Thursday, October 22, 2009

Haron Din: Apabila hukum Allah diketepikan

Dec 03, 2007

Penyelewengan hukum-hukum Allah dilakukan orang-orang terdahulu seperti
umat Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. dengan mengubah agama Allah. Apakah
umat Nabi Muhammad s.a.w. juga berlaku seperti itu iaitu mengubah agama
Allah melalui al-Quran yang diturunkan kepada mereka, dengan mengubah
hukum-hakam-Nya? Bolehkah Dato' jelaskan sejauhmanakah ia berlaku dan
apakah kesannya kepada akidah ummah. - Umar Farouk, Bukit Rahman Putra,
Sungai Buloh

Jawapan | Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan,
pindaan dan perubahan.


Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa
penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras
dengan firman-Nya (mafhum): "...Oleh itu janganlah kamu takut kepada
manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu
menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,
maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44)


"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang
memeliharanya dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9)


Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga
ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan.


Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya
daripada penyelewengan.


Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur
cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan
menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian.


Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan
at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap
ikan pada hari Sabtu.


Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari
Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring
pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring.


Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke
darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari
Sabtu.


Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan.


Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka
hati mereka.


Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil
harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang
tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi.


Zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi.


Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan
Yahudi.


Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan.


Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab
dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan
amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada
beberapa puak.


Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan
menyalahkan amalan puak yang lain.


Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di
kalangan umat Islam, khasnya yang terkini.


Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan
menjaga al-Quran itu dengan baik.


Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum
Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.


Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia
diketengahkan.


Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan.


Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di
kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan.


Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri,
merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang
memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman
undang-undang ciptaan manusia.


Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum
yang ditetapkan Allah.


Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia
yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.


Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut
dengan hukum Allah.


Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia,
didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.


Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman
manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan
meminda ketetapan Allah.


Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama
Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum
mereka, selain daripada hukum Allah.


Firman Allah (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di
antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...(hingga akhir ayat)." (Surah
al-Maidah, ayat 49)


Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar
melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran.


Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23),
Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22
dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10).


Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan,
khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan
diselewengkan hukum tersebut.


Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan
hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang
hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka.


Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang
perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat
lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta
dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus.


Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): "...Oleh itu
siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat
keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang
yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang
seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya)."
(Surah al-An'aam ayat 157)


Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau
meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan
menempuh azab Allah. Wallahua'lam.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: