Tengku Muhammad Faris Petra
Ampun Tuanku beribu ampun sembah patik harap diampun.
Patik menumpang gembira diatas keprihatinan Tuanku terhadap prinsip
ketuanan Melayu sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku di PWTC semalam.
Siapalah lagi yang sewajarnya bimbang dan prihatin terhadap isu ini jika
tidak Tuanku dan Raja-raja Melayu sekalian.
Ampun Tuanku
Rakyat Melayu yang menerima dan menganut Islam, disamping rakyat Malaysia
keseluruhannya patik yakin akan terus menerus taat dan menjujung
institusi Raja-raja Melayu sebagai simbol keadilan dan payung negara.
Sesungguhnya kebijaksanaan dan keberanian Raja-raja Melayu mutakhir ini
menggunakan kuasa Duli-duli Tuanku sebagaimana yang termaktub dalam
undang-undang tubuh negeri masing-masing, jelas disokong dan dijunjung
rakyat jelata khasnya di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor.
Ampun Tuanku
Perpaduan Melayu rentetan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu ternyata kelihatan
rapuh namun hakikatnya ia tidak pernah mengakibatkan runtuh dan robohnya
ketuanan Melayu sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan oleh pihak-pihak
tertentu khasnya yang telah hilang kuasa di negeri-negeri tertentu. Orang
Melayu pada hakikatnya masih menguasai lebih separuh dari kerusi-kerusi
di Dewan Rakyat dan di Dewan-dewan Undangan Negeri. Cumanya perbezaan
politik mengakibatkan mereka terpisah namun tidaklah ia mengakibatkan
kurang atau hilangya kuasa politik bangsa kita itu.
Ampun Tuanku
Perbezaan politik orang Melayu tidak boleh dielakkan, malah sistem
demokrasi yang kita amalkan dalam negara meraikan perbezaan sihat ini.
Orang Melayu telah berbeza politik sejak sebelum Merdeka lagi, tetapi
sejarah telah membuktikan walaupun demikian mereka tidak pernah
menggadaikan agama dan bangsa hasil dari perbezaan itu. Orang Melayu di
Kelantan contohnya juga demikian sehingga ke hari ini namun Institusi
Raja-raja Melayu dan konsep ketuanan Melayu terus mereka junjung dan
pelihara.
Ampun Tuanku
Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, adalah perubahan
kecenderungan politik orang Melayu yang selama ini taat dan setia pada
Umno. Setelah 50 tahun orang Melayu mula menyedari bahawa amanah yang
telah mereka berikan kepada Umno telah dikhianati sehingga umat Melayu
tidak lagi menjadi agenda utama perjuangan Umno tetapi yang dipenting dan
diperjuangkan adalah nasib dan masa depan para pemimpin dan kroni mereka
belaka dari peringkat tertinggi sehinggalah kepimpinan akar umbi.
Ampun Tuanku
Umat Melayu terganggu apabila ada dikalangan mereka masih miskin dan kais
pagi makan pagi kais petang makan petang sedangkan pimpinan Umno yang
mereka amanahkan untuk membela nasib mereka beratapkan mahligai mewah,
berkenderaan mahal dan berharta dari harta yang diamanahkan kepada mereka
untuk menjaganya.
Ampun Tuanku
Umat Melayu menghukum Umno melalui proses demokrasi dalam Pilihan Raya
Umum lalu. Mereka menjatuhkan pemimpin-pemimpin Umno yang korap dan kotor
ini dan menggantikannya bukan dengan pemimpin bukan Melayu tetapi pemimpin
Melayu jua dari PAS dan PKR. Perubahan ini bukannya durhaka terhadap agama
dan bangsa tetapi hakikatnya membersih umat Melayu dari pemimpin yang
durhaka.
Ampun Tuanku
Rakyat jelata mengharapkan Tuanku Raja-raja Melayu akan terus menjadi
payung bagi rakyat berteduh memperoleh keadilan dan kesaksamaan. Rakyat
khasnya umat Melayu siapa sahaja patik sekalian termasuklah samada PAS
atau PKR tidak sekali-kali akan bertindak menghakis kuasa Tuanku atau
konsep ketuanan Melayu kerana sesungguhnya Islam dan Melayu itu tetap dan
terus bangsa dan agama patik-patik jua. Yang patik-patik benci dan
kesalkan adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang menggadai dan memperjudikan
nasib dan kepentingan umat angkara amalan rasuah yang merupakan amalan
puaka dalam parti mereka.
Ampun Tuanku
Insyallah bangsa dan umat Melayu akan terus mulia dan dipandang tinggi
kiranya mereka terus taat dan menjunjung perintah Allah swt. Pemimpin
Melayu yang baik adalah pemimpin yang taat berpegang kepada al Quran dan
Sunnah. Pemimpin Melayu seperti inilah patik yakin akan mempertahan dan
mendaulatkan terus institusi Raja-raja Melayu, memelihara bangsa dan
agama serta memeprtahankan kemerdekaan negara.
Ampun Tuanku
Patik menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku kerana berkenan menatap warkah
ini. Semoga Allah swt melanjustkan usia Tuanku dan memberi taufik dan
hidayah tidak putus-putus kepada Tuanku dan Raja-raja Melayu sekalian.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment