Peraturan gila Kem Tahanan Kamunting di pagi raya
October 10 2007
Anak-anak dan isteri dihalang daripada bersalam-salaman, juga ditegah
daripada membawa juadah istimewa raya. Mereka dihadang tabir pemisah, ada
lapisan kaca yang membungkus keangkuhan sang penguasa!
Masya-Allah, sudahlah keluarga zalim ini diazab sebegitu rupa, untuk
berkumpul di hari raya secara penuh kasih sayang pun tidak dibenarkan.
Hoiii, kerja gila apa ini?
Oleh Ahmad Lutfi Othman
MENJELANG Aidilfitri ini, apa sebenarnya yang bermain-main dalam fikiran
anda? Mungkin terkenangkan anggota keluarga terdekat yang telah
meninggalkan kita buat selamanya, atau khusyuk melayari perasaan tika
saat-saat indah menyambut raya di zaman kanak-kanak dahulu, atau masih
sibuk berteka-teki dengan tarikh pilihan raya umum ke-12?
Kesyahduan merangkul segala ingatan dan memori syahdu itu seringkali
membuatkan air mata mengalir deras di pagi 1 Syawal, bersama lafaz takbir
di awal subuh.
Terbayang wajah kudus mak ayah yang sudah pergi, keluarga terdekat yang
turut mengiringi mereka ke alam baqa, juga nasib saudara seakidah di
seluruh ceruk rantau dunia yang dijajah semula, tidak lupa mangsa
kezaliman dalam negara yang terus dipasung pemerintah.
Gali pelbagai khazanah
Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan, merayakan perit jerih melawan
nafsu selepas menggali pelbagai khazanah tak ternilai pada madrasah
Ramadan, sepatutnya menyuntik keinsafan terhadap nasib duka keluarga
mangsa kezaliman itu.
Mereka mungkin tidak pernah merayu untuk dikasihani, namun naluri
kemanusiaan, apatah lagi ikatan ukhuwwah sesama Muslim, seharusnya
mengalirkan rasa keprihatinan yang tinggi untuk turut membantu apa yang
terdaya.
Ya, tidak ramai yang dapat mengingati nama-nama tahanan ISA yang disumbat
di Kem Tahanan Kamunting. Benar, tiada lagi "nama-nama besar" yang
dihumban ke penjuru gelap lagi menyiksakan itu. Biarpun mereka terus
membilang hari menanti saat dibebaskan, rupanya di dunia bebas ini,
mangsa kezaliman itu jarang diingati lagi, sedangkan tempoh penahanan
hampir melewati genap enam tahun.
Pada hari-hari biasa nasib mereka, terutama keluarga yang ditinggalkan,
kurang diendahkan masyarakat, malah ramai tidak menyedari kehadiran
golongan yang teraniaya ini. Memang ada sekelompok kecil, misalnya
melalui GMI, terus menjalankan aktiviti, menziarahi dan bertanya khabar,
namun kesedaran masih belum meluas, bukan sahaja untuk melobi dan
mendesak ISA dikuburkan, tetapi usaha menyantuni mangsa akta zalim ini
begitu terbatas.
Harakah sendiri kerap alpa. Sekadar melaporkan satu dua perkembangan,
bantahan dan demonstrasi, kemudiannya hilang tanpa susulan mantap. Kami
cuba membaiki kelemahan berkenaan sekali gus mempertingkatkan azam untuk
mengangkat laporan berita yang jarang didedahkan akhbar-akhbar utama.
Gagal menyentuh rasa
Malah ramai menganggap perjuangan memansuhkan ISA seperti lagu lama yang
dimainkan kembali dengan tempo usang, tidak seperti lagu-lagu raya yang
evergreen itu. Ia gagal menyentuh rasa, menghiris simpati, apatah lagi
untuk mendorong publik bangkit menyatakan sikap, mengetuk ego sang
penguasa yang mati hati dan perasaan itu.
Apa pun, pedulikan segala "kelemahan dan ketempangan" itu, kita bukan mahu
bicarakan "isu-isu politikal yang memeningkan". Dalam suasana Aidilfitri,
yang mahu dijentik ialah naluri kemanusiaan "yang biasa-biasa saja".
Tulisan pendek ini hanya mahu menarik perhatian anda terhadap keluarga
tahanan ISA, merenung nasib malang yang bertimpa-timpa itu, dan paling
penting, apa yang boleh kita lakukan untuk meringankan bebanan, selain
membuatkan mereka terasa masih ramai insan yang bukan saja bersimpati
malah turut resah dan terganggu tidurnya dengan kisah-kisah pilu mereka.
Bayangkan ... dan cuba hitungkan hari-hari yang mereka
dizalimi-ditinggalkan; kini hampir melangkaui 6 tahun, berapa hari ya?
Nah, sudah lebih 2,100 hari. Kasih yang diragut pergi secara tiba-tiba,
atas rasa prasangka yang tebal, tanpa bukti, hanya dengan daleh palsu,
untuk buktikan kita juga serius memerangi keganasan seperti Amerika.
Namun bagi pemerintah (lebih tepat lagi Menteri Keselamatan Dalam Negeri,
yang juga Perdana Menteri) yang kering hatinya, kelam jiwa perasaannya,
dangkal dan tumpul rasa simpatinya, sejumlah 2,100 hari yang disesiakan
dalam tahanan itu langsung tidak memberi sebarang erti. Penganiayaan dan
kezaliman adalah lumrah bagi golongan yang hanya mementingkan survival
kuasa.
Menatap wajah anak-anak yang ditinggalkan ini cukup menusuk jiwa walaupun
mereka nampak riang-ria seperti kanak-kanak lain. Masakan mereka mahu
bermuram-durja selamanya. Bersama ibu, kehidupan mesti diteruskan, tanpa
ayah di sisi. Segalanya harus diusahakan sendiri, dan bagi keluarga yang
tidak mempunyai saudara-mara, mungkin kerana mereka merupakan perantau di
sini, ia makin menyukarkan.
Lebih pedih dan memilukan apabila mengenangkan, meskipun anak-anak ini
dapat menziarahi ayah di Kamunting, pertemuan itu cukup menyedihkan. Di
pagi Syawal, selepas bersusah-payah menaiki bas dari Kuala Lumpur
misalnya, mereka langsung tidak boleh menyentuh orang yang dirindui sejak
lama.
Anak-anak dan isteri dihalang daripada bersalam-salaman, juga ditegah
daripada membawa juadah istimewa raya. Mereka dihadang tabir pemisah, ada
lapisan kaca yang membungkus keangkuhan sang penguasa!
Masya-Allah, sudahlah keluarga zalim ini diazab sebegitu rupa, untuk
berkumpul di hari raya secara penuh kasih sayang pun tidak dibenarkan.
Hoiii, kerja gila apa ini? Tak terfikir dek akal waras bagaimana
peraturan celaka yang dihasilkan oleh fikiran jahat-jijik itu
dikuat-kuasakan.
Apa ertinya hari raya jika keluarga daif meninggalkan kampung halaman
sehingga tak sempat solat Aid datang mendapatkan suami atau ayah,
sedangkan pertemuan itu mahu dikosongkan makna dan ertinya?
"Sepatutnya kami ke Kamunting raya pertama, tapi anak-anak bagitau saya,
tak payahlah ibu, kita pergi raya kedua saja," kata seorang isteri
tahanan ISA yang saya temui petang semalam, di Hulu Langat, ketika
membawa sedikit sumbangan. "Budak-budak mahu raya di sini dulu, dapat
juga solat Aidilfitri dan merasai nikmat pagi raya di rumah sendiri.
Kalau pergi Kamunting pada pagi 1 Syawal pun bukannya dapat bersalaman
dengan ayah mereka."
Mesej bodoh-hodoh Dollah
Hei Dollah (siapa lagi kalau bukan Perdana Menteri kita)! Mana perginya
sentuhan kemanusiaan kamu? Apa maknanya senyum ceriamu menyambut isteri
baru dan kelahiran cucu tersayang? Yah, apa yang mahu kamu tunjukkan
daripada peraturan gila-tak-masuk-akal ini? Belum cukupkah mesej
bodoh-hodoh yang kamu titipkan selama ini?
Sepatutnya segala peraturan dipermudahkan terutama di hari mulia ini.
Kalau boleh, bukan saja biarkan mereka beramah-mesra melepaskan
rindu-dendam, malah biarkan mereka bermalam bersama supaya dapat
bercerita sepuas-puasnya, makan-minum seenaknya dan pihak Kem menyediakan
juadah lazat untuk dinikmati bersama. Seeloknya keluarga disediakan
penginapan khas pada malam raya lagi, takbir tahmid beriringan dan
anak-anak serta isteri dapat mengucup tangan ketua keluarga di keheningan
subuh.
Tentu ada yang menyifatkan khayalan saya itu juga tak-masuk-akal.
Biarkanlah, sesekali kita pun mahu berfantasi, tapi ... bukankah semua
tahanan belum dibuktikan bersalah, dikurung hanya atas syak-wasangka?
Sememangnya Dollah Badawi tidak pernah memikirkan bagaimana peritnya
kehidupan keluarga yang dimangsakan.
Lalu, persetankan soal institusi kekeluargaan yang mahu diruntuhkan dan
konsep modal insan yang sering dilafaz tanpa makna itu apabila pendidikan
anak-anak terabai, dan masa isteri lebih tertumpu untuk membanting tulang
mencari sesuap nasi. Jangan salahkan anak-anak ini jika jiwa mereka
diasak amarah dan dendam berpanjangan.
Boleh saja saya terus mengusik emosi anda, tapi saya tak mahu membazirkan
masa. Terus terang saya mahu maklumkan bahawa tujuan saya menulis catatan
ini hanya satu, biarpun secara terburu-buru, yakni hanya mahu memujuk anda
untuk menyumbang buat mereka yang dizalimi pemerintah itu. Silakan hantar
sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank
564070000336.
Terima kasih banyak. Salam Aidilfitri, mohon maaf atas segala kesalahan
dan kealpaan.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment