Wednesday, August 29, 2007

WPI Dan Pulau Batu Putih Bakal Tergadai?
oleh Husam Musa

Kes Pulau Batu Putih akan diputuskan oleh ICJ November depan.
Desas desus sudah bertiup, kita mungkin kecundang dan Pulau Batu Putih
yang strategik akan menjadi milik Singapura selama-lamanya.
Jika itu berlaku, Singapura sentiasa mengasak kita dan mereka lebih
bersedia dari segala sudut untuk menjadikan kita sentiasa terundur.
Dalam keadaan Singapura sentiasa bersedia dengan pelbagai agenda
'Singapore Win', kita pula mudah lalai dan alpa.
Untuk membangunkan WPI, kita terpaksa menjemput Singapura duduk dalam
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk
memajukan wilayah kita. 2,217 sq km tanah Johor akan 'diurus' bersama
dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama.
Hikayat Munshi Abdullah mencatitkan, format seakan Jawatankuasa Bersama
ini pernah ditubuhkan oleh Raffles. Rakyat Melayu diurus oleh Temenggong
Husin, rakyat bukan Melayu diurus oleh Orang Putih.
Pelbagai konsekuen politik akan muncul kemudian. Pada waktu itu, kita
sudah terlambat. Sama seperti isu penguasaan Singapura ke atas bekalan
air yang membelit kita sekarang.
Mengapa tidak Pak Lah belajar dari Tun M yang telah melaksanakan program
strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas?
Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah ancaman kepada Singapura. Ia bertujuan
mengecilkan peranan Singapura dan negara kita mengambilalih sebahagian
peranan dan kekuatan yang selama ini menjadi monopoli SIngapura selama
beberapa abad.
Ia berjaya. Tanpa kerjasama Singapura.
PTP telah menerima kapal pertama pada 10 Oktober 1999 untuk operasi
percubaan selama tiga bulan, ia telah memecah rekod menjadi pelabuhan
yang paling pantas berkembang. Ia menguruskan 1 juta TEUs (Twenty-Foot
Equivalent Units) kontena selama 571 hari operasi.
Dari hanya 20,696 TEUs pada akhir 1999, telah berkembang kepada 2.05 juta
TEUs pada 2001, 2.66 juta tahun 2002, 3.87 juta TEUs pada 2003 untuk
mengatasi kedudukan Pelabuhan Kelang. Port Tanjung Pelepas dengan itu
menjadi pelabuhan terbesar negara kita.
Pada tahun 2004, ia meningkat 15.2 % lagi, menjadikannya pelabuhan yang
ke 16 tersibuk di dunia. Pada 2006, ia menguruskan 4.7 juta TEUs.
Ia meletakkan dirinya sebagai pilihan kepada Pelabuhan Singapura.
Maersk Sealand, operator kapal kontena terbesar dunia, memindahkan semua
operasi perkapalannya di Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas pada
tahun 2000. Singapura menyaksikan kejatuhan 10% perniagaan pelabuhannya
kerana tindakan itu.
Pada 2002, Evergreen Marine Corporation, pada waktu itu, syarikat
perkapalan kedua besar dunia pula, memindahkan operasinya dari Singapura.
Sekilas fakta ini, membuktikan bahawa, pembangunan sehebat Tanjung
Pelepas boleh dilakukan tanpa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri
dengan mana-mana negara asing yang memungkin pengaruh dan penentuan
terma-terma yang boleh merugikan kita boleh berlaku.
Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan Singapura
untuk WPI?
Apakah kita tidak mempunyai keupayaan merancang sendiri, seperti telah
kita buktikan dalam kes Tanjung Pelepas?
Apa lagi jika bentuknya hanya untuk menjual tanah kepada Singapura?


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: