolehi.


Dalam insiden tersebut, tujuh orang dilaporkan cedera termasuk empat
anggota polis dan dua orang awam yang terkena tembakan seorang anggota
polis.- mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: