Thursday, March 18, 2010

Kenyataan Media Presiden PAS

Kenyataan Media

PEJABAT PRESIDEN
PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)
318A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur
Tel: 03-26925000 Faks: 03-26938399

To : All News Editors
From : Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir (019 260 1033)
Date : 13th April 2008

(Berikut adalah Kenyataan Media yang dibuat oleh YB Dato Seri Tuan Guru
Presiden PAS pada jam 7.30 pagi tadi dari Hsopital Sultanah Nur Zahirah,
Kuala Terengganu)

PERPADUAN MELAYU TIDAK LAGI BERSANDARKAN UMNO

Perhimpunan Perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh beberapa NGO Melayu di
PWTC semalam masih berpaksikan kepada pergantungan politik terhadap Umno
sebagai satu-satunya wadah untuk orang Melayu. Sedangkan keputusan
Pilihan Raya Umum ke 12 lalu ternyata menegaskan bahawa Umno sudah tidak
layak lagi menerajui bangsa dan umat Melayu setelah mereka bertindak
khianat menghakis dan memupuskan keperibadian dan identiti Melayu selama
mereka memegang tunggak kuasa. Sesungguhnya perpaduan dan survival Melayu
sebenar akan dapat dipupuk bukannya melalui perubahan di dalam Umno tetapi
melalui perubahan drastik terhadap sikap dan pendirian kerajaan
Persekutuan yang masih di dalam tangan parti berkenaan.

Segala bentuk penjajahan minda orang Melayu yang dibelenggu oleh
kehadiran peraturan dan perundangan yang dicipta oleh Umno perlulah
segera dihapuskan. Akta Universiti dan Koleh Universiti (AUKU) contohnya
menyekat kemajuan dan kebebasan berfikir mahasiswa dan pensyarah serta
ahli akademik Melayu, inilah yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.
Begitu juga media arus perdana, perlu dibebaskan agar orang Melayu dapat
berfikir dengan lebih matang dan kritikal. Kerajaan perlu membenarkan
wujudnya lebih banyak media yang bersifat ilmiah dan bukannya menjurus
kepada hiburan yang menghayalkan semata-mata, yang banyak mencorakkan
budaya dan pemikiran bangsa Melayu kini.

Dibidang ekonomi, orang-orang Melayu jauh tercicir dan sering terpinggir
apabila amalan-amalan ekonomi digunakan sebagai umpan dan rasuah untuk
memperolehi sokongan dan kuasa serta gelanggang amalan rasuah. Pemberian
subsidi dan bantuan kerajaan seolah menjadi hak dan percaturan Umno
sehingga orang Melayu akhirnya tidak maju sebaliknya lesu dan tertipu.

Perpaduan dan kekuatan Melayu akan terbina jika orang-orang Melayu
sentiasa disuntik dengan kesedaran beragama. Penyibaran dan dakwah serta
kesedaran Islam perlulah dipulihkan. Selama ini jabatan-jabatan dan
institusi agama diperkudakan oleh Umno untuk kepentingan dan kelangsungan
politik mereka. Orang-orang Melayu yang tidak menerima kefahaman Islam
sebenar akhirnya tidak menguntungkan bangsanya malah menjadi liabiliti
kepada ummah.

Oleh itu kiranya semua pihak jujur mahu memperjuangkan agenda Melayu dan
Islam, mereka perlu sedar bahawa Umno lah yang selama ini merupakan punca
dan masalahnya. Umno ditolak dalam Pilihan Raya Umum lalu kerana umat
Melayu mahukan perubahan dan pembaharuan. Kesimpulannya perubahan dan
pembaharuan itu hendaklah mengambil kira pandangan kuasa politik Melayu
yang baru yang tidak lagi didominasi oleh Umno pada hari ini.

DATO' SERI TUAN GURU HJ. ABD HADI AWANG
Presiden PAS

13 April, 2008

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: