Thursday, March 18, 2010

Mufti Perlis nasihat pemimpin bertaubat, mohon maaf pada rakyat

Mufti Perlis nasihat pemimpin bertaubat, mohon maaf pada rakyat

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Pilihan raya lalu membuktikan bahawa
rakyat mengundi untuk kebaikan negara malah mahukan perubahan ke arah
yang lebih positif, adil dan telus.

Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin berkata usaha-usaha ke arah
hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilakukan di mana kerajaan
pusat juga telah merangka berbagai cadangan dan gagasan agar ketelusan
dan keadilan dapat dilaksanakan.

"Begitu juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama.
Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina,"
katanya dalam rencana Pena Mufti yang disiarkan Mingguan Malaysia.

"Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang
tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan
kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan peristiwa pilihanraya yang
lepas, perkara pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi
mengeluarkan diri dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari
mengganggu rakyat adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan
taubat nasuha.

"Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas
tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf
dan memohon ampun daripada Allah.

Kata Dr Asri, pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara
dan bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari kesilapan pihak
lain sebaliknya melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan.

"Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas
segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu.
Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat
rakyat.

Dalam laman web drmaza.com beliau juga menjelaskan bahawa para pemimpin
adalah contoh untuk sekelian rakyat dan diperhatikan malah kemewahan
yang tidak betul cara akan menimbulkan tanda tanya.Ini termasuklah sikap
dan perwatakan para pemimpin yang dipersoalkan, kata Dr Asri.

"Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat
rakyat merasa jelak. Ada yang sehingga ketika artis hindustan datang ke
Malaysia yang terlebih Bollywood dari Bollywood. Sedangkan dia isteri
orang besar," katanya dalam laman web terbabit.

Ramai pemimpin seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak
mungkin ditumbangkan sedangkan mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa
mual,katanya.

Malah jika pemimpin bercakap soal Islam, hendaklah dibuktikan menerusi
percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri.

Sementara itu beliau mengakui banyak perkara yang patut diberi komen
berhubung konsep Islam Hadhari namun menangguhnya terlebih dahulu dan
akan menjelaskan dalam buku yang bakal di tulisnya.

"Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak
dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang
'seribu kekeliruan itu'.

"Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya-Allah. Apa yang penting
banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat!," katanya. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: