Saturday, October 06, 2007

Buru keistimewaan tujuh golongan di sisi Allah

Ustaz Zainudin Hashim

Oct 02, 07 |

Tazkirah Ramadan

Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani
ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan
tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi
mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.


Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat
di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang
diwariskan oleh baginda kepada mereka.


Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut
syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan
insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang
intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.


Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang
bermaksud: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang
menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja
dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu
berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini,
dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya
daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana
sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama)."


Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan
terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh
mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui
serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat
daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.


Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi
sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah
naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan
padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang
adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam
mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat
dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana
kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang
yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu
dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!",
orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut
atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara
lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan
sifat Agung Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).


Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas,
memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang
benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka,
justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allah setimpal dengan
apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.


Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah
dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan
ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di
atas.


Apatah lagi kepada umat Muhammad masa kini yang tenggelam dalam banyak
perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah
gelagat dalam bulan Ramadan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan
betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim,
sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis
kerana takut kepada Allah SWT.


Golongan yang ketujuh yang disebut oleh baginda Rasulullah dalam hadis di
atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allah hingga menitiskan air
mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari
ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan),
tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang
diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan
mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.


Pendekatan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata
Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’
yang bermaksud : "Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil
dan mereka bertambah khusyuk."


Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada
Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan
apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh
tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.


Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak
peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan
undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih
apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.


Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu
tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada
Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi)


Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada
umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air
mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan
syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang
keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan
agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan
berganjak dan terus berada dalam kesesatan.


Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : "Maka
apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu
dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka
celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah,
sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata."


Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata
yang menangis kerana takut kepada Allah SWT diganjari dengan pahala dan
menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah
sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada
Allah, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang
dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup
di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau
sebaliknya.


Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah
Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan
untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut
kepada Allah SWT:


1. Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering
mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk
menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan
tindakan orang-orang Islam sendiri.


2. Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri
daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha
Agung dalam penciptaan-Nya.


3. Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang
pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan
golongan ahli ilmu.


4. Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu
kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.


5. Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri
kepadanya.


Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah ada menegaskan, bahawa
terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan
individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu
terhadap agamanya:-
1. Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik - pura-pura menangis.


"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
(AnNajm:43)


Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu
berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis
kerana takut kepada Allah SWT.


Ibadat pada waktu malam
Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting
dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari
sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada
orang lain.


Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada
waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam al-Qadr, peristiwa
penghijrahan baginda Rasulullah dan Abu Bakr, Israk Mikraj dan lain-lain.


Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w yang merupakan hamba maksum yang
dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada
malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah
gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah
kepadanya.


Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada
bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan
mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka
itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan -
Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.


Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau
dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah
salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika
orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera -
Riwayat Tarmizi.


Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan
muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang
kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih
ketenangan.


Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa
malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. - Riwayat Abu Daud. - mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: