'Ahlan wasahlan ke Kelantan!
MSO
SELAMAT datang dan 'ahlan wasahlan diucapkan kepada tokoh-tokoh politik
yang dijangka akan bertandang dan untuk bertanding di Kelantan pada
pilihan raya umum akan datang. Hendaknya kedatangan mereka bukan kerana
mencari tapak politik peribadi, melainkan atas nawaitu satu yang suci
lagi bersih untuk menguatkan parti dan memperjuangkan Islam hakiki.
Walaupun politik Kelantan tidak asing kepada tokoh-tokoh migran, namun
ingin dipesan dan diingatkan mereka hendaklah sedikit sebanyak harus
mengenali budaya dan tardisi orang Kelantan. Singgah atau bermalam di
Kelantan berbeza dengan bermukim dan bermastautin di laman Cik Siti Wan
Kembang.
Misalnya mereka bukan saja harus pandai berbudi, tetapi perlu juga
mengenali apa itu budu! Budi dan budulah akan mengeratkan kehadiran
seseorang luar (politik) ke negeri Kelantan.
Selain itu mereka juga harus bukan saja melihat sikap lemah lembut Puteri
Saadong, tetapi harus juga ada semangat Tok Janggut. Sekali lagi kedua
sifat dan sikap ini harus ada kalau ingin berlama di Kelantan! Mereka
juga bukan saja harus segak dengan kot dan baju Melayu tetapi sesekali
perlu juga berkain palikat dan bersemutar dengan kain batik lepas
bersembang di warung-warung kopi.
Menjadi hamba
Bagi orang Kelantan pula mereka mempunyai keunikan tersendiri dan ini
hendaklah difahami benar-benar. Dan dalam banyak keunikan itu ialah
mengenai sifatnya. Mudah mesra, setiakawan dan rela menjadi hamba. Sebab
itulah di zaman Mohd Asri Muda dulu sering menyebut orang Kelantan kalau
dia sayang kepada seseorang, ayam yang sedang mengeram pun akan
disembelih untuk dijamu makan.
Sebaliknya bila dia sudah benci, usahkan bayang jumpa dengan tahinya pun
akan dipukul dan dimaki hamun. Marahnya tidak mudah beradu ia menjadi
dendam, dan kalau kena cara bukan saja di pimpin dan diiringkan,
belakangnya pun ditahan untuk digendung! Buruk benarlah sikap orang
Kelantan.
Khabarnya ada sekurang-kurang dua tokoh politik dari luar Kelantan yang
sudah hampir pasti akan bertandang untuk dan bertanding di Kelatan pada
pilihan raya akan datang di samping mengekalkan seorang tokoh yang sudah
sedia ada. Mereka dihantar bukan saja-saja datang untuk mencari tempat
dan ruang, seperti kata tadi atas niat hendak membantu perjuangan Pas
Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.
Dalam hubungan ini tentulah membantu memperkasakan Pas Kelantan, memberi
idea dan juga teknik dan cara bagaimana untuk menyemaikan benih-benih
Islam dan Melayu di Kelantan agar terus subur dan Kelantan kekal sebagai
serambi Makkah walaupun sekarang dunia dilanda globalisasi.
Rasanya tidak perlu sesiapa mencurigai akan kedatangan mereka itu.
Terimalah dengan sebaik mungkin seperti tamu datang ditanakkan nasi,
musafir lalu di hamparkan sejadah dan bersolatlah bersama-sama. Walaupun
Kelantan sudah cukup banyak tokoh-tokohnya namun kehadiran tokoh luar
diharap akan dapat memberi kelainan dan semangat baru terutamanya dalam
mengubah pendekatan, pemikiran dan budaya bekerja yang lebih mapan lagi.
Membantu kerajaan
Dua tokoh yang diura-ura itu ialah Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden
Pas dan Saifuddin Nasution Ismail, yang pada mana ini Pengarah Strategi
dan Politik PKR. Nasharuddin tokoh 'futuristik' Pas dijangka akan
bertanding di kerusi Parlimen Rantau Panjang bagi menggantikan Abdul
Fatah Haron yang dikatakan akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tuku.
Penurunan Abdul Fatah itu adalah sebagai persiapan untuk membantu
kerajaan Pas (sekiranya menang) selepas pilihan raya kelak. Fatah akan
dilantik sebagai salah seorang Exco Kerajaan Kelantan.
Manakala Saifuddin Nasution pula akan bertanding di Parlimen Machang.
Masih belum tentu apakah bekas Adun Lunas, Kedah itu bertanding
menggunakan lambang PKR ataupun bulan. Seandainya Machang dijadikan
kerusi pertukuran dengan Kota Bharu, milik PKR yang kini khabarnya akan
diserahkan semula kepada Pas disebabkan ketidakmampuan PKR di Kota Bharu,
maka sudah pasti Saifuddin akan bertanding atas tikit PKR.
Pun begitu tidak timbul masalah kalau Saifuddin bertanding menggunakan
tikit dan lambang Pas. Saifuddin tidak asing dengan Pas bahkan di zaman
remajanya dulu beliau adalah anak muda yang cenderung kepada perjuangan
Pas. Langkah Saifuddin tersasau sedikit apabila beliau begitu taksub
dengan kehebatan syarahan bekas Naib Presiden Pas Nakhaei Ahmad
sehinggakan bila Nakhaei menukar kiblat Saifuddin turut sama tergeser
arah!
Apapun persoalan itu tidak timbul di sini. Perkara paling peting ialah
rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu harus memahami kenapa mereka itu
sanggup berkorban untuk bertarung di Kelantan dan diharapkan membawa
risalah Islam di negeri itu. Mereka dihadirkan bukan kerana kepentingan
peribadi mereka semata untuk menjadi ahli Parlimen, tetapi kerana ada
sesuatu yang besar diharapkan daripada mereka beruda khusunya menyuburkan
bobot politik Kelantan.
Kedua mereka adalah antara tokoh yang dikenali mempunyai idea dan wawasan
perjuangan yang jelas dan mantap. Keduanya juga komited dengan Islam dan
mempunyai sahsiah yang anggun dan bersih. Adalah sangat sesuai kalau
mereka dipajakkan untuk Kelantan berapa tempoh. Hal ini terbukti,
misalnya Nasaharuddin terpilih untuk menjadi Timbaan Presiden dalam usia
belia di mana apa yang dicapaikan itu sebagai rekod kepada Pas. Belum ada
Timbalan Presiden Pas semudah itu sebelum ini.
Sokongan dan semangat
Perubahan pemikiran dan pendekatan yang agak terbuka dan meletakkan Pas
sebagai parti yang dinamik serta kurang ekstrim, sedikit sebanyak adalah
hasil dari watak dan perwatakan Timbalan Presiden Pas itu. Contohnya
kewujudan bangunan Pas di Jalan Raja Laut adalah atas sokongan dan
semangat yang dilonjakkan oleh beliau. Kesediaan kaum bukan Melayu
mendekati dan untuk mengenali Pas juga ialah kerana perwatakan Timbalan
Presiden Pas itu.
Selain itu paling afdal ialah Nasharuddin adalah anak muda yang mempunyai
sahsiah, ciri-ciri dan perwatakan, baik dalam percakapan, berfikir,
bergaul yang sesuai dengan Pas sebagai parti Islam yang amat menekan
kepada soal akhlak dan moral. Beliau juga mesra alam. Belum pernah
terdengar Nasharuddin tidak tepat dalam janjinya ataupun bersikap lepas
tangan dan suka menunding jari kepada orang lain bila ditekan masalah.
Demikian juga dengan perwatakannya yang optimistik dan berfikir secara
bersistem serta penampilan bergaya oleh Saifuddin mencerminkan beliau
seorang tokoh muda yang mempunyai wawasan dan concern dengan perjuangan.
Watak-watak atau peribadi kedua tokoh itu amat sesuai dan ditagihkan
dalam mengisi dan menambahkan rangkaian pemimpin yang sedaya dan setaraf
mereka yang kini sudah ada di Kelantan seperti Mohd Amar Arshad,
Takiyuddin Hassan dan lain.
Makanya rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu wajar memberi kepercayaan
dan menanti kehadiran mereka. Kehadiran mereka merupakan satu tuah dan
rezeki politik yang sukar untuk dibayar dan dinilai. Apa lagi dalam Pas
Rantau Panjang yang kekurangan tokoh yang bertaraf nasional dan
profesional, memperolehi Nasharuddin kelak sebagai permata yang di
letakkan atas dulang.
Bayangkan bagaimana kalau keduanya ditakdir berada dalam Parlimen selepas
pilihan raya akan datang; Saifuddin yang terkenal sebagai seorang ahli
politik yang sarat dengan statistik dan fakta, sementara Nasahruddin pula
sarat dengan falsafah dan pratikal politik Islam dan hafiz mengenai
syariah Islam, akan dapat memberi dan membawa satu maknikam besar kepada
parlimen dan juga negara.
Sahsiah pemimpin
Nasharuddin yang pernah menjadi anggita Paelimen Yan, Kedah tahun 1999
telah membuktikan keupayaan beliau dan berjaya membawa sahsiah sebagai
seorang pemimpin baru Pas di dalam parlimen dalam bentuk Islam yang
moderate tanpa meninggalkan taradsi Islam yang menjadi pacang dan konsep
perjuangan dan rupa diri Pas selama ini.
Saifuddin pula ketika menjadi Adun Lunas, Kedah bagaimana beliau telah
menjadikan Menteri Besar Kedah ketika itu Syed Razak Syed Zain tidak
senang duduk, dan menyebabkan anggota kerajaan menjadi panas punggung
untuk berhadapan dan menjawab persoalan yang dibangkit oleh belau.
Sosok dan tokoh semacam mereka berdua inilah yang perlu ada dan perlu
diberi ruang untuk menjadi jurucakap dan pembimbing bangsa. Mudahan
sahaja kehadiran mereka menjadi kenyataan dan kehadiran itu juga akan
membawa perubahan dan keberkatan.
Ingin dipesani sekiranya akhi-akhi berdua sudah singgah dan bermalam di
bumi Kelantan hendaknya biarlah tidur sampai ke subuh, dan sesudah subuh
jangan pula bersegera untuk pulang ke daerah kelahiran atas alasan untuk
mengurai rindu kepada ibu dan ayah seperti berlaku sebelum ini. Ada
kalanya berminggu-minggu meninggalkan kawasan. Apa yang pernah dilakukan
dagang masa lalu tidak akan diulangi oleh tetamu baru ini! [wm.kl 10:55
03/10/07]
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment