Monday, March 08, 2010

Harga minyak naik akibat duit Petronas habis diboroskan kerajaan BN - PRM

Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Jun 07, 08 | 11:40:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga petrol di Malaysia sebanyak 41
peratus dan diesel 63 peratus bermula 5 Jun lalu disifatkan Parti Rakyat
Malaysia (PRM) sebagai kenaikan yang melampau.
 
Presiden PRM, Hassan Karim berkata, kenaikan itu dibuat secara mendadak
dan sekali gus akan membebankan rakyat berpendapatan rendah dan menengah.
Rakyat kini menghadapi masalah ekonomi yang besar akibat amalan
pemerintahan Barisan Nasional yang buruk, membazir serta rasuah selama
lebih 50 tahun, kata Hassan.
"Mulai 1 Julai tahun ini harga tarif elektrik pula akan naik. Apabila
harga minyak naik, harga elektrik naik maka harga barang makanan,
keperluan harian, pengangkutan semuanya akan turut naik," katanya.
Selepas pengumuman kenaikan harga minyak, Persatuan Pengilang-Pengilang
Malaysia telah menyatakan bahawa kenaikan kos pengeluaran akibat kenaikan
harga minyak dan elektrik akan ditanggung akhirnya oleh para pengguna,
kata Hassan.
"Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyatakan inflasi di
negara ini akan meningkat kepada 5 peratus pada bulan Jun ini.
"Ia adalah satu kenaikan kadar inflasi yang tinggi dalam tempoh 10 tahun
ini. Para penganalisis ekonomi pula ada yang menjangka inflasi akan naik
sehingga 6 peratus," ujarnya.
Namun, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan
Merican menyatakan sejak penubuhan Petronas pada 1974 sehingga tahun
2007, Petronas telah membayar kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak
RM335.7 bilion daripada keseluruhan keuntungan sebanyak RM570 bilion.
Dengan pengumuman CEO Petronas tersebut PRM ingin tahu bagaimana wang
Petronas sebanyak RM335.7 bilion itu dibelanjakan oleh kerajaan Barisan
Nasional, kata Hassan.
"Puratanya sebanyak RM10 bilion, Petronas telah membayar pada kerajaan
setiap tahun sejak 1974. Ke mana duit itu pergi?" soalnya.
PRM percaya jawapannya ialah duit Petronas itu telah habis diboroskan
Kerajaan BN bagi membina projek-projek mega sejak Tun Dr Mahathir Mohamad
hingga Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengkayakan kroni-kroni
mereka atas duit minyak negara.
"Jelaslah amalan rasuah, kronisme dan nepotisme sejak hampir 25 tahun
terakhir ini telah menjahanamkan ekonomi negara dan yang sekarang sedang
menanggung beban sengsara adalah rakyat jelata juga," katanya. _


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: