Wednesday, August 29, 2007

Projek pembangunan ekonomi anjuran kerajaan tidak untungkan rakyat -
Husam

ARAU, 24 Ogos (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa melihat
pengumuman kerajaan untuk mewujudkan koridor pembangunan ekonomi seperti
Koridor Utara, Koridor Timur mahupun Koridor Selatan dilihat tidak
memberikan keuntungan kepada rakyat khususnya orang-orang Melayu.

Beliau memberikan contoh di Koridor Utara, banyak perkara yang dijanjikan
kepada rakyat tetapi semuanya masih dalam khayalan.

"Di bidang pertanian khususnya untuk rakyat Kedah dan Perlis, janji-janji
yang diberikan masih bersifat khayalan. Pusat penyelidikan benih baru
nak dibina hasilnya belum tentu."

"Kalau jambatan Pulau Pinang kedua boleh nampak, itu meyakinkan, kalau
benih padi baru belum tentu," katanya.

Tambahnya lagi, projek Koridor utara ini tidak langsung menyebut agenda
Melayu khususnya di Pulau Pinang yang akan menyebabkan penguasaan harta
Melayu Pulau Pinang semakin mengecut.

"Pak Lah gagal meletakkan agenda Melayu dalam Koridor Utara. Yang
dijanjikan seperti benih padi, benih ikan, herba, tongkat ali dan
sebagainya adalah mimpi," katanya.

Beliau menambah, projek Koridor Utara ini pula hanya akan menguntungkan
segelintir pihak sahaja pihak yang terlibat dalam membangunkannya.

"Inilah cara Umno mengaut keuntungan, dengan memberi kekayaan kepada
sekerat sahaja sedangkan majoriti orang Melayu masih hidup dalam keadaan
tertekan," sambungnya.


Husam berkata demikian dalam ceramahnya di majlis perasmian Ijtimak PAS
Perlis kali ke-11 yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Perlis di Jejawi
Dalam dekat sini malam tadi.

Turut berceramah dalam majlis tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS
Pusat, Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin serta
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir. - mns

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: