Ustaz Zainuddin Hashim
Oct 03, 07
Ramadan|Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir
(bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan
mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan
baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama
isteri-isterinya).
Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda
baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam
al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah
SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis
riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam
Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai
untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan
manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang
tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara
langsung dan sebagainya.
Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci
jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar
untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup
melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat.
Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana
peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam
seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda
Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga
berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada
waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada
Allah setelah penat bekerja pada siang hari.
Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu
malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan
waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut
oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka
jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang
tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada
Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan."
Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka
(orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di
akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.
Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan
Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua
hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk
bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa
baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT.
Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan
agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam
berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan
untuk menempah tempat dalam syurga.
Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam
al-Qadr.
Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik
dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika
seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat
fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam
al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan,
sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya
tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang
dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat.
Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun
dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula
ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah
dengan sewenang-wenangnya.
Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara
kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya
dating setahun sekali?
Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam
sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak
memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan
orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam
mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang
cukup mengenai ajaran Islam sebenar.
Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail
Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor
penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi
melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:
1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih
keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada
pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam
diri.
2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan
dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah
malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita
yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di
kalngan para sahabat dan ulama.
5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu
boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda
Rasulullah s.a.w.
6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah;
"Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan
solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.
7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak
seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum
tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan
membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca
doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.
9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai
'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar
setengah jam.
10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan
hasrat untuk bangun di tengah malam.
11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.
12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai
penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.
13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di
tengah malam.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!
Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain
ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda
bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia
merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh
mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa,
penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada
penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi. - mks.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment