SOALAN: Sering disebut dan diulas dalam majlis ilmu tentang agama-agama
langit, dikatakan ada tiga dan kekal hingga ke hari ini iaitu Yahudi,
Nasrani dan Islam. Soalannya mengapakah agama langit daripada Allah Yang
Satu, berbeza-beza, berlainan antara satu sama lain manakala pengikutnya
bermusuhan sesama sendiri. Mohon Dato' perjelaskan? - MOHD DANIAL HARUN,
Petaling Jaya
JAWAPAN: Agama langit disebut dalam istilah Arabnya, al-adyan
as-samawiyyah, yang bererti agama-agama langit.
Ia adalah istilah keagamaan yang dirujukkan kepada Allah, yang
diturunkan kepada manusia, berasaskan kepada wahyu yang sahih pada
mulanya. Ia diturunkan kepada rasul-rasul yang dilantik Allah, untuk
menerima dan menyampaikan wahyu tersebut kepada manusia tanpa ditokok dan
ditambah.
Mengamal kitab-kitab Allah SWT memang ada perbezaan. Perbezaan dari segi
istilah dan nama yang dimaksudkan kepada sesuatu kitab itu. Seperti Kitab
Zabur, diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. disebutkan Allah dalam Surah
an-Nisa, ayat 163. Manakala Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Allah Musa
a.s. dicatat dalam Surah al-Maaidah, ayat 44.
Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa a.s., dinyatakan dalam
Surah al-Maaidah, ayat 46 dan al-Quranul Karim diturunkan kepada Nabi
Muhammad s.a.w., disebut dalam Surah al-An'am ayat 19.
Memang nama-nama kitab Allah tersebut berbeza, namun inti pati sebenar
daripada kitab itu tidak berbeza. Kitab-kitab itu membawa mesej yang sama
dan yang paling asas adalah semua kitab memperkenalkan Allah sebagai Tuhan
Yang Sebenar, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana yang menjadi
pencipta alam ini.
Dia (Allah) sahaja yang wajib disembah. Allah yang sama tidak pernah
berubah, maka kerana itu wahyu-Nya pada umumnya tidak berubah pada
perkara-perkara pokok. Wajiblah manusia seluruhnya beriman dengan Allah
dengan melaksanakan tuntutan yang wujud dalam kitab-kitab tersebut tanpa
dirubah dan dipinda.
Seluruh Rasul-Rasul dari Adam a.s hingga kepada Muhammad s.a.w, mengajak
manusia beriman kepada Allah Yang Esa, dengan mematuhi perintah-Nya serta
menjauhi larangan-Nya.
Firman Allah (mafhumnya): "Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan
(al-Quran) kepadanya, dari Allah, tuhannya, dan juga orang-orang yang
beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan
kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata) "Kami tidak
membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-Rasul-Nya. Mereka
berkata lagi, "Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan) keampunan-Mu
wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali." (Surah
al-Baqarah, ayat 285)
Semua Rasul disebut Rasulullah. Ertinya mereka semua adalah pesuruh Allah
yang menerima wahyu dan menyamoaikan kepada manusia supaya sama-sama
beriman kepada Allah.
Logiknya, jika semua Nabi dan Rasul dari Allah yang sama, bagaimana
mungkin ajaran mereka beoleh berbeza khususnya pada perkara yang asas?
Sudah tentu, semuanya menyeru manusia beriman kepada Allah Yang Esa,
percaya dengan kitab Allah yang diperturunkan melalui perantaraan
malaikat, iaitu dari Allah mereka datang dan kepada-Nya mereka akan
kembali.
Perbezaan yang ketara dan pertelingkahan antara satu sama lain, yang
akhirnya nampak bertentangan antara agama lain, disebabkan, utamanya
kerana Yahudi menyalahkan Nasrani, Nasrani menyalahkan Yahudi dan
kedua-duanya pula menyalahkan Islam.
Islam pula menolak kefahaman yang dianuti oleh Yahudi dan Nasrani kerana
tidak berpegang teguh dengan keaslian kitab-kitab Allah. Islam menolak
kerana mereka mengubah ayat-ayat suci yang asal dalam kitab mereka.
Apabila agama Allah, khususnya wahyu Ilahi, diubah dan dipinda atau
ditukar dan ditokok atas kehendak manusia, khususnya orang beragama di
antara mereka, maka rosaklah agama Allah. Ia telah mewujudkan
percanggahan antara satu sama lain.
Perihal berlakunya ubah pinda, tokok tambah terhadap agama yang dibawa
oleh Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dikhabarkan Allah dalam
firmannya (mafhumnya): "Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah
Kalamullah (Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan
berkata kepada,"kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati), "kami
tidak akan menurut." (Mereka berkata) "Tolonglah dengar, tuan tidak
diperdengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan) 'raa'ina';
(Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan
mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, "kami dengan
dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami",
tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan
tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu
mereka tidak beriman kecuali dengan iman yang amat tipis." (Surah
an-Nisa, ayat 46)
Perihal tokok tambah dan perubahan yang dilakukan dalam kitab-kitab
(agama) terdahulu disebutkan Allah di dalam al-Quran antaranya Surah
Maaidah (13 dan 41), al-Baqarah (75) dan banyak ayat-ayat lain.
Oleh kerana itu, maka agama-agama sebelum Muhammad dan kitab-kitab mereka
dimansuhkan Allah semuanya dan digantikan dengan al-Quran.
Jika semua sudah kembali kepada al-Quran pastikan kesemuanya akan bersatu
pada prinsip yang benar. Pertentangan yang berlaku antara sesama agama
Allah, sebenarnya pertentangan bukan pada asas yang benar, tetapi kerana
berlaku penyelewengan akibat tidak taat kepada perintah Allah.
Nabi Isa a.s. memberitahu kepada pengikutnya bahawa sebelum beliau, Allah
telah menurunkan Taurah dan Zabur. Jika penganut agama samawi boleh
menerima Taurat, Zabur dan Injil sebagai kitab Allah, mengapa mereka
tidak boleh menerima al-Quran?
Begitu juga mengapa orang Yahudi percaya dan boleh menerima Ibrahim, Musa,
Ayub, Ismail dan Yaakub sebagai Nabi, mengapa mereka tidak boleh percaya
Isa sebagai Rasul? Begitu juga mereka harus menerima Muhammad sebagai
Rasul yang diutuskan Allah.
Inilah pokok yang mustahak untuk saudara fahami, bahawasanya perbezaan
yang wujud adalah kerana sifat manusia yang mengingkari Allah.
Waalhua'lam.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment