Thursday, October 22, 2009

Sultan Muhammad Al Fatih (Muhammad The Conqueror)

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH

Sabda Rasulullah saw ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople
(kini
Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik
raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera��"

Hadis riwayat Imam Ahmad

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut.
Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di
antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan
Abbasiyah dan 2 kempen di zaman
Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang
sahabat
besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di
bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila
ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,

"Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang
akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan
Constantinople". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan
Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang
tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda
dan
tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik
tentera" di dalam Hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki
- Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah
bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai
"sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan
gelaran
Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya
membebaskan
Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30
tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan
panglima
tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat
pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda
mangkat diracun.


PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu. Di dalam
bidang
keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari
keturunan
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra.

Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,
memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di
zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin,
Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad
II,
dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah
melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah.
Dalam
usia semuda ini Baginda telah matang di dalam menangani tipu helah musuh.


KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina
Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat
batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut
sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan
kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu
berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.


PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda
juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta
berbincang
dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai
untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar
yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5
batu
dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling
sempit.
Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia
yang telah dibina oleh nindanya iaitu Sultan Bayazid Yildirim dahulu.
Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.

Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk
memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang
bagi
membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu
Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat
berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat
di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian
alam.


MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada
Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan
kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota
tersebut
hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi
dinding tengahnya masih teguh.


Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih
tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera
Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi
dinding tengah kubu mereka.


Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata
dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk
menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat
tentera
Bizantin.


Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan
kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn.
Ini
adalah hasil kebijaksanaan Baginda menarik kapal-kapal ke atas gunung dan
kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini
diakui
sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia
oleh para sejarawan Barat sendiri.

Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam
Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil
kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya
serta
mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa
kepada Allah swt.


Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan
tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak
Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya
berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah
menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada
saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya,

"Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang
mahu
syahid ikutlah aku!".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera
membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera
Islam
di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh.
Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan
pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.


Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda
menukar
namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan)

Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan
tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur.
Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang
menang.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa
yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk
dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga
sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada
seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini
pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada
tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga
ke
saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila
duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih
sendiri.
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan
Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al
Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah
saw di dalam Hadisnya itu.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: