Wednesday, October 21, 2009

Sejauh mana benarnya pengundi Cina beralih arah?

Nov 26, 2007

Saya sangat tertarik dengan dua rencana dalam dua akhbar berbahasa
Inggeris Ahad lepas iaitu Sunday Star dan New Sunday Times. Kedua-duanya
membawa rencana berkenaan pilihan raya umum dan jangkaan trend para
pengundi.

Sunday Star menyiarkan rencana berbentuk forum bertajuk “Shrinking
Chinese votes” dalam ruangan “Cafe Latte Chat” yang dipengerusikan
oleh Pemangku Ketua Pengarang Kumpulannya, Wong Chun Wai manakala New
Sunday Times memaparkan kajian yang dibuat oleh sebuah badan bebas
Merdeka Centre berkenaan trend semasa pengundi-pengundi Malaysia.


Rata-rata kedua-dua rencana ini cuba mengemukakan penemuan bahawa pada
pilihna raya umum kali ini pengundi-pengundi Cina dijangka tidak akan
memberikan sokongan mutlak kepada BN. Faktor penyumbang ke arah sikap
masyarakat Cina ini adalah kerana masalah ekonomi dan kos hidup yang
semakin menekan. Contohnya dalam kajian Merdeka Centre 36% masyarakat
Cina menyatakan yang mereka sama ada bergelut untuk menyara hidup ataupun
menghadapi masalah menanggungnya.


Tren ketidakpuasan ini menurut Joceline Tan dalam rencana Sunday Star itu
lebih tertumpu kepada masyarakat Cina di kawasan-kawasan bandar.


Adakah ini bermakna yang masyarakat Cina di kawasan-kawasan bandar dari
Lembah Kelang ke Lembah Kinta, Pulau Pinang dan kawasan-kawasan bandar
lain akan memilih untuk mengundi pembangkang? Ayunan sokongan sebegini
sesungguhnya bukanlah perkara baru, malah ia pernah berlaku begitu ketara
sekali pada pilihan raya 1969, 1986 dan 1990.


Lalu bagaimanakah dengan pilihan raya umum ke-12 ini? Rencana dalam Sunday
Star turut membicarakan berkenaan penghijrahan besar orang-orang Melayu
dari kawasan luar bandar ke bandar-bandar utama. Bagi ahli-ahli panel
berkenaan, faktor ini akan mengurangkan peluang pembangkang khususnya DAP
dalam memperolehi kemenangan besar di kawasan-kawasan bandar kerana
pengundi-pengundi Melayu di bandar dikatakan lebih condong kepada BN.


Bagi saya kedua-dua rencana ini penting untuk dikaji dan difahami oleh
para penyokong dan pimpinan PAS walaupun ia tidak semestinya 100% tepat.
Menurut Merdeka Centre 42% para pengundi tidak berpuas hati dengan
kemampuan kerajaan BN. Ini walaupun tidak majoriti tetapi sesuatu yang
besar dan perlu dipandang serius.


Saya merasakan ahli-ahli panel dalam rencana Sunday Star itu tidak
mengambil-kira kemampuan pengundi-pengundi Melayu. Mereka seolah
mengatakan yang tidak seperti pengundi-pengundi Cina di bandar,
pengundi-pengundi Melayu di bandar semuanya pro BN belaka. Ini sudah
pastilah tidak benar. Malah dalam pilihan raya umum 1999 terbukti
pengundi-pengundi Melayu di bandar juga telah berani menzahirkan sikap
menentang BN. Pada pilihan raya berkenaan di Selangor contohnya,
pengundi-pengundi Melayu di Lembah Kelang seperti di DUN Gombak Setia,
Hulu Kelang dan Kajang telah memenangkan calon PAS/PKR sesuatu yang tidak
pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Malah di beberapa kerusi Parlimen
Melayu di Kuala Lumpur termasuklah Parlimen Gombak dan Shah Alam,
majoriti calon-calon Umno dari BN berjaya disusutkan dengan begitu
signifikan sekali.


Saya merasakan tidak mustahil kali ini dengan masalah ekonomi dan
kenaikkan kos hidup yang semakin meruncing, ayunan penentangan
pengundi-pengundi Cina terhadap BN di kawasan-kawasan bandar akan
disambut oleh pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan berkenaan yang
pada hakikatnya turut sama teruk terjejas dengan isu-isu berkenaan. Malah
salah seorang ahli panel Sunday Star, Khoo Khay Peng dari Sedar Institute
menyebut bahwa kebanyakkan isu di kawasan-kawasan bandar sebenarnya
merentasi ras kaum, apabila kenaikkan harga barangan menimpa kaum Cina ia
turut dirasai sekali oleh yang Melayu dan India.


Oleh itu gandingan penentangan ini tidak mustahil memberikan kemenangan
kepada calon-calon DAP, PAS dan PKR yang bertanding di kawasan-kawasan
bandar dan di kawasan-kawasan campuran di mana jumlah pengundi Melayu dan
bukan Melayu hampir seimbang.


Saya melihat kawasan Lembah Kelang, melibatkan Wilayah Persekutuan dan
Selangor akan memperolehi limpahan ini. Namun ianya hanya akan datang
dengan beberapa syarat yang perlu dihadam dan difahami benar-benar oleh
jentera pembangkang khasnya PAS sendiri. Saya kira jika kita terjun ke
gelanggang dengan harapan kemenangan maka kita perlu bersedia membuat
beberapa “adjustment” dan berani berkorban.


Paling penting PAS mesti mengemukakan calon-calon yang boleh diterima
masyarakat berbilang kaum. Kita bukan bertanding di Kelantan atau
Terengganu di mana hampir 99% pengundinya adalah orang-orang Melayu,
tetapi kita bertanding kebanyakkannya di kawasan-kawasan campuran.
Calon-calon kita perlulah berkelayakkan di samping memiliki keterampilan
dan PR yang baik.


Inilah masanya untuk menonjolkan calon-calon baru dan muda digandingkan
dengan yang veteran namun dikenali dan disenangi masyarakat. Kepentingan
diri dan jawatan perlu dikorbankan untuk kepentingan parti dan perjuangan
yang lebih besar. Insya-Allah jika kita bijak membuat percaturan dalam
suasana tren yang memihak kepada pembangkang di kawasan-kawasan ini tidak
mustahil PAS dapat membawa kejutan yang besar dalam pilihan raya umum
ke-12 ini kelak. -->


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: