Sunday, October 18, 2009

Ketika 'seterika masih panas' dan rakyat ghairah ingin tahu ...

Ketika 'seterika masih panas' dan rakyat ghairah ingin tahu ..
Ahmad Lutfi Othman, 15 Nov 2007

Demonstrasi 10 November lalu, bagi saya, cukup istimewa dan tidak mungkin
dapat dilupakan. Sekurang-kurangnya ia bekalan paling manis bagi
mendepani pilihan raya umum ke-12, yang boleh diadakan bila-bila masa,
meskipun ramai beranggapan bulan Februari 2008. "Hari ini saya rasa lebih
gembira daripada menyambut 1 Syawal baru-baru ini," kata seorang wartawan
yang membuat laporan perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara.
Ia ibarat sebuah kenduri besar, melibatkan begitu ramai petugas dan
menjemput puluhan ribu tetamu, apabila bukan saja aktivis politik dari
seluruh pelosok tanah air membanjiri ibu kota Kuala Lumpur, malah
penggiat NGO, orang awam dan paling manis, anak-anak muda awal 20-an
nampak begitu ceria memeriahkan perhimpunan bersejarah itu.


Siapa bilang orang muda sudah sejuk amarahnya terhadap penyelewengan dan
amalan rasuah sang penguasa? Mereka kelihatan cukup bersemangat, dan anda
silap kalau menjangkakan mereka gentar dengan gertakan Ketua Polis Negara.
Fenomena ini, pada hemat saya, perlu diperhatikan, kerana ia mampu menjana
satu kebangkitan baru, yang silap-silap gaya, boleh mengejutkan Putrajaya.

Ya, segala mehnah - seperti ugutan Abdullah Ahmad Badawi (malunya kita
apabila Perdana Menteri bersikap keanak-anakan meniru lagak menantunya,
Khairy Jamaluddin), sekatan polis, rampasan baju-T kuning, ancaman untuk
ditangkap dan dipenjarakan - dihadapi penuh berani dan yakin diri.


Sengaja mahu menyekat kehadiran
Saya ketawa kecil menatap gambar dalam The Sunday Star 11 Nov yang
memaparkan kesesakan teruk jalan raya, di Sprint Expressway, Petaling
Jaya. Nampak jelas lebuh raya empat lorong mengecut menjadi hanya satu
lorong sedangkan dua anggota polis yang bertugas hanya memerhatikan
sahaja, tanpa membuat apa-apa pemeriksaan, malah tidak pun memandang ke
arah kenderaan yang melalui sekatan.


Seingat saya ada kenyataan pihak polis Kuala Lumpur bahawa antara tujuan
mereka mengadakan roadblock itu adalah untuk mengesan pihak luar yang
mungkin membawa senjata, termasuk mortar! Sedangkan ramai kawan-kawan
yang terperangkap memaklumkan bahawa sekatan polis di segenap penjuru
untuk masuk ibu kota hanya untuk melambatkan pergerakan. Akibatnya,
mungkin 25 peratus yang sudah keluar rumah menuju Dataran Merdeka
terpaksa gigit jari kerana tidak dapat menikmati keunikan petang 10
November, yang mungkin hanya berulang 10 tahun lagi!


Menarik sekali, ya, bayangkan saja, kebanyakan peserta demonstrasi datang
dalam keadaan santai, malah seolah-olah berpesta, sambil membawa keluarga
dan anak-anak kecil, yang kemudiannya masih boleh bergelak-ketawa biar pun
semasa dikejar polis, ditembak meriam air kimia, dan disembur gas pemedih
mata. Hampir tiada ketegangan (diukur dalam standard demo era reformasi
dahulu) meskipun ada yang ditahan dan dibelasah polis.


Manakala cucu penceramah terkenal Pak Yazid Jaafar, iaitu Aleyasak Hamid
mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya
akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak
terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek. (Ini mengingatkan saya
seorang penduduk Kg Memali yang lumpuh, dan seterusnya meninggal dunia,
selepas dipijak di pinggangnya ketika diseret polis dalam tragedi
berdarah 22 tahun lalu).


Menemukan kawan-kawan lama
Lokasi sekitar Dataran Merdeka, Kompleks Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni,
Masjid Negara dan Istana Negara juga menemukan ramai kawan-kawan lama
yang terpisah, selain bersua muka dengan tokoh-tokoh yang jarang dapat
ketemu dalam suasana unik itu. Ramai yang tertanya-tanya siapa pimpinan
yang tidak sempat hadir, bukannya tercari-cari siapa pula yang
memeriahkan pesta demokrasi itu. (Ia bagai menyediakan wadah untuk warga
prihatin dari pelbagai ceruk rantau bertemu wajah, bertanya khabar, dan
ini membantu memperkukuhkan komitmen dalam perjuangan).


Gelombang kuning itu besar maknanya. Kesediaan Agong, melalui wakil
baginda, untuk menerima rombongan Bersih akan ditafsir dalam pengertian
yang begitu luas. Tidak hairanlah tersebar khabar angin tentang hubungan
tegang tentera-polis, mengulangi kisah lama era reformasi dulu, apabila
ada anggota tentera sendiri tertanya-tanya kemungkinan pihak tentera
masuk campur jika perarakan menuju istana dihalang polis. Saya kurang
berminat dengan cerita-cerita seumpama itu tetapi masih sedia menadah
telinga untuk merisik apa sebenarnya yang menjadi bualan dan tanggapan
ramai.


Apa pun tafsiran yang dibuat, yang pastinya, persefahaman dan persepakatan
yang terjalin di antara pelbagai sektor dan lapis masyarakat 10 Nov itu
adalah merentasi kepentingan politik mana-mana kelompok. Ada objektif
lebih besar mahu digapai dan rakyat nampak teruja untuk menggerakkan
perubahan demi kesejahteraan bersama. Cuma, ada yang berpesan agar
pimpinan politik oposisi dapat "membaca" dan "menangkap" segala gerak dan
riak; usah mengambil mudah membuat rumusan untuk "syok sendiri".


Merujuk perarakan raksasa itu, saya kira masyarakat semakin berubah
tanggapan terhadap demonstrasi yang dulunya sering disalahfaham sebagai
rusuhan. Ungkapan "demonstrasi" juga tidak wajar digandingkan dengan
"aman", seolah-olah tanpa disusuli dengan istilah "aman", ia dianggap
perhimpunan untuk mencetuskan "huru-hara" dan ini mengesahkan "kebebalan"
Zam, si Menteri Penerangan itu, yang mahu meracuni penonton RTM bahawa
demonstrasi mesti berakhir dengan keganasan. Sejarah panjang
Umno-Perikatan-BN sendiri menunjukkan demonstrasi juga menjadi kaedah
perjuangan politik mereka.


Semasa melintasi Jalan Raja Laut berdekatan simpang Dataran Merdeka, saya
terlihat dua anak muda mengambil kanister gas pemedih mata yang
bersepah-sepah di atas jalan. "Aku nak tunjukkan pada anak cucu nanti,
kita menjadi saksi pada 10 November 2007, pihak polis bertindak kasar
menyuraikan perhimpunan orang awam yang hanya menuntut pilihan raya
bersih," seorang daripadanya bersuara agak keras, sambil berlari anak
mencari tempat teduh dari hujan. Saya membisikkan kepada sahabat di
sebelah, "tengok, belum berkahwin pun sudah bercakap soal anak cucu!"


Biar pun media cuba menggelapkan detik bersejarah itu daripada dikongsi
oleh khalayak yang lebih luas, malah memberikan gambaran palsu, terutama
tentang jumlah kehadiran, fenomena dunia siber dan kecanggihan teknologi
komunikasi mudah menolak propaganda murahan itu. Wibawa pihak makin polis
merudum apabila lagak dan kenyataan Tan Sri Musa Hassan tidak ubah seperti
menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.


Media alternatif menjadi tumpuan
Pengunjung Harakahdaily misalnya meningkat berkali ganda, bermula
tengahari Sabtu, memuncak sebelah petang dan malamnya, berlanjutan dua
tiga hari selepas itu. Kami yang sejak awal menjangka demo itu menjadi
tumpuan negara, mengerahkan hampir semua wartawan KL, dibantu beberapa
wakil negeri yang turut hadir berdemonstrasi, untuk membuat liputan
"secara langsung". Laman-laman web alternatif lain turut mendapat hits
yang cukup tinggi, malah ada yang tidak mampu menampung jumlah pengunjung
yang meningkat mendadak.


Pemerintah boleh saja terus membohongi pembaca, pendengar dan penonton
media tradisi, namun kebenaran makin sukar untuk disembunyikan. Isu-isu
sensasi (tetapi palsu) seperti "sigah Kristian" dalam kempen pilihan raya
1990 yang menyebabkan impian Tengku Razaleigh Hamzah berkubur mungkin
sukar untuk mempengaruhi pengundi lagi. Seolah-olah nampak senario baru
ini memihak pembangkang; seolah-olah!


Selalunya dalam kempen sesingkat tujuh setengah hari, BN masih mampu
"menyihirkan" pengundi dan rakyat hanya tersedar selepas kerajaan dapat
dibentuk.Menggerakkan satu program besar seperti himpunan 10 Nov menuntut
pengorbanan tinggi, kerja kuat dan perancangan sistematik.


PAS penggerak utama
Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, tidak jauh dari lokasi utama
perhimpinan, umpama bilik operasi, dan kombinasi semua aktivis terbabit,
dalam jumlah yang besar, pasti membawa banyak manfaat bagi mempersiapkan
pembangkang berdepan pilihan raya. Rasanya siapa saja berada dalam
kelompok besar demonstran 10 Nov itu pasti akan mengakui sumbangan besar
PAS bagi menjayakannya, terutama kejayaan menggembleng kekuatan akar umbi
di negeri-negeri.


Sesungguhnya kali ini tiada kedengaran lagi suara sumbang mempersoalkan
kewajaran demonstrasi perlu diangkat sebagai satu pendekatan strategik.
Terbukti tidak berasas kebimbangan di peringkat awal bahawa ada aktivis
memandang sepi ajakan menghadiri perhimpunan "yang tidak diasaskan pada
isu-isu agama". Apakah hal sepenting pilihan raya adil dan bebas tidak
dapat dikaitkan dengan tuntutan suci agama?


Sebenarnya, jika ada kesungguhan untuk mempengaruhi rakyat atas isu-isu
yang kita lihat penting dan mendesak, umpama tuntutan pilihan raya bersih
ini, akhirnya mereka akan terpanggil juga. Apa lagi dengan tekanan hidup
seharian yang boleh mendorong rakyat untuk menjadi lebih kritikal
terhadap persekitaran.


"Momentum 10 Nov harus dikekalkan," kata seorang pemerhati. "Jangan tanya
saya bagaimana caranya, tapi ia amat penting untuk menarik perhatian
rakyat kepada isu-isu pokok yang selama ini membantut kemenangan
pembangkang. Semangat hebat pendokong parti harus dikobarkan lagi." Dan
saya hanya dapat mengangguk, mengiakan.


Polemik bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh, dan harus, campur tangan dalam
politik dapat membawa perdebatan sihat yang memungkinkan rakyat kian
terdedah dengan Perlembagaan, sistem imbangan kuasa dan sesekali mencuri
pandang apa yang berlaku dalam kancah siasah luar negara.


Sekurang-kurangnya ia mendorong saya membuka kitab Perlembagaan, misalnya
Perkara 114 (1) dan (2): "SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan
Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja ... Pada melantik
ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan
suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."


Tanpa keyakinan ramai, Pengerusi SPR boleh dipecat
Begitu tinggi martabat ahli-ahli SPR, sehingga mereka perlu sentiasa
mendapat kepercayaan awam, sesuatu yang Perlembagaan tidak tekankan
kepada jawatan lain yang tidak kurang pentingnya, termasuk perlantikan
hakim-hakim. Himpunan 10 Nov jelas menunjukkan Pengerusi dan Setiausaha
SPR tidak (pernah) mendapat keyakinan awam majoriti rakyat. Perdana
Menteri sebagai ketua gabungan parti yang ber tanding dalam pilihan raya
sudah tentu tidak dapat bersikap neutral ketika merumuskan apa-apa
peraturan atau perjalanan pilihan raya. Mana mungkin seorang pemain bola
misalnya, dilantik menjadi pengadil dalam permainan antara pasukannya
dengan pihak lain?


Apakah barisan pembangkang dapat lakukan selepas ini jika kerajaan terus
mengambil sikap "pekak-badak" dengan segala tuntutan Bersih itu? Apakah
kita akan turun sekali lagi ke jalan-jalan bagi memastikan, kalaupun
tidak semua tuntutan dipenuhi, hal-hal paling asas seperti empat tuntutan
terpenting mesti dipenuhi? Soalnya, mampukah kita "bermain tarik-tali"
dengan penguasa BN pada hal Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa dari
sekarang?


Sewaktu "seterika masih panas", eloklah dipergiatkan usaha mendesak
"dibersihkan" proses pilihan raya yang banyak cacat-celanya ini. Wajar
dimanfaatkan keghairahan masyarakat yang didorong rasa ingin tahu
terhadap kandungan tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong itu,
sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tekanan lebih menyeluruh kepada
Abdullah dan kerajaan pimpinannya.


Pertembungan Zam dengan agensi media antarabangsa berpengaruh, Al-Jazeera,
berhubung laporan peristiwa 10 Nov boleh meletakkan kerajaan Abdullah
dalam posisi mempertahankan diri, yang seterusnya menambahkan lagi
"bebanan sakit kepala" Perdana Menteri selepas "terlepas kata" dalam
majlis penutup persidangan Umno yang lalu.


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: