Thursday, March 18, 2010

Bila BN kalah pilihan raya, babi pun jadi mangsa

Ahmad Tajdid
Mon | Apr 14, 08 | 11:07:34 am MYT

Tidak tahulah bila isu tapak ternakan babi moden warisan kerajaan BN
Selangor bakal reda. Sehingga rencana ini ditulis, media massa utama
khususnya TV3 dan Utusan Malaysia menjadikan isu babi itu sebagai
'hidangan utama' mereka.

Bukanlah menjadi satu kesalahan kepada media massa pro-BN untuk
mengetengahkan isu rakyat termasuk isu babi ini. Tetapi sejak ia
dicetuskan oleh berita tunjuk perasaan puluhan penduduk kampung dari
daerah Sepang di hadapan Bangunan SUK, Shah Alam; isu babi ini
dipolitikkan dan dijadikan bahan untuk menghentam kerajaan negeri
Pakatan Rakyat.

Ironinya, walaupun sudah puluhan tahun ladang ternakan babi bertapak
di daerah Sepang, bantahan mengenainya hanya kedengaran setelah baru
sebulan pentadbiran Selangor bertukar tangan. Sehingga kini, terdapat
137 ladang babi peninggalan pentadbiran kerajaan BN terdapat di
Selangor. Jumlah keempat tertinggi selepas Pulau Pinang, Perak dan
Kelantan, dakwa Utusan Malaysia!

Yang lebih membingungkan, projek tapak ternakan babi moden itu telah
diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari
2008. Mustahil bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohd Khir Toyo dan Ahli
Parlimen Tanjung Karang, Dato' Noh Omar tidak mengetahuinya?

Malah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Permodenan
Pertanian, Sumber Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan Selangor,
Yaakob Sapari mendedahkan bekas Setiausaha Politik Khir Toyo pernah
mengadakan lawatan ke Jerman bersama wakil penduduk Kampung Ladang
Tumbuk, untuk melihat lebih dekat teknologi penternakan babi secara
moden di sana.

Malah wakil-wakil penduduk terbabit, jelas Yaakob bersetuju dengan
kaedah penternakan babi di Jerman itu dan tidak keberatan untuk
menyokong pelaksanaan projek yang serupa di Sepang.

Persoalannya, mengapakah wakil-wakil penduduk yang sama tiba-tiba
membantah projek yang mereka sokong semasa pentadbiran BN?

Jawapannya adalah kerana sentimen politik. Kawasan Sepang adalah
antara saki baki kubu BN yang masih bertahan selepas dilanda tsunami
politik pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Calon BN, Dato' Mohd Zin Mohamed menang di Parlimen Sepang mengalahkan
calon PAS, Mohamed Makki Ahmad dengan majoriti 4849 undi berbanding
majoriti 18837 undi pada 2004.

BN juga menang di 2 Dun majoriti Melayu di Tanjong Sepat dan Dengkil
dengan majoriti rosot berbanding 2004.

Di Dun Sungai Pelek yang mempunyai komposisi 41.03% Melayu, Cina
(37.86%) dan India (20.81%), calon BN tewas di tangan DAP dengan
majoriti 1572 undi. BN menang di Sungai Pelek pada pilihan raya umum
2004 dengan majoriti 4107.

Jelas usaha Umno untuk mempolitikkan isu ternakan babi ini lebih
bertujuan memainkan sentimen kaum sekaligus cuba menjuarai isu-isu
kepentingan Melayu di Sepang dan Selangor umumnya.

Cubaan mempolitikkan isu ini diserlahkan dalam kain-kain pemidang yang
dijulang para penunjuk perasaan di hadapan Bangunan SUK, baru-baru ini.
Foto tiga ekor babi yang setiap satunya tertulis perkataan DAP, PKR dan
PAS dipaparkan melalui baner. Babi yang ditulis perkataan PAS ditunggang
oleh seorang Arab Badawi - mengingatkan kita tentang Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi yang pernah mengetuai jawatankuasa bertindak isu JE
(Japanese Enphylitis), Bukit Pelanduk, Port Dickson (yang menyaksikan
puluhan ribu babi dihapuskan kerana dikesan membawa virus JE).

Para pemimpin Umno Selangor juga mendakwa projek ternakan babi secara
moden itu sebagai 'hadiah' kerajaan Pakatan Rakyat kepada rakyat.

Malah, Utusan Malaysia dalam laporannya cuba memburuk-burukkan Kelantan
dengan mendakwa negeri tersebut mempunyai ladang babi ketiga tertinggi
di Malaysia (151 ladang) di belakang Pulau Pinang (227) dan Perak (152).

Akhbar yang sama bagaimanapun tidak mendedahkan statistik ladang babi di
negeri-negeri dikuasai BN khususnya Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagaimanapun statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menunjukkan
Kelantan hanya mempunyai 682 ekor babi yang semuanya diternak di
belakang rumah oleh penduduk-penduduk Siam-Buddha di jajahan Tumpat.

Soalnya, dari manakah statistik ladang babi Kelantan itu diperolehi
Utusan? Dan mengapakah maklumat palsu itu diwar-warkan jika bukan
bertujuan mengocak sentimen pembaca?

Apa yang pasti para penduduk di daearah Sepang dan Hulu Langat perlu
diberikan penjelasan sebenar berhubung isu ini. Amat malang jika
penduduk menjadi mangsa percaturan politik pihak-pihak tertentu yang
dihinggapi sindrom hilang kuasa.

Isu yang perlu difahami para penduduk berkaitan cadangan projek tapak
penternakan babi moden di Ladang Tumbuk, Hulu Langat adalah:

* Ia adalah pelaksanaan konsep peladangan babi moden (MPF) yang
diputuskan kabinet Kerajaan Pusat BN pada Julai 2007. MPF mempunyai
empat kriteria iaitu ladang tertutup; mempraktikkan pengolahan sisa
buangan sifar (zero discharge); membangunkan infrastruktur yang baik dan
mencukupi untuk ternakan; dan menetapkan kuota untuk pengeluaran babi.

* Ia adalah projek MPF yang telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi
Selangor (MTES) pada 9 Februari 2008; di saat kerajaan negeri masih
ditadbir BN.

* Pelaksanaan projek telah mendapat persetujuan wakil-wakil penduduk
kampung Ladang Tumbuk yang telah melakukan lawatan kerja ke Jerman
bersama bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

* Projek bernilai RM100 juta ini bukan bertujuan menambah kapasiti dan
keluasan ternakan babi, sebaliknya erperanan memusat dan mengawal
penternakan babi di daerah Sepang dan Hulu Langat.

* Tiada lesen baru ternakan babi akan dikeluarkan kerajaan negeri
selepas projek ini terlaksana.

* Najis dan sisa kumbahan babi dari ladang akan dikumpulkan dalam satu
takungan bercampur sisa rumput, yang kemudian menghasilkan bio-gas
untuk menjana kuasa elektrik bagi keperluan ladang.

* Tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan
ladang sekaligus membanteras pencemaran air, bau dan alam sekitar yang
kini dialami penduduk.

* Projek seluas 119 ekar itu tidak dibiayai kerajaan negeri sebaliknya
dibiayai penternak. Sebagai contoh, para pengusaha ladang dikenakan bon
sebanyak RM40 juta untuk membiayai kos pengambilan tanah.

Sehubungan itu isu berhubung projek penternakan babi moden ini perlu
difahami dan diteliti sungguh-sungguh oleh pihak-pihak terbabit.

Rundingan dan pandangan daripada masyarakat setempat perlu bagi
memastikan projek yang dirancang mampu menyelesaikan masalah peninggalan
kerajaan BN ini.

Di masa yang sama, media massa dan para pemimpin Umno negeri perlu lebih
bertanggung jawab dengan tidak memainkan sentimen masyarakat.

Kegagalan kerajaan negeri BN di Negeri Sembilan dan Melaka dalam
mengawal penternakan babi perlu dijadikan iktibar.

Amaran Yaakob bahawa kerajaan negeri tidak teragak-agak mendedahkan
dokumen rasmi berhubung projek yang telah diluluskan MTES pada 9
Februari lalu perlu diberi perhatian serius pemimpin Umno negeri.

Jangan jadi bagai meludah ke langit terkena batang hidung sendiri
ataupun menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Mungkin Karam Singh Walia punyai perumpamaan yang lebih baik bagi
mengulas isu babi dan BN ini?


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: