Thursday, October 22, 2009

Semangat Dato Ishak Baharom Bersama Kita

Semangat Dato Ishak Baharom Bersama Kita

Semalam saya dikejutkan dengan satu sms dari Ust Dr Mohd Ali Jamil
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Wilayah Persekutuan yang memaklumkan tentang
perginya ulama yang kita sayangi Dato Ishak Baharom kira-kira jam 3.05
petang hari Rabu 30 Jan 2008 bersamaan 21 Muharam 1429.

Ayahnya Haji Baharom bin Jaafar , berketurunan Banjar, berasal dari
Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji
Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Beliau
mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Datin Hajah Maznah bte Yusuf yang
berasal dari Manung, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan ini, mereka
dikurniakan 3 orang anak.

Dato Ishak Baharom bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935
- 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan
persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran
di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai ,
Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Kali pertama penulis bertemu dengan beliau kira-kira tahun 2002 yang
lalu dalam satu ceramah agama di Parti Warijo,Sri Medan Batu Pahat dan
selepas itu beberapa kali bertemu dalam ceramah-ceramah beliau sekitar
Johor Bahru, Kulai, semasa Muktamar dan Munaqasyah PAS.

Tidak disangka-sangka rupanya tarikh 29 Disember 2007 adalah tarikh
terakhir saya bertemu dan bersalam dengan beliau dalam taklimat Isu-Isu
Semasa dan Pilihanraya oleh Dato Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang di Markas
PAS Pusat Tmn Melewar.

Dalam taklimat itu, peserta membangkitkan ulama yang turun ke jalan raya
sebagai cetusan semangat peserta demontrasi aman yang dijawab oleh Naib
Presiden PAS Hj Mohamad Sabu secara berseloroh sekiranya polis menangkap
Dato Ishak Baharom orang ramai akan naik semangat dan marah berlawanan
sekiranya yang ditangkap itu Saudara Mat Sabu polis tidak ada rasa takut.

Itulah dia tokoh ulama yang berani, dipecat oleh kerajaan UmnoBN
Selangor akibat bersuara lantang pada tahun 1997 ekoran isu tangkapan
peserta ratu cantik yang beragama Islam.

PAS negeri Selangor kali ini mesti menawan negeri Selangor demi untuk
melihat impian Dato Ishak Baharom tercapai dalam menegakkan daulah Islam
di negeri Selangor dan seluruh Malaysia amnya.

Dibawah ini adalah wawancara antara Sdr Ahmad Zain selaku pengarang
Majalah Tamadun yang sudah dihentikan penerbitannya dengan Dato Ishak
Baharom suatu ketika dahulu.

Semoga Roh Bekas Mufti Negeri Selangor Dato'Haji Ishak bin Baharom ini
ditempatkan bersama para nabi dan syuhada di syurga nanti. Semangat
beliau tetap bersama kita...

TAMADUN: Apa kegiatan Dato' setelah tidak lagi memegang jawatan Mufti
Negeri Selangor?

DATO' ISHAK BAHAROM: Semenjak disarakan pada penghujung 1997, saya terus
melibatkan diri dalam dakwah, dengan berceramah dan lain-lain yang
berkaitan dengan dakwah. Patut diingat bahawa persaraan saya pun akibat
daripada dakwah. Sebagai seorang kakitangan kerajaan; dalam ceramah dan
dakwah kita memperkatakan tentang kebenaran. Ia adalah satu perkara yang
mesti sentiasa ditonjolkan. Dengan itu ada pihak yang terkena dan tidak
menyenangkan pihak pemerintah, sehingga saya pun disarakan. Dalam ucapan
perpisahan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) saya mengatakan bahawa
saya akan terus berdakwah; kerana dakwah telahpun menjadi darah daging
saya. Jadi sehingga hari ini saya terus berdakwah, sebagai pendakwah
bebas.

Apakah Dato' menerima jemputan, dan di manakah Dato' berceramah
berikutan larangan pihak kerajaan pada masa ini?

Alhamdulillah, sebenarnya boleh dikatakan saya tidak cukup masa untuk
memenuhi undangan. Saya berdakwah melalui ceramah ini boleh dikatakan ke
seluruh negara. Walaupun ada larangan, tetapi dakwah ini adalah satu
tuntutan dan dikehendaki oleh kebanyakan orang yang mencintai agama. Jika
tidak boleh, mereka akan mencari jalan supaya dapat diadakan juga.
Walaupun ada orang yang tak hendak, tetapi pada masa yang sama ramai yang
mahu mendengar ceramah-ceramah dakwah ini. Suka saya memetik kata-kata YB
Dato' Ismail Kamus yang mengatakan apabila seseorang itu digam maka dia
akan menjadi lebih laku.

Pada pemerhatian Dato', apakah masalah sosial di Selangor yang perlu
diselesaikan segera?

Pada masa saya masih menjadi Mufti dahulu, saya dapati memang banyak
masalah sosial di negeri ini. Selangor adalah negeri yang termaju di
Malaysia selepas Wilayah Persekutuan. Masalah keruntuhan moral telah saya
senaraikan, terutamanya di Lembah Kelang dimana para remaja mencari rezeki
di kilang-kilang, samada kilang Jepun, Korea ataupun Amerika.

Saya dan kakitangan ketika itu, seperti para penguatkuasa, membuat
kajian permasalahan ini beberapa tahun. Saya senaraikan pelbagai masalah
yang timbul. Saya dapati banyak maksiat seperti khalwat, perzinaan, buang
anak, minum arak, berjudi, rasuah dan lain-lain menjadi-jadi. Antaranya
juga, maksiat hebat berlaku di kalangan anak-anak remaja Melayu yang
menyertai pertandingan ratu cantik, yang mendedah aurat.

Mereka berpakaian sehingga tiga suku telanjang, dan disaksikan oleh
segala bangsa. Kalau yang menontonnya mereka yang sudah berumahtangga,
akan bangkit nafsu, dan apabila pulang ke rumah mungkin dapat
diselesaikan masalah naluri manusia itu. Tetapi jika berlaku pada remaja,
dan terangsang, ke mana mereka akan pergi? Mungkin ke tempat pelacuran.
Atau jika pekerja kilang, mungkin akan timbullah pelbagai masalah sosial.

Jadi pada saya itu adalah keutamaan yang saya lakukan di JAIS. Tetapi
jika yang itu pun telah 'tersangkut', program yang diatur sehingga tujuh
atau lapan perkara lagi turut tertangguh. Maka maksiat pun terus berlaku
dan ada di antaranya semakin berkembang dan menjadi-jadi. Hatta apabila
dia (Perdana Menteri) mengistiharkan negara Islam pun, ia masih terus
berlaku. Jadi pada saya jika mereka mengistiharkan negara Islam, tetapi
perkara itu leluasa berlaku, ia samasekali sungguh tidak sesuai.

Dalam konteks negara kita, jika mahu dikatakan negara Islam apakah
perkara yang paling utama patut diperhati atau diberi keutamaan?

Saya setuju dengan pandangan Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang
mengatakan jika mahu dianggap negara kita sebagai negara Islam,
perlembagaannya mestilah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Itu yang
nombor satu. Kemudian barulah disebut perkara lain, seperti yang diisukan
(orang politik) pada masa ini. Jika ketua negara orang Islam, ada masjid,
ada sekolah agama dan sebagainya, tetapi perlembagaannya bukan
berdasarkan Islam, ia sepatutnya menjadi persoalan pokok; tidak
sebagaimana hari ini dimana kita masih lagi menggunakan perlembagaan
Barat yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Hadith.

Jika mahu kata kita negara Islam, nombor satu sekali dari segi
kemungkaran, itu patut dibersihkan dahulu. Jika kita mendakwa negara kita
negara Islam, tetapi kemungkaran dan kemaksiatan masih berlaku dan
kadang-kadang dianjurkan oleh pemerintah sendiri...

Dato' maksudkan perkara-perkara seperti menutup aurat...

Tentang menutup aurat, nampaknya kehidupan mereka (pemerintah) sendiri
tidak mencerminkan apa yang dikehendaki al-Quran dan al-Hadith. Apabila
kita menegur supaya mereka mengamalkan sebagaimana yang dikehendaki
agama, mereka sebaliknya menuduh ulamak ekstrim, puak pelampau; sedangkan
kita tidak menambahkan hukum-hukum Tuhan walaupun sejengkal. Mereka
menuduh macam-macam.

Apabila kita tidak ikhlas mahu melaksanakan hukum Islam, saya takut
akhirnya kita membuat perkara yang mencemarkan nama Islam pula. Kerana
apabila orang luar memandang apa yang berlaku di negara kita, mereka akan
terkeliru. Ambil sahaja contoh, al-Quran dan al-Hadith melarang keras arak
dan perjudian. Tetapi di negara kita premis-premis perjudian semakin
bersemarak. Orang tahu bahawa di negara kita terdapat tempat judi
terbesar di Asia Tenggara.

Jika kita kerajaan Islam sebenar, ini adalah dua perkara yang menjadi
musuh Islam. Rasulullah s.a.w berkata bahawa arak merupakan sumber atau
ibu kepada kemaksiatan. Apabila terdapat ibu, maka ia akan beranak-pinak,
bercucu dan bercicit. Apabila arak menjadi kemegahan, pelbagai maksiat
akan berlaku, perzinaan berlaku dan apa-apa kemaksiatan akan berlaku.

Jika kita ambil contoh di Kelantan dan Terengganu, dimana tempat-tempat
arak itu disediakan di tempat-tempat tertentu untuk orang bukan Islam,
dan melarang orang Islam mendapatkannya...

Ya, jika belum boleh diharamkan, kita letakkan di tempat-tempat terhad
untuk orang bukan Islam. Jika terdapat orang Islam yang minum arak,
mereka hendaklah dihukum berat. Sudah 44 tahun kita merdeka, premis arak
dan perjudian masih berleluasa. Keinginan untuk 'mengecilkan' arak dan
perjudian nampaknya tidak ada.

Baru-baru ini terdapat komen di media massa, kononnya negara kita
termasuk di antara dua negara Islam termaju, selain Turki. Apakah Dato'
dapat kesan kemajuan di Turki, sebagai perbandingan?

Kemajuan sepatutnya diukur dengan ukuran Islam. Orang Barat memandang
kemajuan itu dengan kacamatanya. Jika kita menurut Barat; kemajuan yang
didewa-dewakan itu adalah ukuran mereka, yang batil. Kita biasa mendengar
di Barat dan Jepun yang dikatakan maju itupun berlaku banyak bunuh diri.
Pada saya pengiktirafan yang dibuat oleh Barat ini kita katakan ada udang
di sebalik batu. Ada tujuan tersembunyi. Mereka mahukan Islam cara mereka,
Islam yang longgar di sana sini. Di Turki parti Islam tidak dibenarkan.
Bahkan seorang ahli parlimen yang menutup aurat dilarang memasuki
parlimen. Inilah yang disukai Barat dan dikatakan mereka sebagai
kemajuan.

Jadi tujuannya ialah supaya Barat dapat mengawasi kemajuan Islam dan
dapat memperkudakan kita menurut kemahuannya..

Ya, mereka memang tidak menyukai ulamak yang benar-benar mahukan Islam,
umpamanya menyekat kemungkaran dan kemaksiatan yang jelas bertentangan
dengan Islam. Tentang kemajuan kita tidak ada pilihan lain, kita bukan
membuta tuli atau fanatik.

Jika kita percayakan Allah, beriman dengan rukun iman dan kita hidup
dengan peraturan Islam, akan dapat mengembalikan kegemilangan tamadun
Islam. Ia terbukti baik di bidang apa sekalipun - ekonomi, pendidikan
atau politik. Mahu tidak mahu jika ambil cara hidup atau peraturan Islam,
kita akan dapat kejayaan dunia dan akhirat.

Bagaimana dengan tudingan bahawa orang mengaji agama militan dan
pelbagai istilah lagi?

Pada zahirnya saya nampak ulamak-ulamak dipersenda dan dihina, nampak
macam dia sakit hati pada ulamak. Kemudian dia menyentuh perkara
berkaitan Islam seperti sekolah pondok, sekolah Arab dan
kegiatan-kegiatan keagamaan seperti usrah dan tazkirah, tetapi
disentuhnya dengan cara yang negatif dan tidak menyenangkan hati.
Hinggakan kes Black Metal baru-baru ini pun disalahkan para ustaz,
kononnya tidak mengajar agama dengan betul. Kononnya para ustaz mengajar
membenci pemimpin dan membenci kerajaan. Sedangkan perkara-perkara itu
tidak wujud.

Mengapa tuduhan begitu berlaku?

Ustaz atau guru-gura agama kadang-kadang menerangkan maksud ayat yang
mengatakan perbuatan yang begini tidak betul dan bersalahan dengan
kehendak agama. Barangkali secara kebetulan kesalahan itu dibuat oleh
pihak tertentu. Jadi mereka pun mengatakan para ustaz anti kerajaan.
Sebenarnya mereka yang kepanasan seolah-olah terkena diri sendiri. Apa
sahaja yang dibuat golongan agama jadi serba tidak kena.

Contoh terbaru apabila ada pelajar kita belajar di negara Pakistan.
Ketika itu negara Afghanistan sedang hebat berperang dengan kuffar
Russia. Ada sedikit pelajar kita yang berjihad bersama-sama tentera
Afghanistan menentang Russia. Tetapi pada hari ini mereka pula dilabel
dengan pelbagai label buruk. Sebagai orang Islam, di mana sahaja orang
Islam ditindas atau dizalimi, maka wajib bagi kita memberi sumbangan atau
dalam isu Afghaniastan/Amerika ini dipanggil jihad, berdasarkan hadith
yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang Islam sehingga dia
mengasihi saudaranya sebagaimana dirinya sendiri".

Mengenai konsep jihad, apa pandangan Dato'?

Di mana ada Islam di situ harus ada jihad. Tetapi hari ini perkataan itu
secara tiba-tiba menjadi perkara buruk dan salah. Padahal Islam mengajar
jika orang Islam di muka bumi ini dizalimi, ditindas, kita kena tunjuk
simpati dan buktinya sekali. Bukan sebaliknya. Apabila mereka pulang ke
tanahair, mereka dituduh terlibat dengan gerakan militan dan ditangkap,
dan tidak di bawa ke mahkamah.

Sepatutnya mereka dibawa ke mahkamah untuk diadili. Tetapi apa yang jadi
sekarang, mereka ditahan di bawah ISA..Pada saya dan pada orang yang
beriman, ISA ini adalah satu kezaliman. Apatah lagi kita mengaku negara
Islam, tetapi ISA masih berjalan. ISA tidak boleh berhimpun dengan Islam,
kerana mereka menahan orang tetapi tidak boleh ditanya sebabnya, kerana
tiada perbicaraan mahkamah.

Seorang Islam itu lahir dalam keadaan suci, dan membesar dalam keadaan
suci. Apabila kita menuduhnya seperti perompak atau pembunuh, haruslah
dikemukakan saksi yang lengkap, yang cukup membuktikan bahawa dia seorang
perompak atau seorang pengganas. Kalau tidak ada bukti, atau bukti itu
meragukan, mengikut undang-undang Islam ia dibuang kes.

Kita kena kekalkan seseorang itu dalam keadaan bersih sebagaimana
asalnya. Tetapi ISA tidak memberi peluang seseorang itu membela diri. Ini
juga secara tidak langsung menggalakkan orang untuk menuduh
sewenang-wenangnya seseorang yang belum tentu bersalah. Mereka boleh
menuduh sembarangan dan menangkap sesiapa sahaja yang disyakki. Apakah
kerajaan suka sekiranya rakyatnya bersikap begitu? Contohnya kes Datuk
Sri Anwar Ibrahim (DSAI). Pada asalnya kita katakan beliau adalah
'seorang yang bersih dan suci'. Dia dituduh berzina dan meliwat.
Sepatutnya hendaklah didatangkan bukti yang sahih.

Dan jika kita mengatakan bahawa kita mengamalkan Islam, bawalah kes DSAI
ini ke mahkamah syariah. Saksi-saksinya hendaklah mengikut kehendak Islam.
Tidak boleh didatangkan saksi upahan, orang fasik. Orang yang mendatangkan
keraguan tidak boleh ditampilkan. Ia nampak sangat bercanggah dengan
kehendak Islam. Ia adalah satu penganiayaan dan kezaliman.

Boleh kita sentuh sedikit tentang hukum hudud dan lain-lain yang
berkaitan?

Pada saya jika kita tidak tahu jangan kita persenda-sendakan atau
memperolok-olok hukum Tuhan. Allah berfirman yang bermaksud bahawa
seseorang yang beriman itu apabila Allah dan Rasul menghukum begitu atau
begini, maka tiada pilihan lain baginya, itulah hukum yang
sebaik-baiknya.

Antara ciri sebuah negara Islam ialah mengutamakan bahasa Arab.
Bagaimana penggunaannya di negara kita?

Bahasa Arab yang berkaitan dengan al-Quran patut digalakkan dan
dipertingkatkan, baik di pondok, sekolah rakyat atau sekolah kerajaan.
Sebuah negara Islam wajib memberikan galakan atau sokongan untuk orang
mendalami bahasa ini, kerana secara tidak langsung menggalakkan orang
memahami kandungan al-Quran. Tetapi yang saya tengok, apabila sesebuah
sekolah rakyat dikatakan hendak dipertingkatkan oleh kerajaan, pelajaran
agamanya semakin lama semakin tirus (mengecil). Jadi banyak sekolah agama
rakyat yang ragu-ragu untuk menyerahkan kepada kerajaan.

Apa komen Dato' terhadap keadaan masjid kita yang dikawal ketat oleh
kerajaan dan parti yang memerintah?

Saya dapati semakin hari semakin hilang fungsi masjid sebagai pusat
penyebaran ilmu pengetahuan agama. Hari ini masjid mengenakan pelbagai
syarat untuk mengadakan kuliah agama. Saya percaya semakin lama ia akan
semakin memalapkan masjid. Akhirnya orang awam semakin lama semakin jahil
dan penakut, kerana pensyarah atau guru agama tidak dapat menerangkan
agama, umpamanya apakah erti jihad mengikut al-Quran dan al-Sunnah?
Kepimpinan cara Islam itu bagaimana? Hukuman hudud itu sebeanaranya
bagaimana dan sebagainya.

Sudah ramai yang tidak minat lagi mengikuti kelas-kelas agama. Jika ada
kuliah agama pun balik-balik berpusing tentang ibadat sahaja; tentang
sembahyang, puasa, zakat, haji. Jika ada sedikit mahu bercakap tentang
undang-undang hudud, akan keluar arahan mengatakan ia salah dan tidak
boleh atau dilarang. Ini menyebabkan ilmu tidak berkembang.

Jadi mereka mahukan Islam dalam bentuk mana?

Saya teringat kata Rasulullah s.a.w bahawa apabila tiba akhir zaman,
Islam tinggal pada nama, al-Quran tinggal pada tulisan sahaja.
Masjid-masjid tersergam indah tetapi penghayatan atau pemakmurannya
tiada. Ini sangat membimbangkan kita. Sedangkan Rasulullah pernah
sifatkan bahawa majlis-majlis ilmu di masjid itu sebagai 'taman syurga'.
Tetapi sekarang 'taman syurga' ini hendak disempit dan disekat-sekatkan.
Bila hendak diadakan ceramah, kena mohon permit. Ia bercanggah dengan
kehendak Allah dan Islam.
Saya suka mengingatkan apa yang dikatakan Allah dalam Hadith Qudsi yang
bermaksud: "Barangsiapa memusuhi ulamak-Ku maka Aku isytiharkan perang
terhadap mereka." Ini yang menakutkan kita. Kita berperang dengan peluru,
tetapi Tuhan memerangi dengan mala petaka. Kalau kita tengok, mala petaka
silih berganti berlaku di negara kita - daripada jerebu, penyakit
menyerang binatang, virus JE, ekonomi merudum dan pelbagai lagi. Tidak
habis-habis silih berganti, akibat menyerang dan menghina ulamak. Tanpa
ulamak, orang ramai akan buta agama dan buta al-Quran. Kenapa mahu
menghina dan memperlekehkan ulamak!

Akhir sekali, mengapa DAP takut dengan negara Islam yang dicadangkan
PAS?

Sebenarnya kita sendiri belum dapat menjelaskan Islam dan negara Islam
sebenar kepada bukan Islam, tentang keindahan atau keadilan Islam, dengan
lisan dan amalan, sebagaimana dakwah itu dikatakan bil lisan wa bil hal.
Kita perlu tunjukkan macamana keindahan dan keadilan Islam. Peluang
memang ada, tetapi pemerintah yang sedia ada hanya mencari keduniaan
semata-mata. Sedangkan mereka sudah 44 tahun berkawan dengan orang Cina
dan India melalui politik.

Ini apa yang berlaku ialah orang Islam juga yang menakut-nakutkan orang
bukan Islam, seperti kata mereka "ini hudud PAS" atau "jika dipakai
undang-undang Islam banyak orang yang kudung tangan dan banyaklah tangan
hilang". Sedangkan dengan mengamalkan hukum hudud, negara akan menjadi
aman.

Saya menyeru kepada mereka supaya kembali kepada Islam yang syumul,
bukannya mengambil sebahagian sahaja. Jika kita mahukan kebahagiaan dan
keadilan sebenar, kita kena mengambil Islam kesemuanya. Jika kita
mengambil separuh-separuh, ibarat membuat kek yang sedap dan bahannya
begini begini sehingga 12 bahan, tetapi kita tidak mahu mengambil semua,
kita ambil 7 atau 8 bahan sahaja, tentulah tidak rasa sedap sebagaimana
yang diharapkan, kerana kita tidak mengambil ramuan keseluruhannya. Siapa
yang bersalah?

Sumber : Jundullah


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: