Thursday, March 18, 2010

Projek 'mee segera' Umno, ibu bapa bimbang keselamatan pelajar

KUALA TERENGGANU, 15 April (Hrkh) - 'Sudah terang lagi bersuluh'
begitulah ungkapan yang wajar diberikan terhadap kesilapan serta
penyelewengan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dari tahun 2000
hingga 2004 lalu.

[Image] Kesemua projek-projek yang menggunakan kaedah Perundingan
Pengurusan Projek (Projek Management Consultant, PMC) di bawah
Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) di Terengganu tidak selamat.

Ini kerana, bangunan sekolah dan dewan di bawah kendalian PMC merupakan
projek 'mee segera' khusus diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang
terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pemimpin Umno
Terengganu ketika negeri ini diperintah oleh kerajaan PAS.

Kerajaan pusat ketika itu di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir bertindak merampas hak Terengganu mendapat royalti
Petroleum semata-mata kerana PAS memerintah tahun 1999 hingga 2004.

Peruntukan dana khas (wang ehsan) yang diambil dari hasil royalti itu
disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) melalui Umno
negeri bagi menguruskan kesemua projek-projek pembangunan termasuk
pembinaan sekolah, dewan dan pagar di Terengganu.

Kini, berpuluh-puluh buah sekolah dan dewan di bawah kendalian PMC
tanpa pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dianggap tidak selamat serta
mengancam keselamatan nyawa ribuan para pelajarnya.

Kes terbaru, Sabtu lalu sebuah Dewan Serbaguna bernilai lebih RM2 juta
di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai, Marang yang siap dibina
tidak sampai empat tahun ranap secara tiba-tiba pada jam 8.30 malam.

Bangunan dewan tersebut siap dibina tahun 2004 dan mula digunakan pada
tahun 2005 itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno
Terengganu.

Sumber Harakah memaklumkan runtuhan itu dipercayai akibat struktur pada
kekuda sendi bumbungnya tidak kukuh serta menyebabkan ianya tidak mampu
menampung berat atap genting berkenaan.

Berikutan itu, satu notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran
Negeri Terengganu (JPNT) terhadap semua bangunan sekolah dan dewan yang
dikendalikan oleh PMC serta merta selama satu bulan.

[Image] Tinjauan Harakah menemui ibu bapa serta orang ramai mengenai
isu tersebut yang melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan nyawa
anak-anak mereka.

Abdullah Said, 55, dari Kampung Wakaf Tapai terkejut dengan tragedi
keruntuhan dewan serbaguna SMK Wakaf Tapai itu.

Katanya, bimbang kerana waktu itu para pelajar sekolah berkenaan sedang
mengikuti kem selama tiga hari termasuk anaknya.

"Alhamdulillah, syukur anak saya dan semua pelajar terselamat dalam
kejadian bumbung dewan runtuh Sabtu lalu.

"Apa akan terjadi jika waktu itu semua pelajar berada dalam dewan dan
bumbung itu runtuh menimpa mereka," ujarnya.

Menurutnya, ketika kejadian tidak berlaku ribut atau angin kencang yang
boleh menyebabkan bangunan itu runtuh.

Sementara itu, Aminah Yasin, 48, mahukan agar pihak berwajib segera
menyiasat punca kejadian yang membahayakan nyawa para pelajar serta
mendakwa pihak kontraktor tersebut.

"Kami (ibu bapa) mahu kerajaan siasat segera dan dakwa pihak kontraktor
yang buat dewan itu kerana telah membahayakan nyawa anak-anak kami,"
ujarnya.

Katanya, pihak kontraktor hanya fikir untung tanpa memikirkan tahap
serta mutu keselamatan bangunan yang dibina itu.

Dalam pada itu, Azman Razak, 43, dari Bukit Sawa yakin berlaku
menyelewengan tertentu yang menjadi punca struktur bangunan tidak
kukuh.

Katanya, kajian perlu dilakukan terhadap mutu serta bahan yang
digunakan mengikut piawaian JKR atau hanya keuntungan pihak kontraktor.

"Kami mahukan siasatan terperinci dengan mutu bahan binaan yang
digunakan dan saya yakin tentu ada penyelewengan di pihak kontraktor
atau di peringkat PMC itu," ujarnya.

Sebelum ini, katanya pernah berlaku kejadian yang sama melibatkan
keruntuhan bangunan makmal komputer di beberapa buah sekolah di
Terengganu.

Ketika kejadian, sebahagian pelajar tingkatan empat dan lima sekolah
berkenaan sedang mengikuti kem selama tiga hari yang diadakan di sekolah
tersebut namun mereka terselamat kerana pada waktu itu para pelajar
terbabit berada di kelas masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi
dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan dewan
SMK Wakaf Tapai itu dibina menggunakan kaedah PMC.

"Saya telah minta pihak JPNT mengenal pasti setiap sekolah di negeri
ini yang terlibat dengan pembinaan PMC kerana projek PMC tidak dipantau
oleh Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR).

"Dewan ini (SMK Wakaf Tapai) antara yang disenaraikan dibina
menggunakan kaedah PMC," jelasnya pada sidang media di pejabatnya,
semalam.

Sebelum ini, Harakah pernah melaporkan tentang keretakan pada bangunan
dewan berkenaan tahun lalu tetapi tidak mendapat perhatian pihak
berwajib bagi mengatasi masalah tersebut. - mks.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: