Dato' Dr Haron Din
Oct 03, 07
Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan
hari Jumaat, penghulu segala hari.
Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil
kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat
kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya
dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah
satu daripada 10 malam terakhir.
Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang
dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak
mendapat keampunan daripada Allah SWT.
keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang
benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah.
Di samping mengharapkan keampunan.
Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan
diampunkan segala dosa-dosanya."
Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah
Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.
Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu
ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada
Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah :
Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia,
Ampunkanlah dosa saya."
Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu
tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima
pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.
Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah
penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan,
kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja
yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan
keampunan dosa.
Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam
kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak
sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah
suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus
utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.
Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata
untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu
sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia
ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup
semua makhluk bagi mendapat reda Allah.
Janji-janji Allah pada hamba-Nya
Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana
daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran
untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan
ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan
dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala
halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang
semakin mencabar.
Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat
Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam
yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.
Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah
menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang
umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di
maya pada ini.
Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah
menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk
pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah
yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya
Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak
membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan
agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."
Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam
surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang
beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah)
seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada
angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru
hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu
menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya
dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."
Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi
kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan
sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap
individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal
Syawal.
Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka
pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang
semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak
menunaikan kewajipan zakat fitrah.
Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya
ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan
harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang
sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu
dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan
Ramadan.
Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba
Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan
amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui
Allah di hari akhirat nanti.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment